Archive for July, 2011

July 20th, 2011

BUK!

Posted in indonesia by Rudy

Enak-enak menjemur pakaian di tingkat 2 rumah sewa. Tiba-tiba kaki tersandung, badan melayang melepasi palang beranda. Jatuh menjunam tepat ke dalam telaga sedalam 14 meter!

Buk!

Tak terbayangkan. Esok harus bergegas pergi ke Bandung menziarahi pelajar yang bernasib malang itu. Info sebenar kejadian harus didapatkan untuk panduan penulisan report. Semoga dia baik-baik sahaja, meskipun beberapa bahagian tulang patah, seperti yang diberitahukan.

Aduhai!

July 18th, 2011

BERKUMPUL BERSAMA

Posted in indonesia by Rudy

Sebulan tanpa mereka, saya sepi sendiri. Tanggal lima belas kelmarin mereka pulang semula ke Kota Batavia, tapi saya pula diamuk kesibukan kerja rasmi negara di Kota Ikan-Yu-dan-Buaya; Surabaya.

Tika menjejakkan kaki di rumah tengah malam kelmarin, mereka bertiga sudah nyenyak digebari mimpi. Saya cium mereka satu persatu. Kemudian membersih diri sebelum menyelinap tidur di antara mereka.

Pagi tadi ketika membuka mata, sicilik puteri seperti bermain chi-lub-ba dengan saya. Dipegang malu, segera memeluk sang ibu. Parah juga, bila sebulan tidak bertemu. Anakanda seperti tidak lagi kenal saya. Siabang pula, mahu dibuatkan susu. Dalam kantuk berat, saya bangun gagahkan diri. Saya berkali-kali tahu dan faham. Minta dibuatkan susu oleh siabang adalah tanda ‘rindu’ dia kepada saya.

Oh! Alangkah syurga dunia, dapat berkumpul bersama semula.

July 11th, 2011

BUKAN PILIHAN

Posted in bebas by Rudy

Mengejar pesawat pada seawal pagi bukanlah pilihan. Lebih-lebih lagi pada usia bukan lagi dua puluhan. Tuakah aku?