Archive for the resipi category

February 2nd, 2009

IKAN TONGKOL KUKUS DAUN KADUK

Posted in resipi by Rudy

Bagi orang Jawa daerah Klang, ikan tongkol kukus dengan daun kaduk sudah tidak asing lagi. Tetapi, bagi aku Jawa Banting, resipi ini memang tiada dalam kamus hidup kami. Cuba bayangkan, aku temui makanan ini ketika bertandang ke rumah sahabat di Kubang Nipah. Nun jauh di utara Malaysia.

Menurut sahabat aku Meer, masakan ini diperkenalkan oleh kakaknya; Ateh yang berkahwin dengan orang Jawa Klang suatu masa dahulu. Tatkala bertandang ke Kubang Nipah, ini adalah penganan wajib yang akan menjadi habuan aku. Kerana ibu Meer memang sangat mengerti kegemaran aku sejak kali pertama bertandang ke rumahnya. Tetapi, sejak dimomokkan dengan tugas dan kesukaran untuk bertandang ke utara, aku semakin jarang untuk menikmati makanan ini. Hinggalah aku mengambil inisiatif mendapatkan ramuan untuk membuatnya daripada Ateh. Nah! Menghabiskan masa hujung minggu tanpa buat apa-apa tempohari, aku cuba membuat sendiri masakan yang sesuai untuk makan tengahari ini!

Bahan-bahan untuk dikisar;

2 ekor ikan tongkol di potong kecil
5 sudu besar kerisik
2 batang serai
1 inci lengkuas
2 biji cili besar
3 biji cili api (kalau mahu lebih pedas letaklah 300 biji pun tak apa)
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air asam jawa (kalau nak lebih masam letaklah air perahan limau nipis pun boleh)
10 biji lada hitam
6 biji bawang merah saiz sederhana
3 ulas bawang putih
sedikit serbuk oat (ini resipi tambahan Rudy)
gula dan garam secukup rasa (Rudy anti ajinomoto)

bahan-bahan untuk membungkus;

daun pisang
daun kaduk

Cara-cara membuatnya;

Kisarkan bahan-bahan yang disenaraikan tadi sehingga lumat. Tuangkan sedikit santan pekat. Kisaran mestilah pekat. Rasa gula dan garamnya [BACA: tukang masak yang terror tidak menggunakan bahan perisa seperti ajinomoto yang tidak baik untuk kesihatan].

 

Setelah itu, ambil daun pisang dan letakkan 2 helai daun kaduk seperti di dalam gambar.

Kemudian, letakkan 2 sudu besar bahan kisar tadi di atas daun kaduk.

Selepas itu, ambil ikan tongkol dan letakkan di tengah-tengah bahan kisaran tadi.

Tambahkan lagi 2 sudu besar bahan kisaran tadi di atas ikan tongkol.

Bungkus ikan tongkol seperti di dalam gambar atas dan bawah. Cara pembungkusan ini sebenarnya cara bagaimana orang Jawa buat pecal atau gado-gado dalam bahasa Pulau Pinang. Aku tahu cara membungkus sebab pernah tolong nenek berniaga pecal di pasar malam suatu masa dahulu.

Tapi kalau kalian rasa susah, buatlah bungkusan cara apapun. Janji ia terbungkus rapi dan tidak terburai! Kukus sehingga masak (dalam 20-30 minit). Untuk rasa yang lebih enak, perapkan bahan tadi dengan ikan tongkol semalaman sebelum dikukus.

Nah! Cabaran untuk para wanita! Selamat mencuba!

* Awas! Daun kaduk ini bau dan rasanya seperti daun sirih. Tolong jangan salah pilih daun yach!

June 27th, 2008

KERABU LIMAU BALI

Posted in resipi by Rudy

Semasa mengikuti kursus pembinaan pasukan di Jeram Besu tempoh hari, satu perkara yang aku tidak boleh lupa ialah masakan yang dihidangkan pihak penganjur. Lauk pauk kampung tradisi negeri Kelantan yang sangat serasi dengan lidah aku. Hingga menyebabkan aku lupa seketika diet kesihatan yang aku patuhi! Ha. Ha. Ha.

Antaranya menu Kerabu Limau Bali yang berasal dari Selatan Thailand. Kita selalu dengar masakan kerabu mangga. Bahan-bahan resipi ini sama sahaja dengan kerabu mangga. Cuma bahan utama mangga sahaja ditukar dengan limau bali. Untuk makluman, kerabu limau bali ini jarang ada di Malaysia. Aku ambil kesempatan itu, ke dapur penganjur untuk bertanya bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan kerabu limau bali ini.

Bahan-bahan;

1 biji limau bali yang sudah masak dan dicerai-beraikan isinya.
5 biji bawang merah yang dimayang halus
5 biji cili padi dihiris halus
3 biji cili merah dihiris nipis menyerong
1 kuntum bunga kantan yang dihiris nipis
perahan limau nipis
gula dan garam secukup rasa

Cara-cara Memasak;

Gaulkan semua bahan tadi hingga sebati. Masukkan gula, garam dan perahan limau nipis secukup rasa yang diingini. Kalau mahu sedap, campurkan kisaran udang kering ke dalam kerabu. Nah! Sudah sedia untuk dimakan dengan nasi putih panas-panas. Terliur? Jom mencuba!

* Limau bali juga dikenali limau tambun. Bahasa Inggeris dipanggil Pomelo.

January 28th, 2008

MINUMAN KESIHATAN: COKLAT PANAS OAT HABBATUSSAUDAH

Posted in resipi by Rudy

Ini minuman wajib aku setiap pagi. Sebab aku tak minum kopi atau teh. Memang payah kalau orang yang ada angin dalam badan. Kalau pergi ke rumah orang, terpaksa tebal muka minta air masak. Sebab aku tidak mahu terima penangan angin yang tak mahu lepas dari dalam badan. Bernafas pun tidak puas.

Bahan-bahannya;

2 Sudu besar Milo atau coklat
2 Sudu besar Madu lebah tualang asli
2 Sudu besar susu tepung anlene
4 Sudu besar Oat
1/2 camca kecil minyak habatussaudah
Air panas secukupnya

Campurkan semua bahan dalam sebuah mug. Hirup ketika masih hangat. Memang sedap walaupun akan sedikit terganggu dengan bau minyak habbatussaudah sedikit. Tapi ia cukup memberikan tenaga pagi anda!

* Aku tidak minum ais hampir setahun! Jom terima cabaran ini!