Archive for the 1Malaysia category

April 27th, 2009

ORANG SABAH YANG BAIK BUDI

Posted in 1Malaysia by Rudy

Satu perkara unik yang aku lihat dalam masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan etnik ialah keakraban mereka. Entah mengapa tidak seperti di Semenanjung, keakraban mereka diterjemah ketika aku meladeni Kursus Protokol, Etiket Sosial dan Pengacaraan Majlis di KKPN (Ko-Nelayan), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah minggu lalu.

Ketika aku memecahkan mereka kepada kumpulan-kumpulan kecil, tanpa banyak soal mereka terus bertindak cepat dan terhasillah kumpulan-kumpulan yang pelbagai etniknya. Berbanding dengan banyak siri kursus yang aku ladeni di Semenanjung, mereka akan membentuk kumpulan-kumpulan dari bangsa  dan agama yang sama. Malah lebih buruk, ada yang membentuk kumpulan berdasarkan negeri asal masing-masing.

Keakraban mereka sangat jelas terpancar, meskipun dalam kalangan mereka terdiri dari kumpulan gred berbeza; pegawai dan pegawai sokongan. Malah, ketika aku mengadakan sesi ’salam senyum’ dengan semua ahli, semua ahli amat ’sporting’ dan tidak malu untuk memeluk erat Ketua Jabatan masing-masing sambil berlaga pipi! [BACA: Bukan Berbeza Jantina Ya!]. Mereka mesra dan boleh bergurau, walaupun pada masa yang sama tahu akan had masing-masing.

Apabila ditanya kepada Pengurus Besar Ko-Nelayan ketika majlis penutupan malam terakhir, beliau berkata budaya kekeluargaan dalam Ko-Nelayan, malah dalam Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah amat ditekankan. Tanpa mengira kaum, etnik, budaya dan agama. Aku teruja bilamana mereka boleh menari poco-poco bersama-sama ketika waktu rehat makan tengahari.

Aku kira, ini suatu pengalaman yang menarik untuk diselami rakyat Malaysia seluruhnya. Tatkala pulang aku dipeluk erat mereka dan aku teruja dengan sekotak besar hasil laut Sabah segar yang dibungkus rapi hadiah daripada mereka. Terima Kasih orang Sabah! Budi kalian dikenang jua. Aku datang lagi pastinya!

* Banyak tempat tidak dapat aku pergi kali ini dek kekangan kerja. InsyaAllah lain kali ingin juga ke Kundasang, ke kampung air dan  ke restoran kampung nelayan.

*Terima kasih juga kepada ex-housemate ketika bujang dahulu Ruzaidi Azli (pernah aku tulis kisah kami yang pernah saling payung-memayung ketika masalah gaji ketika kerja tidak tetap dahulu), yang sudah berumah tangga di negeri di bawah bayu itu; sudi belanja makan setelah bertahun tidak bertemu.

March 2nd, 2009

DUA LELAKI TERPUJI

Posted in 1Malaysia by Rudy

Lewat malam minggu lepas aku ketika melewati jalan masuk ke kawasan perumahan aku, aku terlihat kelibat sebuah kereta kancil warna biru gelap. Terhenti di tengah jalan. Dengan lampu tinggi dan lampu kecemasan dihidupkan. Aku merapati kenderaan tersebut sebelum terlihat kelibat dua lelaki sedang memegang tukul dan batu bata.

Ketika melewati mereka, dan mata menyoroti apa yang mereka sedang lakukan, aku jadi bangga mempunyai rakyat Malaysia seperti mereka berdua. Sebenarnya jalan menuju ke kawasan perumahan kami itu ada lubang. Lubang itu tepat di selekoh. Lubang itu pula bekas korekan akibat kerja-kerja kontraktor yang menanam kabel tetapi membuat kerja penyudah menampal semula lubang dengan tidak semenggah.

Tiap kali melewati selekoh itu, semua kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan bagi mengelak lubang dan akhirnya menjadi sedikit kesesakan. Rupa-rupanya ada dua sahabat yang prihatin itu datang di tengah malam menampal lubang itu dengan batu-bata yang dipecah-pecahkan. Sebelum itu aku terperasan juga ada dua kampit tanah di letakkan dalam lubang itu. Mungkin kerja mereka juga. Tetapi dek kerana dilalui kenderaan berat saban hari, tidak sampai seminggu kampit berisi tanah itu terburai.

Aku tabik dengan ahli masyarakat seperti mereka itu. Jadilah aku termalu sendiri kerana benda sekecil itupun aku tidak terfikir untuk menyumbang. Mahu harapkan Majlis Perbandaran Kajang entah bila mahu diselesaikan. Dah dua kali mengadu, tetapi mereka buat tidak tahu! Terlalu birokrasi! Sampai terpaksa penduduk mengambil tindakan sendiri! Kalau lambat bayar cukai pintu, cepat pula menghambat kami!