Archive for the makan category

January 15th, 2009

MATARY ALMA CHAR KOAY TEOW, PENANG

Posted in makan by Rudy

 

Sekali pandang macam muntah manusia. Tapi bila disuap masuk ke mulut. Lidah pula mencicip rasa. Tidak sampai lima minit sudah licin dibedal. Dek kesedapan yang tidak terbilang, boleh menyebabkan kita memesan sepinggan lagi!

 

Begitulah Tuhan mengurniakan manusia kepandaian di dapur. Ilmu masakannya mengenyangkan manusia yang lapar.

 

Ironinya, ke Pulau Mutiara hujung tahun lalu aku diperkenalkan sahabat Char Koay Teow yang sedap. Kalau kalian berada di kawasan Alma, Bukit Mertajam. Silalah singgah di gerai Matary Alma Char koay Teow. Aku gerenti ia jauh lebih sedap dari yang ada di sini.

 

Gerai ini terletak di tepi jalan di hadapan Hwa Seng Chinese Methodist Church, Alma. Hargapun murah! Benarlah Pulau Mutiara syurga makanan! 

December 22nd, 2008

SUMATERA BARAT

Posted in kelana, makan by Rudy

Sumatera Barat memang tidak menghampakan. Kelana spontan ke tanah seberang itu cukup melegakan. Pada alam nan hijau, kedinginan puncak Bukit Tinggi dan pada tebaran rupiah membeli belah seakan menjadi terapi memberi narkotik kepada jiwa.

Lalu apa lagi yang kau mahu sungutkan tatkala segala kemewahan melata di tanah air, dengan kerja tetap yang setiap bulannya hanya menunggu ringgit dicucuk dengan kartu bank. Sedangkan masyarakat di sana masih diulit kepayahan hidup. Kaisnya pagi petang mengharap sesuap nasi pada kerja yang amat sukar dan berat. Ketika mengenderai dakian perbukitan ke Tasik Maninjau, aku melihat jajaran manusia dengan cangkul dan kudrat yang ada, menanam kabel telefon di sepanjang jalan ke puncak. Alangkah. Alangkah itu semua sudah tiada lagi di Tanah Malaya. Semuanya sudah dijenterai dengan mesin. Pabila aku bertanya kepada Pak Eddy si pemandu pariwisata, berapa ribu upah rupiah untuk kerja sekeras itu. Katanya, sekitar lima puluh ribu rupiah sehari. Yakni sekitar lima belas ringgit Malaysia!

MasyaAllah! Jika dibandingkan dengan aku ini, diusik sedikit sudah mengeluh mengaduh itu ini. Apatahlagi dengan kekerapan perpindahan jabatan yang seringkali menjadi momokan kepada diri. Sungguh! Sungguh seperti aku ini tidak pernah melutut syukur kepada Sang Maha Segala dengan apa yang Dia beri.

Aku telan semua kepahitan itu. Menerima dengan syukur, apa sahaja yang direncanakan Sang Maha Segala. Terima Kasih orang Padang dan Bukit Tinggi. Kalian mengajar aku erti hidup yang sebenarnya. Tuhan, berkati derap langkahku ini. Amin!

++++++ 

Penganan 

Kalau ke Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat jangan lupa merasai keenakan ikan gurami bakar dengan rempah khas dan ayam goreng bumbu! Apabila bercerita tentang ikan gurami ini, aku segera teringat ikan bakar (di hadapan Seagate) berhadapan Pulau Jerejak Pulau Pinang! Sama enaknya.

Lobang Jepang

 

Juga jangan lupa singgah masuk ke Lobang Jepang. Tempat penting pertahanan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang dibina pada tahun 1944.

Jam Gadang

Jangan lupa ya singgah di jam besar peninggalan Belanda. Sakan mengambil gambar sambil libur menunggang kereta kuda yang boleh dapat semurah dua puluh ribu rupiah sahaja.

Aku tidak mahu menulis lanjut tentang Sumatera Barat kerana layaran di internet bisa menemuinya. Boleh baca tentang Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat di sini, sini dan sini.

November 28th, 2008

KOPITIAM BANGI 2

Posted in makan by Rudy

(entri ini dibayar siarannya)

SMS seorang rakan beberapa bulan lepas aku simpan. Katanya, entri blog yang aku tulis tentang BANGI KOPITIAM ada diletakkan di dalam bingkai dan disematkan di dinding restoran. Aku mulanya tidak percaya. Kemudian, beberapa bulan kemudian aku singgah bersama keluarga ke restoran tersebut, selepas kali terakhir menginjaknya pada awal tahun 2007.

Oleh kerana itulah, aku mengelak untuk pergi kerana servisnya yang agak lambat dan betapa tidak mesranya pelayan restoran. Tetapi, kali ini, selepas setahun lebih aku agak teruja. Selepas bertanya kepada pelayan yang aku ingin bertemu dengan pengurus restoran, aku diperkenalkan dengan seorang anak muda yang aku lupa namanya. Aku memperkenalkan diri sebagai pemilik blog yang beliau paparkan di dinding restoran berkenaan.

Pengurus restoran ini mengakui, komen negatif pelanggan mengenai mutu servis Bangi Kopitiam dahulu. Tetapi, selepas beliau menggantikan pengurus lama, beliau telah membuat perubahan besar kepada Bangi Kopitiam. Aku difahamkan beliau berpengalaman luas sebagai pengurus di sebuah restoran konsep yang sama bertaraf antarabangsa di Kota Lumpur. Pengalaman itu dijana untuk menggerak-majukan Bangi Kopitiam milik perkongsian Kid Search dan rakan-rakannya.

Mungkin sudah rezeki, kedatangan aku sekeluarga malam itu pada ketika mereka akan membuat pelancaran menu makanan dan minuman baharu. Justeru, malam itu menjadi makan malam “cuit sana sini”. Hampir semua menu makanan dan minuman baharu dibawa keluar untuk dirasa oleh kami. Aku teruja dengan beberapa rezepi seperti Sup Kuew Teow, Roti John dan iced blend pelbagai jenis dan rasa yang agak lain tekstur rasanya.

Kami bertukar-tukar nombor telefon malam itu. Katanya, jika ada pelancaran menu baharu, aku akan dijemput sama. Malah kalau ke restoran itu pada masa hadapan akan mendapat potongan harga 10% dari harga keseluruhan makanan. Alhamdulillah.

Kalau kalian berkesempatan ke BANGI KOPITIAM cubalah menu makanan dan minuman terbaru mereka. Kalau tidak mahu makan berat, boleh sahaja ambil menu ringan seeprti keropok lekor, roti bakar telur separuh masak ala Ipoh, Cendol pelbagai rasa dan banyak lagi pada harga berpatutan.

Bangi Kopitiam terletak di Bandar Baru Bangi (Berdekatan Pusat Rawatan Islam AnNur dan Azzahrah) dan cawangan terbaru mereka terletak di No 22 Jalan Metro Wangsa, Seksyen 2, Wangsa Maju 53300 Kuala Lumpur. Jom!

******************

“Jemput ke KOPITIAM kami disection 3 tambahan. bUKAN franchias dan milik 100% bumi, owned by Ezzah Aziz Fawzy. ServingChinese food…Cubalah..and we try our very best to make you happy. NAMA kedai KAWAN KOPITIAM.”

Aku dapat jemputan (mungkin pemilik) ke Kawan Kopitiam milik Ezzah Aziz Fawzy via blog lama bertarikh 19 September 2008. InsyaAllah aku akan datang ke sana untuk merasa makanan mereka pula nanti. Ada yang sudah pergi? Boleh kongsikan bersama di sini.