January 30th, 2010

Kalau ke Sabah, jangan lupa melepaskan peluang untuk merasai makanan lautnya yang segar. Ketika berkunjung ke Kota Kinabalu baru-baru ini atas urusan kerja, aku sempat dibawa oleh dua orang sahabat ke Restoran Nelayan berdekatan Tanjung Aru.
Mereka berdua berpakat mengenakan aku dengan siput laut atau nama tempatannya kahanga. Hidang siput ini amat terkenal di sini. Siput laut yang direbus ini enak dimakan dengan cili sos atau kicap bercili. Menurut sahabat aku, kahanga yang terdapat di laut sekitar Sempoerna ini ditangkap dan kemudiannya direndam semalaman untuk membuang pasir yang terperangkap dalam cengkerangnya.

* Gambar kredit http://ejon.fzone.com.my/
Pada mulanya aku rasa was-was untuk makan kerana bentuknya yang besar dan seakan-akan siput babi! Cara makannya juga susah kerana pemakan harus menggunakan lidi pencungkil gigi untuk mendapatkan sesungutnya yang berbentuk seperti kaki lipas (yeaksss!). Kemudian, ia harus ditarik dengan tangan sebelum seluruh isinya ditarik.
Kemudian, isinya yang tergantung panjang itu dicicah dengan sos atau kicap sebelum kita mendongak dan memakannya. Mula-mula apabila melihat aksi dua orang sahabat ini, aku jadi geli. Tetapi, selepas sekali mencuba, memang hendak lagi berkali-kali!!!
* Ketika entri ini ditaip, aku berada di Sandakan, Sabah. Malam esok kami akan cuba mendapatkan menu ini di Sandakan, yang aku difahamkan bahawa makanan laut di sini jauh lebih murah dari Kota Kinabalu.
December 22nd, 2008
Sumatera Barat memang tidak menghampakan. Kelana spontan ke tanah seberang itu cukup melegakan. Pada alam nan hijau, kedinginan puncak Bukit Tinggi dan pada tebaran rupiah membeli belah seakan menjadi terapi memberi narkotik kepada jiwa.
Lalu apa lagi yang kau mahu sungutkan tatkala segala kemewahan melata di tanah air, dengan kerja tetap yang setiap bulannya hanya menunggu ringgit dicucuk dengan kartu bank. Sedangkan masyarakat di sana masih diulit kepayahan hidup. Kaisnya pagi petang mengharap sesuap nasi pada kerja yang amat sukar dan berat. Ketika mengenderai dakian perbukitan ke Tasik Maninjau, aku melihat jajaran manusia dengan cangkul dan kudrat yang ada, menanam kabel telefon di sepanjang jalan ke puncak. Alangkah. Alangkah itu semua sudah tiada lagi di Tanah Malaya. Semuanya sudah dijenterai dengan mesin. Pabila aku bertanya kepada Pak Eddy si pemandu pariwisata, berapa ribu upah rupiah untuk kerja sekeras itu. Katanya, sekitar lima puluh ribu rupiah sehari. Yakni sekitar lima belas ringgit Malaysia!
MasyaAllah! Jika dibandingkan dengan aku ini, diusik sedikit sudah mengeluh mengaduh itu ini. Apatahlagi dengan kekerapan perpindahan jabatan yang seringkali menjadi momokan kepada diri. Sungguh! Sungguh seperti aku ini tidak pernah melutut syukur kepada Sang Maha Segala dengan apa yang Dia beri.
Aku telan semua kepahitan itu. Menerima dengan syukur, apa sahaja yang direncanakan Sang Maha Segala. Terima Kasih orang Padang dan Bukit Tinggi. Kalian mengajar aku erti hidup yang sebenarnya. Tuhan, berkati derap langkahku ini. Amin!
++++++Â
PengananÂ
Kalau ke Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat jangan lupa merasai keenakan ikan gurami bakar dengan rempah khas dan ayam goreng bumbu! Apabila bercerita tentang ikan gurami ini, aku segera teringat ikan bakar (di hadapan Seagate) berhadapan Pulau Jerejak Pulau Pinang! Sama enaknya.
Lobang Jepang
Â
Juga jangan lupa singgah masuk ke Lobang Jepang. Tempat penting pertahanan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang dibina pada tahun 1944.
Jam Gadang

Jangan lupa ya singgah di jam besar peninggalan Belanda. Sakan mengambil gambar sambil libur menunggang kereta kuda yang boleh dapat semurah dua puluh ribu rupiah sahaja.
Aku tidak mahu menulis lanjut tentang Sumatera Barat kerana layaran di internet bisa menemuinya. Boleh baca tentang Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera Barat di sini, sini dan sini.
May 23rd, 2008

Sesekali bermain dengan ombak dan pantai memang melegakan saraf. Redang memang mengasyikkan. 3 hari 2 malam yang penuh pengalaman dan mendamaikan.

Leka segala-galanya dari hiruk pikuk kota dan kerja. Sesekali bermain dengan alam memang menyegarkan otak. Apatahlagi dengan kaki dilitupi pantai yang memutih bersih dan air laut yang biru jernih.

Redang Reef Beach Resort tempat aku mencari ketenangan. Meskipun tempahan dibuat saat-saat akhir, ia tidak menghampakan. Ada juga tidak puas hati dengan kualiti air dan hidangan makanan di resort. Tetapi, segera ia terpadam dek alam yang mengasyikkan.

Bot-bot dan sampan tersusun membawa ramai manusia yang dahagakan ketenangan. Kadang-kadang terfikir juga, bila terlalu ramai manusia di sini, segala ketenangan itu seakan hilang.

Pagi di Pantai Pasir Panjang segar menikmati sang mentari yang mahu menjelma. Berjoging seusai Subuh memang suasana yang takkan dapat dikecapi di Kota Lumpur.

Sempat juga bermain dengan ikan-ikan berwarna-warni yang jinak. Campakkan roti dan berkerumunlah ikan-ikan yang kelaparan. Jika bernasib baik, dapat jumpa sang penyu sedang mencari makan. Aku tertawan melihat aksi petugas resort yang membawa aku snorkeling, cuba menangkap sang nemo dari celah-celah karangan laut. Sekali agah, sang nemo sudah berada di dalam tangan di bawa ke permukaan laut dan ditunjukkan kepada kami. Oh! Cekapnya dia!

Bayu laut Redang sememangnya menyegarkan. Terbanglah kau segala kekusutan yang mencengkam jiwa.

Kalau berkesempatan, ingin sekali lagi menjengah Redang. Pergilah beberapa kalipun ia pasti tidak menjemukan. Jom!

Terima Kasih Tuhan atas kesempatan melayahkan perasaan syukur ini kepada kebesaranMu. Betapa kerdilnya aku disebalik semua kejadian yang terhampar di hadapan mata. Subhanallah! Lailahaillah Muhammad Rasul Allah!

Bantulah Sufi biaya pembedahan dan rawatan jantungnya. Untuk detail, sila klik di sini. Boleh juga membantu dengan war-warkan di blog dan emel kalian melalui banner yang disumbangkan oleh nettbiru di http://bluehikari.com/images/sufi.jpg Â