KEMBARA: SANDAKAN 2 - KEDAI MAKAN PUKAT

Kedai Makan Pukat antara restoran yang menjadi kunjungan penduduk setempat di Sandakan Sabah. Restoran ini terletak di jeti Tanah Merah, Sandakan (Bukan Kelantan ya!). Ketika ditanya oleh kami, Pak Saidi pemandu kami memberitahu restoran ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan restoran makanan laut yang lain dan terkenal di bandar Sandakan.

Aku dan seorang sahabat ditugaskan untuk memilih ‘mangsa’ kami petang itu. 10 minit diambil untuk memilih mangsa-mangsa yang masih hidup dan segar.

Ikan apa ya ini? Akupun tak pasti. Kalau masak stim atau tiga rasa mungkin sedap!Menurut Pak Saidi lagi, di sini pelanggan tidak akan tertipu. Ada sesetengah restoran malah restoran tersohor yang menipu pelanggan dengan menukar ikan yang telah dipilih dengan ikan yang sudah mati dalam peti sejuk.

Di sini, pelanggan akan melihat sendiri ‘mangsa-mangsa’ ditangkap dan disiang di hadapan pelanggan. Ada restoran yang membawa ikan itu ke dapur dan kemudian menukarkannya dengan ikan yang telah disejuk beku. Justeru, jika mahu makan di restoran makanan laut, pastikan kalian melihat ‘mangsa-mangsa’ itu disiang di hadapan kalian.

Inilah ketam nipah atau dipanggil ketam Ceylon. Ambil 3 ekor untuk enam orang sudah cukup!

Rambang mata untuk memilih dan akhirnya aku memilih 5 jenis ‘mangsa’ untuk ditelan kami selepas itu.

Menu pertama kami; Siput tarik atau Siput Kahanga rebus. Makan dengan dicicah cili dan kicap cair.

Menu kedua kami; Ketam rebus masak kamchiong. Ini menjadi kegemaran kami berenam. Kerana ia yang licin dahulu. Sempat juga bertanya resepinya. Menurut tukang masak restoran bahan-bahannya ialah kicap kamchiong, bawang putih, halia, udang kering, daun kari, sos tiram. Mula-mula ketam direbus terlebih dahulu. Kemudian tumiskan bahan-bahan yang dipotong dadu. Kemudian masukkan ketam. Gunakan api yang besar ketika ketam dimasukkan. Letakkan sedikit air jika mahu ia sedikit berkuah! Nah! Siap untuk dimakan.

Ikan merah stim menjadi ‘mangsa’ kami seterusnya. Ini menu kedua yang cepat habis.
Menu keempat; kepah putih masak chapcai rasanya. Akupun tak pasti nama sebenar. Aku cuma dapat rasa satu sahaja. Yang lain habis dibelasah teman-teman terlebih dahulu. Kepah ini 1.5kg beratnya. Rugi pula sebab isinya sedikit, berat dek cengkerangnya sahaja.

Makan kena ada sayur, baby kailan tumis biasa jadi selingan makan kami. Hah! Yang ini akulah yang paling makan paling banyak sekali. Sebab aku cukup berpada-pada bab makan makanan laut ini. Kolestrol!!!!

Licin dibelasah enam teman kembara ke Sandakan!

Habis makan, tiba saat membayar. Harga makanan semuanya RM145.50! Murah sangat-sangat jika makan berenam. Air minum teh cina adalah percuma. Jika kalian berkesempatan ke Sandakan boleh ke restoran ini;
Kedai Makan Pukat,
Tanah Merah,
Taman Leila,
P.O.Box 3336,
90737 Sandakan, Sabah.
tel: 089-616510
hp: 012-8622323








