SELAMAT JALAN ADRIAN ll

Tiga minggu terdahulu, aku berada di Kota ini menguruskan jenazah pelajar Malaysia yang mati dibunuh. Hanya kerana sebuah motorsikal miliknya yang hampir dicuri perompak tak berhati perut, ia berakhir dengan tragedi. Tetakan di belakang tengkuk kanan menghilangkan nyawanya serta merta.

Belumpun selesai kes tersebut, masih lagi tersisa kepenatan dan perkabungan masih menyelubungi rasa mahasiswa Malaysia di Kota ini, aku dikejutkan lagi dengan kes kematian mahasiswa Malaysia di Kota yang sama, kali ini kerana sakit. Seusai bermain futsal beliau mengalami kekejangan sebelum rebah. Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Aku benar-benar diamuk gelisah. Apakah yang mahu Tuhan tunjukkan ini?

Bukan mudah menguruskan hal-hal kematian di negara orang. Perlu berurusan dengan Polis, Hospital, Imigresen, pihak Universiti dan keluarga mahasiswa. Perkara paling berat ialah memberitahu keluarganya. Itu belum lagi ditambah dengan hal-hal lain dengan pihak Kedutaan, Wisma Putra KL dan Kementerian Pengajian Tinggi di Kuala Lumpur. Urusan dengan syarikat pengurusan jenazah dan pesawat yang akan membawa pulang ke Malaysia juga harus dibuat serentak sebelum hari ketiga menjengah amat melelahkan. Sementelah aku hanya seorang diri yang menguruskannya dengan bantuan persatuan mahasiswa Malaysia di Kota ini.

Kami memutuskan untuk menguruskan sendiri jasad mereka. Kerana biaya akan menjadi mahal kalau diserahkan sepenuhnya kepada syarikat yang menguruskan jenazah. Sudahnya, mahasiswa Malaysia dan aku sendiri membersihkan jasad, kemudian mengeluarkan darah dari badan agar mudah untuk menyuntik formalin (untuk mengawet jenazah supaya tidak busuk ketika dibawa pulang menaiki pesawat) ke dalam jasad dan akhirnya kami pakaikan denganĀ  pakaian terakhir mereka sebelum di bawa ke syarikat pengurusan jenazah yang akan menguruskan jenazah itu masuk ke dalam keranda dan berurusan dengan pihak kargo untuk diterbangkan balik ke Kuala Lumpur. Kami bernasib baik kerana mahasiswa Malaysia mengambil bidang perubatan yang dengan itu memudahkan kami mengurus jenazah berkenaan di ruang forensik hospital tempat mereka melakukan praktik klinikal. Seingat aku, sudah 2 kali aku menguruskan jenazah beragama kristian dan sekali beragama Hindu dalam masa 2 tahun aku bertugas di sini.

Walaupun berbeza agama, kami lakukan dengan semangat yang satu. Mahu memberi yang terbaik buat kali terakhir. Bermula denganĀ  semua itu kami lakukan dengan tangan sendiri. Perasaan hiba dan air mata bercampur baur ketika kami menguruskan jenazah mereka di atas pembaringan di bilik forensik Hospital Saiful Anwar Malang.

Aku alah sekali dengan air mata ibu pelajar berkenaan. Tangisan mereka sejak tiba sampailah larut malam membuatkan aku rasa sangat hiba. Bimbang sekali kerana tika dipujuk menjamah makan dan minum ditolak kerana tidak lapar katanya. Tak sanggup rasanya mendengar tangisan seorang ibu. Apatahlagi merekalah anak-anak harapan keluarga yang diinginkan untuk mengubah nasib keluarga.

Ketika mengucapkan kata-kata perpisahan dengan ibunya, aku bisikkan kepada mereka; Tuhan mengkehendaki apa yang Dia mahukan. Sesuai dengan rencana dan takdirnya, wahai ibu tabah dan terimalah seadanya. Lepaskan Adrian pergi. Kelak nanti Tuhan rahmati ibu yang membesarkan mereka dengan penuh kasih-sayang. Dengan airmata ibu tumpah, aku dipeluk eratnya. Terima kasih katanya.

Senang sekali dapat berbakti kepada mereka. Rasa puas dengan memberi sebanyak-banyaknya, kemudian dengan segera melupakannya.

SELAMAT JALAN ADRIAN

Sekali lagi akan ke Malang esok pagi.

Kalau di awal November kelmarin aku mengurus jenazah mahasiswa Malaysia yang dibunuh kejam. Kali ini aku perlu mengurus jenazah pelajar yang meninggal dunia kerana sakit. Kota Malang bagi seorang Rudy pada tahun ini ialah catatan pengalaman yang tak mungkin sekali-kali dilupakan sepanjang bertugas di Republik Indonesia.

Selamat jalan Adrian J. Prereira.
Selamat jalan Theven Adrian Joseph.