Archive for the kelana category

April 6th, 2010

PULAU PINANG

Posted in kelana, makan by Rudy

PASEMBUR

Dua minggu lalu aku dijemput ke Kulim untuk berkongsi pengalaman tentang protokol, etiket sosial dan keterampilan diri. Terima Kasih orang Kulim dan Pulau Pinang yang sudi menjemput aku ke kawasan mereka.

pasembur

Tidak sah kalau ke Pulau Pinang tanpa menikmati Pasembur-cekik-darah yang asli mereka. Kenapa aku kata cekik darah, kerana harganya bisa membuatkan kalian kaget. Aku ke Padang Kota pada sebelah petang hari kedua. Ke Pulau Pinang tahun lepas, aku tidak sempat merasanya. Justeru kali ini pasembur Padang Kota memang tidak aku lepaskan. Oh ya, harga untuk sepinggan Pasembur dengan pilihan pelbagai isi (termasuk seekor udang galah) ialah RM22.00.

pasembur2

Justeru, semasa memilih, baiklah bertanya harga bagi setiap satunya. Supaya tidak terkejut pula nanti. Tetapi, kerana rasanya enak, aku abaikan sahaja harganya yang mahal itu.

MEE KETAM CERUK TO’ KUN

mee_ketam_penang2

Selain itu, aku sempat juga merasa Mee Ketam Ceruk To’ Kun. Gerai Mee Ketam ini terletak di betul-betul di satu simpang 4 di kampung itu. Rasanya yang enak dan tiada tandingan menjadikan ia destinasi pelbagai bangsa. Jangan terkejut kerana harganya yang murah.

mee_ketam_penang4

Di gerai ini juga terdapat pasembur yang sedap. Jika kalian tersesat ke mari, singgah dan nikmati hidangan mee ketam yang boleh licin dihirup kuahnya!

mee_ketam_penang3

Aku tak hirup sebab nak elak terlalu banyak minyak masuk menjadi lemak di perut Ha! Ha! Ha!.

mee_ketam_penang5

 Dah habis licin!

February 5th, 2010

KEMBARA: SANDAKAN 2 – KEDAI MAKAN PUKAT

Posted in kelana, makan by Rudy

kedai_makan_pukat

Kedai Makan Pukat antara restoran yang menjadi kunjungan penduduk setempat di Sandakan Sabah. Restoran ini terletak di jeti Tanah Merah, Sandakan (Bukan Kelantan ya!). Ketika ditanya oleh kami, Pak Saidi pemandu kami memberitahu restoran ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan restoran makanan laut yang lain dan terkenal di bandar Sandakan.

raw_lobster

Aku dan seorang sahabat ditugaskan untuk memilih ‘mangsa’ kami petang itu. 10 minit diambil untuk memilih mangsa-mangsa yang masih hidup dan segar.

raw_ikan

Ikan apa ya ini? Akupun tak pasti. Kalau masak stim atau tiga rasa mungkin sedap!Menurut Pak Saidi lagi, di sini pelanggan tidak akan tertipu. Ada sesetengah restoran malah restoran tersohor yang menipu pelanggan dengan menukar ikan yang telah dipilih dengan ikan yang sudah mati dalam peti sejuk.

raw_kahanga

Di sini, pelanggan akan melihat sendiri ‘mangsa-mangsa’ ditangkap dan disiang di hadapan pelanggan. Ada restoran yang membawa ikan itu ke dapur dan kemudian menukarkannya dengan ikan yang telah disejuk beku. Justeru, jika mahu makan di restoran makanan laut, pastikan kalian melihat ‘mangsa-mangsa’ itu disiang di hadapan kalian.

raw_ketam

Inilah ketam nipah atau dipanggil ketam Ceylon. Ambil 3 ekor untuk enam orang sudah cukup!

raw_fishes

Rambang mata untuk memilih dan akhirnya aku memilih 5 jenis ‘mangsa’ untuk ditelan kami selepas itu.

kahanga

Menu pertama kami; Siput tarik atau Siput Kahanga rebus. Makan dengan dicicah cili dan kicap cair.

ketam

Menu kedua kami; Ketam rebus masak kamchiong. Ini menjadi kegemaran kami berenam. Kerana ia yang licin dahulu. Sempat juga bertanya resepinya. Menurut tukang masak restoran bahan-bahannya ialah kicap kamchiong, bawang putih, halia, udang kering, daun kari, sos tiram. Mula-mula ketam direbus terlebih dahulu. Kemudian tumiskan bahan-bahan yang dipotong dadu. Kemudian masukkan ketam. Gunakan api yang besar ketika ketam dimasukkan. Letakkan sedikit air jika mahu ia sedikit berkuah! Nah! Siap untuk dimakan.

kerapu

Ikan merah stim menjadi ‘mangsa’ kami seterusnya. Ini menu kedua yang cepat habis.

kepah 

Menu keempat; kepah putih masak chapcai rasanya. Akupun tak pasti nama sebenar. Aku cuma dapat rasa satu sahaja. Yang lain habis dibelasah teman-teman terlebih dahulu. Kepah ini 1.5kg beratnya. Rugi pula sebab isinya sedikit, berat dek cengkerangnya sahaja.

kailan

Makan kena ada sayur, baby kailan tumis biasa jadi selingan makan kami. Hah! Yang ini akulah yang paling makan paling banyak sekali. Sebab aku cukup berpada-pada bab makan makanan laut ini. Kolestrol!!!!

tamat

Licin dibelasah enam teman kembara ke Sandakan!

harga

Habis makan, tiba saat membayar. Harga makanan semuanya RM145.50! Murah sangat-sangat jika makan berenam. Air minum teh cina adalah percuma. Jika kalian berkesempatan ke Sandakan boleh ke restoran ini;

Kedai Makan Pukat,
Tanah Merah,

Taman Leila,
P.O.Box 3336,
90737 Sandakan, Sabah.
tel: 089-616510
hp: 012-8622323

February 4th, 2010

KEMBARA: SANDAKAN l

Posted in kelana by Rudy

pulut_udang
* Pulut panggang Sandakan 4 biji RM1 sahaja!

Disebabkan aku ke Sandakan tanpa membuat persediaan awal, maka sesampai sahaja di Sandakan, barulah aku mencari maklumat untuk menyewa kenderaan bersama pemandu sekali. Melalui pihak Hotel tempat kami menginap, aku diperkenalkan dengan beberapa buah syarikat pada harga RM500-RM800. Justeru, aku memilih harga RM500 itu kerana agak murah untuk satu hari perjalanan. Setelah berkenalan dengan Pak Saidi, dan mengenali hati budinya barulah kami tahu yang syarikat berkenaan telah mengambil untung atas angin sebanyak RM150 daripada kami! Aduhai! 

sepilok

Ironi sekali, jika kalian ke Sandakan, boleh hubungi Pak Saidi Saling 016-8301701 atau 013-8914050, Fax: +6089 224 227, Borneo De Tours. Beliau mengenakan bayaran RM350/sehari dengan kenderaan Kia Pergio barunya yang boleh memuatkan 10 orang.

Sandakan terkenal dengan Pusat Pemulihan Orang Utan di Sepilok. Tiket masuk bagi rakyat Malaysia hanya RM5.00 sahaja. Jangan lepaskan peluang untuk melihat orang utan di kawasan ini.

Urusan tempahan penginapan pula aku buat melalui internet kerana harganya yang jauh lebih murah jika kita walk-in. Aku berpuas-hati dengan layanan yang diberi di Hotel Sandakan. Hotel ini terlatak di tengah-tengah bandar koboi Sandakan. Tempahan boleh dibuat melalui web mereka yang efisien. Mereka mempunyai wi-fi internet secara percuma. Boleh pilih pakej penginapan yang menyertakan sarapan pagi atau tidak. Secara pribadi, aku lebih suka bersarapan di luar hotel. Banyak restoran di hadapan Hotel Sandakan. Paling dekat Restoran Zakaria yang terletak berhadapan dengan Hotel Sandakan. Aku teruja dengan mee gorengnya yang enak dan lazat. Malah jauh lebih jimat dan murah berbanding sarapan di hotel yang mengenakan RM8.00 untuk sarapan pagi dengan rasanya yang biasa-biasa sahaja.

sarang_semut
* Sarang semut

Jangan lupa ke Pasar Tamu Sandakan yang hanya sepelaung dari Hotel Sandakan. Pasar Tamu Sandakan walaupun tidaklah semeriah dan besar seperti di Kota Belud, tetapi bagi mereka yang ingin merasai kuih muih tempatan bolehlah ke pasar ini. Ada juga peniaga yang menjual haiwan seperti kura-kura, anjing, ayam , itik, arnab, cacing, ikan dan sebagainya. Ada juga yang menjual hasil-hasil tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Aku teruja dengan peniaga yang menjual herba-herba dari hutan termasuk sarang semut yang didakwa boleh menurunkan darah tinggi dan kencing manis.

kg_air

Oh ya, ole-ole Sandakan boleh didapati di kawasan pekampungan atas air berdekatan dengan Sim-sim. Tempat ini terkenal dengan pelancong luar negara yang datang. Harga gelang, kerongsang, cincin dan lain-lain barangan jauh lebih murah dari Pasar Filipina di Kota Kinabalu. Boleh minta Pak Saidi bawa ke tempat ini. Sambil berjalan melihat perkampungan air tersebut bleh beli ole-ole untuk mereka yang tersayang!

Aku sempat ke Sandakan Memorial Park. Memorial yang didirikan untuk mengenang mangsa kekejaman Jepun. Memorial yang dibina dengan kerjasama kerajaan Australia ini menjadi latar sejarah bagaimana beribu-ribu askar menjadi tahanan dan buruh paksaan untuk membina lapangan terbang pendaratan Jepun.

buaya

Selain itu, boleh juga ke Taman Buaya di Sandakan. Tiket masuk hanya RM7.00 sahaja. Pada mulanya kami mahu melihat pusat pemuliharaan monyet berhidung panjang (Probosis). Tetapi disebabkan tiket masuk amat mahal, kami membatalkan hasrat. RM30 sekali masuk! Fuh!

ikan_bakar

Jika ditanya tentang Sandakan atau nama lamanya Elopura, bukan pantainya yang cantik atau bandarnya. Tetapi makanan lautnya! Singgahlah ke Sandakan jika kalian berpeluang ke Sabah. Dalam entri akan datang, insyaAllah aku akan perkenalkan 2 restoran yang menjadi persinggahan aku bersama lima teman kembara yang lain. 2 restoran ini jarang dikunjungi oleh pelancong kerana mereka selalunya dibawa ke restoran yang jauh lebih mahal dan terkenal.