KAHANGA

siput

Kalau ke Sabah, jangan lupa melepaskan peluang untuk merasai makanan lautnya yang segar. Ketika berkunjung ke Kota Kinabalu baru-baru ini atas urusan kerja, aku sempat dibawa oleh dua orang sahabat ke Restoran Nelayan berdekatan Tanjung Aru.

Mereka berdua berpakat mengenakan aku dengan siput laut atau nama tempatannya kahanga. Hidang siput ini amat terkenal di sini. Siput laut yang direbus ini enak dimakan dengan cili sos atau kicap bercili. Menurut sahabat aku, kahanga yang terdapat di laut sekitar Sempoerna ini ditangkap dan kemudiannya direndam semalaman untuk membuang  pasir yang terperangkap dalam cengkerangnya.


* Gambar kredit http://ejon.fzone.com.my/

Pada mulanya aku rasa was-was untuk makan kerana bentuknya yang besar dan seakan-akan siput babi! Cara makannya juga susah kerana pemakan harus menggunakan lidi pencungkil gigi untuk mendapatkan sesungutnya yang berbentuk seperti kaki lipas (yeaksss!). Kemudian, ia harus ditarik dengan tangan sebelum seluruh isinya ditarik.

Kemudian, isinya yang tergantung panjang itu dicicah dengan sos atau kicap sebelum kita mendongak dan memakannya. Mula-mula apabila melihat aksi dua orang sahabat ini, aku jadi geli. Tetapi, selepas sekali mencuba, memang hendak lagi berkali-kali!!!

* Ketika entri ini ditaip, aku berada di Sandakan, Sabah. Malam esok kami akan cuba mendapatkan menu ini di Sandakan, yang aku difahamkan bahawa makanan laut di sini jauh lebih murah dari Kota Kinabalu.

KUASA

Apabila perasan diri ini berkuasa, maka apabila ditegur oleh staf bawahan tentang satu kesilapan diri, mulalah hati rasa panas dan rasa tercabar. Inilah sifat yang aku sendiri mahu kikis dalam diri. Bercakap memang mudah. Tetapi mahu membuatnya asyik kalah!

Ironi sekali, dek kesilapan memarkir kenderaan, aku diminta mengalihkan kenderaan oleh staf keselamatan lewat petang kelmarin ketika mengikut ketua jabatan ke satu majlis rasmi. Hati rasa panas ditegur walaupun dibuat dengan cara baik dan sangat berhemah. Sedangkan permintaan tersebut dibuat bagi mengelakkan kenderaan aku menghalang laluan bas yang mana boleh mengakibatkan kesusahan kepada kedua-dua belah pihak. Aku mula panas dan merungut. Semasa aku sampai tadi tidak mahu pula dia menghalang aku awal-awal. Ini bila ketua jabatan aku sudah hampir tiba, barulah mengarahkan aku mengalihkan kenderaan, sudahnya ketua jabatan aku sampai tanpa aku ada menyambutnya dan terpinga-pinga dia mencari tempat duduknya.

Segera aku istighfar. Ini namanya khilaf. Khilaf manusia yang hamba sifatnya. Kemudian, menerima insiden kecil itu sebagai satu ilmu untuk dipelajari. Alhamdulillah. Benarlah seperti kata-kata seorang ulama sufi, Imam Ibn Syihab al-Zuhri, “Kita tidak pernah lihat zuhud yang lebih hebat daripada zuhud pangkat dan gila hendak jadi ketua. Kadangkala anda boleh lihat orang zuhud dalam makan minum dan harta benda tetapi kalau dicabar kerusi keketuaannya, dia terus melenting dan bermusuh”.

PEJABAT BAHARU

“Ini pejabat baru kita. Bilik Encik R yang ini.”, Kata Encik RR  sahabat sepejabat aku sambil menunjukkan pejabat kami yang baharu.

Pejabat yang jauh lebih besar dari yang sekarang ini. Bilik yang ditanda nombor 4 itu menghadap tingkap luas ke pepohonan menghijau. Feature wall berwarna hijau zaitun. Dilengkapi dengan dinding putih dan permaidani hijau terang.  Perabot pula aku diberitahu dari kombinasi pilihan seni IKEA. Alangkah cantiknya.

“Bila kita kena pindah?”, Aku bertanya.

“Lepas raya Cina”, Encik RR lagi.

“Eh! Sekejap, Encik R sempat ke masuk pejabat baru kita?”, Tiba-tiba Encik A pula mencelah.

Aku tersenyum simpul sambil mata melirik kepada Encik A. Kemudian kami pecah ketawa.