January 25th, 2010
Melur di taman kecil depan rumah aku berkembang lebat. Aku syak Suri taburkan baja organik yang kami beli di nurseri tempoh hari. Justeru, ia berkembang hebat. Aku kutip sepuluh kuntum pagi tadi, sebelum aku bawa ke kantor. Aku letakkan ia di atas meja di pejabat. Wanginya menusuk deria bau.
Semerbak harumnya, bagai ada khabar sukacita mendakap rasa? Mungkinkah? Kalau ya, aku tak sabar menantikannya.
January 22nd, 2010

Jumaat yang hening.
Kembara aku seiring.
Semalam ke utara.
Rezeki di jala.
January 21st, 2010

Tanggal 5 Januari lalu genap satu tahun di jabatan ini. Ini pusingan kedua. Tugas yang hadir pada awal tahun ini memang agak memberati pundak. Justeru, aku mesti menjadi seorang buruh yang tahu mengandalkan tugasnya. Aku cinta pekerjaan ini. Kerja yang aku dambakan sejak di alam persekolahan lagi.

Dua kosong kosong sembilan ialah tahun percubaan sebenarnya. Kerna aku baharu sahaja berpindah dari jabatan sebelumnya. Aku di peringkat akhir sebenarnya, mengemaskini laporan penilaian prestasi diri sebelum dipanjangkan kepada ketua jabatan untuk penilaian. Moga-moga tahun percubaan dua kosong kosong sembilan itu melepasi tahap lulus.

Aku sudah merencana tahun dua kosong satu kosong untuk tugas ini. Sudah ada di dalam kepala cuma belum berkesempatan untuk di terjemahkan di atas kertas. Ya, wajib ditulis kerna ia menjadi pengukur sasaran kerja tahunan untuk dinilai oleh ketua jabatan lagi pada tahun ini. Memetik kata-kata sahabatku Harismen, Personaliti Tivi Indonesia lewat ngobrol kami petang kelmarin via telefon; “Kualitas hidup seseorang lebih ditentukan oleh komitmennya untuk melakukan yang terbaik dalam hidupnya…”. Aku setuju dengan kata-katanya. Tanpa komitmen, tugas yang diandalkan pastinya tidak akan berhasil dengan baik. Apatah lagi untuk diukur kualitasnya.
Selamat bekerja. Ibadah bukan?