KETAWA

Ketika beratur mengambil makanan di majlis berbuka puasa meraikan perpisahan Timbalan Perwakilan (Timbalan Duta) Malaysia yang akan bertugas di Kuala Lumpur semula, di hotel Shangrila minggu lalu, TYT Datuk Duta Besar Malaysia berseloroh dengan aku.

“Tahniah, kelahiran anak kedua. Perempuan ya. Senanglah nak ingat tarikh ulang tahun anak”, TYT.

“Terima Kasih Dato’. Tapi kenapa senang nak ingat?”, Aku.

“Senang nak ingat sebab tengah kemuncak isu Malaysia-Indonesia sekarang ini. Terutamanya insiden baling najis. “, TYT ketawa.

Aku dan semua diplomat kedutaan yang bersama-sama beratur mengambil makanan ketawa besar.

Sumbangan untuk Program “Memberilah Kemudian Lupakan” setakat 17 Ogos 2010 ialah sebanyak RM1750.00. Terima Kasih kepada para dermawan. Jazakallah.

BERTIGA KE BEREMPAT

ayumi

Alhamdulillah. Dari bertiga kini berempat. Maha suci Allah yang mengurniakan Ayumi kepada kami sekeluarga. Puteri penyeri rumahtangga. Lahir pada 19 Ogos 2010 jam 8.42 pagi di HUSM dengan 2.2 kilogram beratnya.

Sumbangan untuk Program “Memberilah Kemudian Lupakan” setakat 17 Ogos 2010 ialah sebanyak RM1250.00. Terima Kasih kepada para dermawan. Jazakallah.

INSIDEN

Semalam ada demonstrasi oleh kumpulan rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka Tentera Merah Putih. Penuh pintu masuk utama Kedutaan dengan kumpulan ini. Jalan yang menempatkan kantor kami dipenuhi manusia-manusia ini, akibatnya kesesakan lalulintas yang teruk berlaku.

Pihak Polis RI berkubu di pagar Kedutaan. Tetapi, ada beberapa kumpulan ini dapat memanjat pagar kedutaan dan naik ke bumbung Pondok Keselamatan. Mereka mencacakkan bendera Indonesia di atas bumbung Pondok Keselamatan.

Mereka melaung-laungkan perkataan yang mengguris perasaan. Usir, ganyang dan pelbagai perkataan tidak enak didengar keluar dari mulut mereka ini. Malah azan Asar yang berkumandang di Masjid kedutaan pun tidak diendahkan. Sepertinya mereka tidak mengendahkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia.

Isunya insiden 7 nelayan Malaysia yang didakwa mencuri ikan di perairan RI di Batam. Dan pada masa yang sama pihak Polis Malaysia menahan 3 pegawai kementerian Perikanan dan Kelautan RI yang bertugas menahan 7 nelayan terbabit kerana mereka juga didakwa berada di perairan Malaysia pada ketika itu. Isu pertindihan sempadan maritim ini memang senantiasa menjadi momokan dalam hubungan dua hala negara. Malah, media Indonesia yang memainkan peranan dengan berita yang berat sebelah juga menambah buruk keadaan.

Lewat petang baru dapat keluar dari kedutaan pulang ke rumah. Itupun terpaksa melalui kawalan ketat keselamatan dan keluar mengikut pintu khas.

Aku harap dengan kebijaksanaan pemimpin kedua-dua buah negara, perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. Moga hubungan kedua-dua negara dapat dieratkan kembali, mengambil semangat bulan Ramadhan yang mulia dan sempena Hari Ulangtahun Republik Indonesia ke 65, hari ini.

Sumbangan untuk Program “Memberilah Kemudian Lupakan” setakat 17 Ogos 2010 ialah sebanyak RM950.00. Terima Kasih kepada para dermawan. Jazakallah.