Archive for the 1Malaysia category

July 24th, 2009

RAMBUT

Posted in 1Malaysia by Rudy

Rambut sicilik ini kalau panjang sedikit, membentuklah ia gulungan-gulungan kecil yang aku rasa sangat rimas. Maka dengan automatik aku hantar dia ke kedai gunting rambut. Untungnya sicilik kerana sejak kecil lagi sudah berpeluang merasa geli dengan mesin potong rambut.

Semasa aku kecil dahulu, abahlah yang gunting rambut kami empat beradik. Sebabnya, aku phobia dengan cerita kawan-kawan sekolah. Mereka momokkan keling penggunting rambut itu, akan memotong kepala kami selepas rambut dipotong. Jadi, ia menjadi suatu ketakutan kepada kami adik beradik. Berkali-kali abah dan mak pujuk. Tetap aku tidak mahu. Malah, pernah sekali abah paksa duduk di kerusi di kedai gunting rambut milik kawan abah berbangsa India, aku menggelongsor turun dan melarikan diri. Kami menganggap bangsa lain itu seperti musuh pula. Betapa jumudnya aku berfikir tatkala itu.

Hinggalah aku tingkatan 1. Bila berpeluang bergaul dengan rakan-rakan sekolah dari pelbagai bangsa. Kemudian mengaji sejarah pula. Aku mula membuka minda. Mula berani memotong rambut di kedai India di pekan Banting atau Pekan Koboi Dengkil. Malah tukang gunting kegemaran aku di Banting itu seorang abang OKU berbangsa Cina yang cacat kaki kerana kemalangan. Kalau dia tidak ada, sungguh aku akan menunggu atau kalau dia tidak ada, aku akan balik sahaja. Kalau di Pekan Dengkil pula, aku akan setia menanti seorang pakcik India. Kedua-dua mereka menjadi tukang gunting kegemaran aku. Kerana sambil mereka memotong rambut aku, mereka akan bercerita tentang pengalaman hidup mereka. Macam-macam nasihat yang aku suka dengar.

Berbalik cerita kepada sicilik ini. Aku berazam untuk mendedahkan dia dengan pergaulan dengan pelbagai bangsa sedari awal lagi. Serasa inilah peluang yang ada untuk memupuk semangat bersama tinggal di Malaysia yang pelbagai warna dan ragam bangsanya. Aku tidak akan hantar sicilik bergunting ke kedai Melayu. Klise bukan? Justeru, sicilik ini biasanya aku hantar ke kedai gunting milik seorang India di kawasan tempat aku tinggal. Sicilik sudah biasa dengan kedai itu dan kalau aku bawa ke kedai lain, takkan dia mahu. Kalaupun ada orang lain yang menggunting tetapi sicilik memilih abang yang seorang ini. Seakan-akan dia sudah biasa dengan tukang gunting itu, yang sangat suka melayannya bercerita sambil bergunting.

Usai menggunting rambut;

“Eh! adik kecil cium tangan saya”, Kata abang penggunting rambut itu seperti tidak percaya, Ketika pertama kali aku bawa sicilik ke kedai itu setahun yang lalu.

“Ya, saya biasakan dia salam sambil cium tangan sesiapa sahaja. Supaya dia tidak membezakan sesiapapun rakyat Malaysia yang dia gauli”, Balas aku.

Moga-moga didikan kecil ini impaknya besar kepada sicilik pabila menjejak usia matang nanti. 1 Malaysia!

June 24th, 2009

P.RAMLEE DAN DIA

Posted in 1Malaysia by Rudy

Mei 2008. Dalam perjalanan pulang dari jeti Merang ke Bandar Kuala Terengganu  menaiki sebuah van pesiaran milik pengusaha salah satu resort di Pulau Redang. Kami dibawa oleh seorang pemandu yang sudah agak berusia tetapi masih kuat dan sihat. Dalam van itu hanya aku berdua dengan seorang sahabat.

Sepanjang perjalanan itu, kami hanya membatukan diri. Aku malas menegur pemandu seperti selalu dek lelah selama beberapa hari bertugas sambil bercuti di Pulau itu. Mungkin kerana masing-masing diam. Pemandu van itu mula memasang sebuah CD. Apabila muzik berkumandang aku dan sahabat berpandangan sesama sendiri. Kedengaran lagu-lagu Tan Sri P. Ramlee. Dan kemudian, dia bersiul dengan hebat dan baik sekali mengikuti melodi.  Sekali lagi aku dan sahabat berpandangan kehairanan yang amat!

Ya, apa nak hairan dengan generasinya dengan siulan lagu-lagu P.Ramlee? Amat sinonim bukan? Ironi sekali, pemandu van itu sebenarnya berbangsa Cina. Suatu yang jarang sekali berlaku pada zaman ini. Adakah impak dari kewujudan tiga jenis sekolah (SK, SKJC & SKJT) di Malaysia selepas merdeka telah menyebabkan keakuan rakyat Malaysia berpaksi hanya kepada bangsa mereka? Aku masih tidak jumpa lagi sahabat seusia dari kaum lain seperti dia.

Inilah semangat perpaduan dalam menyatukan semua rakyat Malaysia. Aku terkesima hingga beri tips lebih kepada dia.

* PM dalam blognya bercerita tentang rakyat  Sarawak yang menepati konsep 1Malaysia. Malah dalam berita harian semalam aku terbaca rencana tulisan seorang pensyarah mengenai perpaduan rakyat Sabah yang juga sama seperti rakyat Sarawak. Ini aku akui. Malah aku sudah tulis dalam satu entri pada 27 April yang lalu di sini.

May 27th, 2009

JIRAN LAGI

Posted in 1Malaysia by Rudy

Aku pulang dari kerja Jumaat lepas, jalan di hadapan sudah separuh ditutup. Ada tiga khemah putih dengan kain renda warna merah sudah berdiri megah. Aku agak jiran India itu akan mengadakan majlis besar. Jadi, aku tidak ambil kisah. Kerana sudah lali dengan perkara-perkara di luar dugaan ciptaan mereka seperti sebelum ini.

Aku ingat majlis akan berlangsung sehingga keesokan harinya sahaja. Tetapi sangkaan aku meleset. Ahad malam Isnin. Ketika jam merangkak ke angka sepuluh, dan ketika ramai penghuni jalan satu palang dua belas sudah mahu beransur ke ranjang istirahat, kedengaran lagu-lagu rancak mula kuat kedengaran.  Lebih dua jam, para penghuni perumahan di jalan tersebut terpaksa mendengar lagu rancak yang sengaja dikuatkan sehingga satu taman boleh rasa gegaran dari woofer speaker. Ia diselang-selikan dengan tawa sorak mereka. Aku intai dari balik langsir, mereka sedang menari sambil minum dari botol-botol berwarna hijau. Aduhai.

Ironi sekali, seperti berjanji, jiran tetangga yang turut terganggu mula mengintai-intai dari balik langsir! Aku ketawa geli hati dalam diam.

Kadang-kadang aku pelik dengan sikap tetangga yang sebegini. Perasaan hormat seperti sudah hilang. Kesudahannya, kesabaran aku memuncak apabila jarum jam menunjukkan angka dua belas. Mereka seperti masih tidak mahu berhenti. Esok, semua orang mahu bekerja. Tiba-tiba aku teringat satu insiden di Jepun dahulu. Ketika cuti universiti musim sejuk, masing-masing pakat ke rumah sahabat di Tokyo. Jadi, apabila lama tidak bertemu, maka mulalah masing-masing berbual hingga larut malam. Sesekali pecah ketawa tanpa sedar. Kemudian, terdengar ketukan pintu. Apabila dibuka ada tiga orang pegawai Polis Jepun datang, Mereka mendapat laporan yang kami membuat bising di tengah malam hingga menggangu jiran tetangga. Serik juga, kerana kami semua hampir kena heret ke Balai Polis pada malam itu. Sejak itu kami berhati-hati.

Berbalik kepada kisah jiran aku tadi. Mula-mula aku mahu terus jumpa dengan jiran tersebut dan mohon supaya mereka merendahkan bunyi speaker. Tapi risau pula. Tak pasal-pasal jadi kes gaduh pula. Lagi-lagi mereka telah dipengaruhi oleh alkohol. Justeru, aku nekad telefon Polis. Selepas lima belas minit, sebuah kereta peronda datang. Bagaikan magis, taman perumahan menjadi sunyi. Sepi sekali. Alhamdulillah!