PERMATA DAN BATU

Kata sahabatku Ken, janganlah kamu tidak mengendahkan seseorang yang mengambil berat tentang dirimu. Kerana  pada suatu hari nanti, baru kamu tersedar yang kamu mungkin kehilangan sebiji permata, pada ketika kamu sedang mengutip batu-batu.

SUKA DUKA SATU SYAWAL

1 Syawal 1431 Hijrah tahun ini ialah dugaan.

Alifnya, berhari raya tanpa keluarga. Berjauhan di seberang Selat Melaka. Tiada persediaan langsung. Tiada ketupat lemang apatah lagi kuah kacang. Bangun pagi, hanya buat secawan milo dan makan biskut tawar untuk alas perut sebelum ke kedutaan untuk solat raya.

Ba, air tiada sejak jam 11 malam 30 ramadhan. Jadi, pagi raya terpaksa mandi di musolla sebelah rumah. Aduhai. Tidak tahu mengapa sebabnya. Mungkin mesin pam air yang menyedut air bawah tanah rosak.

Ta, pagi raya nak mendapatkan kenderaan awam ke kedutaan memang susah. Perkhidmatan teksi tiada. Ramai pemandu teksi pulang berhari raya. Jakarta sangat kosong. Mahu berjalan kaki solat raya ke kedutaan, memang boleh mandi peluh jawabnya. Maka, terpaksa minta ikhsan sahabat pegawai yang punya kenderaan untuk ambil aku di rumah. Terima kasih daun keladi Puan Uyon.

Tha, tak lalu nak makan juadah raya meskipun banyak dihidangkan di majlis jamuan raya di kedutaan. Tidak tahu nak buat apa. Malah, terasa sangat bosan. Bezanya sambutan lebaran di Fukushima dahulu, tiada sebarang sambutan langsung. Pagi raya menapak ke kuliah seperti biasa. Tetapi itu zaman menjadi mahasiswa. Hidup bujang dan selamba.  Di Jakarta ada sambutan walaupun kecil-kecilan. Tetapi, kerna beda status sudha berkeluarga, apatah lagi sudah punya suri dan 2 cilik, rasa yang sangat berlainan menerjah diri. Mungkin kerna itu mahu menjamah penganan raya pun terbayang-bayang wajah 3 beranak itu. Walau apapun, Alhamdulillah. Meski dihimpit isu dua negara yang agak hangat sekarang ini, kami berhari raya dengan aman dan tenteram di kedutaan.

Jakarta satu syawal. Apa seadanya.