Archive for May, 2010

May 18th, 2010

JARAK MENDEKATKAN

Posted in bebas by Rudy

Jarak ialah duga sabar dua manusia mendepani cinta agung. Benarkah?

Mungkin suatu hari nanti bukumuka boleh mendekatkan dua manusia tanpa virtual. Mereka boleh wujud dan saling menyentuh walaupun realitinya mereka berjauhan. Cuma, teknologi masih butuh waktu, untuk ia menjadi realiti.

Nah! Ciptakan.

May 15th, 2010

MURABBI 2

Posted in bebas by Rudy

Pepatah Arab pernah menyatakan; “Laulal Murabbi Ma’araftu Rabbi” (Kalau tidak kerana guruku, tidak akan kukenal siapa Tuhanku.)

Pernah sekali dahulu ketika mengaji di MRSM Muar. Dalam satu pertemuan mingguan homeroom, kami berbicara tentang cita-cita.

Guru homeroom aku, Puan Hajah Hasni Khamis menyuruh kami semua lima belas orang anak-anak homeroomnya; Zeta 93/94, melukis pakaian kegemaran kami ketika kami bekerja kelak. Sekaligus mencerminkan kerjaya kami pada masa hadapan.

Aku membayangkannya dengan melukis di atas kertas A4 yang diberi Cikgu Hasni. Aku lukis pakaian aku pada masa itu ialah sepasang suit warna hitam, bertali leher dan kemeja lengan panjang. Dan situasinya aku berjalan masuk ke sebuah bangunan kedutaan Malaysia yang aku tidak namakan negaranya.

Kemudian, lukisan itu kami lipat-lipat dan masukkan ke dalam sebuah kotak. Lukisan itu tidak kami namakan empunya siapa. Kemudian secara rawak, setiap daripada kami diminta memberi komen secara bertulis di belakang lukisan itu tentang pakaian yang dilukis oleh kami.

Ada satu komen yang aku tidak akan pernah lupa sampai ke saat ini. Komen daripada salah seorang daripada kami, yang aku tidak tahu siapa dia sehingga kini. Tulisnya, ringkas; “Berlagak tak bertempat”. Dan aku telan kata-kata itu, meskipun darah muda usia enam belas tahun aku pada masa itu membuak-buak tidak puas hati. Aku tunjuk kepada Cikgu Hasni komen itu. Ironinya, dia hanya tersenyum lantas berkata, “Jangan kecil hati. Anggap itu kata-kata sakti! Cikgu doakan cita-cita itu meriba kamu satu hari nanti!”.

Tujuh belas tahun kemudian. Allah berikan aku peluang. Peluang seperti mana yang aku lukis di kertas itu. Harapan dan peluang yang aku sudah makamkan setelah aku mula diterima bertugas sebagai pentadbir di sebuah universiti awam. Alhamdulillah! Tuhan bukakan jalan seluas-luasnya. Dan baharulah aku tahu, tidak semua diplomat itu dari Skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik. PTD tidak akan bergelar diplomat selagi mereka tidak bertugas di luar negara!

Meskipun tugas aku bukan hakiki untuk selamanya, cukuplah peluang yang diberi DIA. Alhamdulillah, syukran ya Tuhan! Terima kasih Cikgu Hasni! Titipan doa yang cikgu beri senantiasa mengiringi perjalanan hidup ini. Selamat Hari Guru. Moga Allah senantiasa memberkati hidup cikgu.

+++

* Juga ucapan selamat hari guru kepada Cikgu aku seluruhnya di SKBC, SMBC, MRSM Muar, AAJ UM dan Fukushima University. Kalau tidak kerana kalian, tidak aku mencapai kejayaan.

*Selamat hari guru kepada sahabat handai. Tidak lupa buat Suri!

May 13th, 2010

AIR MATA DIA

Posted in bebas by Rudy

Suri es-em-es. Sicilik menangis tersedu-sedu dek kerana rindukan aku. Aku segera hidupkan waiem dan berwebcam dengannya.

Sesi meluah rasa berjalan dalam suasana sayu sekali. Sicilik bercakap dengan suara tersekat-sekat dek sedu tangisnya. Aku lihat air matanya turun selaju hujan lebat yang membasahi Megapolitan Jakarta tika itu. Rasa rindunya terungkap dengan hamburan hujan air mata selepas dua minggu tidak bersua. Satu persatu kesedihannya aku telan. Dan seiring dengan itu, tekak aku terasa pahit dan lidah menjadi kelat. Dan hidangan makan malam di hadapan aku ini, terbiar aku tinggalkan.

Aduhai! Sabarlah sayang, akan aku pulang mengucupmu berkali-kali.