July 20th, 2010
Sore itu dia dapat panggilan dari Dr. H, dari Australia. Mantan rakyat Malaysia tetapi sudah menjadi warga Australia. Dia kira itu panggilan tersasar. Kerana tersilap tujuan dan masuk ke kantor dia . Sebagai penjawat awam, walaupun bantuan yang dimintanya tiada kaitan langsung dengan tugas, dia cuba memberikan khidmat yang diperlukan.
Ceritanya begini. Anak saudara lelaki Dr. H di Malaysia berkahwin dengan seorang rakyat Indonesia dari Makassar Sulawesi Selatan. Punya 2 anak warganegara Malaysia. Akibat sedikit masalah rumahtangga, isterinya lari pulang dengan membawa 2 anak ke Makassar melalui jalan tikus tanpa passport.
Selepas berdamai, si isteri kembali semula ke Malaysia. Tetapi, 2 anak mereka tidak dapat dibawa pulang kerana ketika masuk ke Indonesia si isteri menggunakan jalan tidak sah/tanpa passport.
Alhamdulillah, dengan bantuan rakan yang sama-sama berkhidmat di sini di bahagian berkaitan, akhirnya 2 anak tersebut dapat dibawa pulang ke Malaysia pagi tadi.
Dia dapat panggilan sahabat dari kantor sekitar jam 9.00 pagi tadi, bapa kepada 2 anak ini hendak sangat bertemu. Tetapi disebabkan dia ada tugas rasmi di Palembang, maka dia tidak dapat menemui mereka anak beranak. Hendak sangat bapa ini bercakap dengan dia. Beberapa kali dia tolak melalui perantaraan sahabat di kantor. Akhirnya dia mengalah. Dia beri peluang sang bapa menyuarakan isi hati. Berjanji tidak akan berlaku lagi. Kerna natijahnya amat besar kepada hubungan 2 negara. Berkali-kali sang bapa berterima kasih. Segera dia hantarkan kesyukuran kepada Tuhan dengan penuh keinsafan.
Moga tika dia memerlukan bantuan, kau tolongilah dia wahai Tuhan.
July 19th, 2010
Terkini: Kakak telah berangkat ke Negeri Abadi pada jam 8.50 pagi waktu Malaysia. Moga kakak tenang di Sana. Salam takziah daripada aku sekeluarga buat seluruh keluarga. Alfatihah!
********************

* foto kredit Nurazzah
“Saya cuba jumpa kakak sebelum berangkat.”, Aku. Lewat penghujung April yang panas.
“Kalau diizinkan Allah kita jumpa. Kakak tunggu.”, Kak Dalilah.
Seperti waktu begitu cemburu. Kesibukan di hari-hari terakhir sebelum berangkat menjadikan aku sukar untuk mencari waktu. Aku berangkat ke Kota Jakarta tanpa pamit kakak. Itu memang salah aku!
++++
“Doktor suntik morfin pada kakak sebab sudah tiga hari kakak tidak tidur. Sakit terlalu sakit di belakang. Kerapkali kakak terjaga mengubah arah tidur. Kakak cuba mencari selesa dengan tidur telangkup pada meja. Kakak minta doktor komakan dia esok kerana terlalu sakit. Tapi doktor masih tak buat sebarang keputusan lagi. Kaki dan tangan kakak dah sejuk. Suami kakak sudah redha dengan apa sahaja kemungkinan.”, Es-em-es sahabat aku memberitahu khabar terkini kakak.
Kakak Dalilah tenat. Keterbatasan atas nama tugas, menyukarkan aku untuk mendapat kelulusan pulang ke tanahair. Walaupun hati meruntun-runtun mahu pulang.
Jika kalian punya waktu, mohon ziarah kakak di Wad Oncology & Radiotherapy GHKL. Tingkat 2. RT 2D Katil No. 8. Doakan yang terbaik untuk kakak yang parah berperang dengan kanker payudara tingkat akhir. Titipkan salam rinduku di Kota Palembang kepada kakak.
Alfatihah!
July 14th, 2010
Tika ini mahu rasanya bertukar menjadi robot. Tidak punya rasa. Apatah lagi akal. Menerima arahan kerja dan terus dibereskan. Kalau kerjanya bagus, sebagai robot tidak sekali-kali makan pujian. Kalau dimaki juga kerna kerja yang buruk, sebagai robot yang tidak punya rasa, pasti langsung jauh dari murung.
Mendengar cerita sahabat yang dimaki dan dicarut oleh ketuanya di hadapan khalayak staf kerana satu kesalahan kecil, membuatkan aku insaf. Moga-moga aku tidak menjadi ketua seperti itu. Apalah gunanya ajaran Rasulullah SAW kalau ia tidak dipraktikkan. Kerna manusia itukan punya perasaan. Berhemah dan menegurlah dengan cara yang bijaksana.
Wahai diri, lapangkan dada, terimalah seadanya.