TERAWIH PERTAMA

sunda_kelapa2

Alhamdulillah. Sebesar-besar nikmat dapat melaksanakan ibadah terawih pertama di Jakarta. Aku dan sahabat ke Masjid Agung Sunda Kelapa. Sesuai dengan hari pertama terawih jalan sangat sesak dari hadapan rumah hingga ke Masjid Kedutaan.

Kami hentikan niat untuk ke Masjid Kedutaan dan terus menuju ke Masjid Agung Sunda Kelapa. Aku fikir sudah lewat kerana aku mendengar azan Isyak telah berkumandang di jalanan. Tetapi, sesampainya di perkarangan masjid, orang ramai masih berpusu-pusu masuk ke ruang solat.

sunda_kelapa1

Kemudian, pengumuman oleh Pengerusi Masjid tentang penetapan 1 Ramadhan dan pengumuman aktiviti rutin setiap hari. Setelah itu, azan Isyak dikumandangkan. Selepas azan para jemaah ada yang solat sunat rawatib. Selepas itu, para jemaah beramai-ramai bertadarus Alquran bermula dengan surah Albaqarah ayat 1 sehingga selesai 1 juzuk. Di hadapan para jemaah terdapat paparan layar dari LCD projektor menggunakan software alquran terkini dan setiap kali bacaan yang dipimpin oleh imam, para jemaah tahu dimana hendak berhenti kerana software ini memandu bacaan jemaah.

Kemudian, imam menyerahkan majlis kepada seornag ustaz untuk memberikan sedikit tazkirah sekitar 10 minit. Barulah iqamah dikumandangkan dan kami solat Isyak berjemaah bersama-sama. Usai Isyak terus kami mengerjakan Solat Terawih 8 rakaat dan witir 3 rakaat.

Ada sedikit kelainan solat terawih di sini. Di mana antara sela waktu antara salam, bacaan bilal tidak sama seperti di Malaysia. Terpinga-pinga juga dibuatnya. Tetapi ia pengalaman baru untuk aku di sini. Imam membaca surah Albaqarah, panjang tetapi tidak terasa lenguh kaki pula. Banyak kali imam terhenti kerana dia menangis.

Sekitar jam 8.30 malam solat terawih kami selesai. Jemaah berpusu-pusu pulang tetapi magis sekali, tiada kesesakan dirasakan. Seperti berada di Mekah pula! Dan kami pulang dengan puas. Aku merencana untuk Solat Terawih di Masjid Istiqlal kelak. Moga-moga diperkenankan Allah.

* Saya mula menerima sumbangan untuk Program Memberilah Kemudian Lupakan. Kutipan setakat ini RM500.00. Jazakallah kepada penderma yang baik hati.

ZIARAH PUSARA

casablanca1

Di sepanjang Jalan Casablanca yang menempatkan ribuan perkuburan Islam, gerai-gerai kecil mula terbina.  Mereka menjual air mawar dan kelopak-kelopak bunga penuh warna-warni khusus untuk pengunjung yang akan berziarah ke kuburan milik keluarga mereka.

Ramadhan kareem penuh cintaNYA dari Jakarta.

PROGRAM MEMBERI KEMUDIAN LUPAKAN

Para sahabat yang saya hormati, seperti mana tahun-tahun sudah, saya mengambil inisiatif menyemarakkan ibadah Ramadhan dengan program MEMBERILAH KEMUDIAN LUPAKAN.

Seiring dengan kehidupan baru saya di Kota Jakarta, maka tahun ini selain kutipan rutin untuk persediaan lebaran dan awal persekolahan 2011 anak-anak sekolah yang miskin dan yatim piatu di SK Batu Masjid, Temoh Perak (sebuah kawasan pedalaman), saya juga bercadang untuk mengadakan program SAHUR DI JALANAN, mengkhusus untuk memberi nasi berlauk kepada anak-anak dan masyarakat gelandangan (homeless, peminta sedekah dan lain-lain) di Kota Jakarta.

Modus operandi ini akan dilaksanakan dengan bantuan mahasiswa kedokteran Malaysia di Jakarta. Di mana satu kawasan yang terdapat ramai gelandangan ini akan disusur oleh kami dan pemberian berupa nasi berlauk akan diedarkan seawal jam 1 pagi.

Bagi sahabat-sahabat yang berminat menyumbang kewangan, sila berhubung dengan saya di emel. Moga dengan usaha yang sedikit ini akan dapat membantu golongan seperti mereka. Saya dengan rendah diri, memohon sumbangan sahabat-sahabat.

Memberilah. Kemudian lupakan.