December 8th, 2009

“Papa, ini awan. Ini pula hujan”, Sicilik seraya menunjukkan hasil seni terbaru.
“Eh! Kenapa awan warna hitam? Kenapa air warna hitam?”, Aku.
“Sebab awan sudah penuh dengan asap hitam. Jadi, air hujan turun pun kotor! Bahaya! Boleh demam tau Papa”, Sicilik lagi.
Siapa pula yang ajar sicilik ilmu sains pula ni. Aku dalam hati!
December 7th, 2009
Rezeki Disember siapa tahu. Kertas hitam putih pemberitahuan yang aku terima itu buat mata aku berkaca-kaca. Lulus periksa siapa tidak suka. Naik gaji siapa tak mahu. Hati melonjak. Terima Kasih Tuhan. Rezeki di penghujung dua ribu sembilan ini, benar-benar bermakna.
Tahniah kepada diri! Moga rezeki ini menjadikan aku lebih tunduk kepada Dia. Dialah pemberi rezeki. Terkadang kita alpa, syukurnya untuk bersujud lima entah ke mana. Moga-moga aku menjadi orang yang lebih banyak memberi. Sedikit menerima. Terngiang-ngiang doa itu dalam Duha saban pagi.
“Ya Allah, kalau rezekiku ada di langit, Kau turunkan ia berilah kepadaku. Kalau rezekiku ada di laut, Kau daratkan ia berilah kepadaku. Jika rezekiku ada di dalam bumi, Kau keluarkanlah ia berilah kepadaku. Dan jika rezekiku sudah hampir dengan diriku, kau berilah aku peluang menikmatinya. Ya Allah, kalau rezekiku jauh, kau dekatkanlah. Yang lambat kau percepatkanlah. Yang haram kau halalkanlah. Jadikanlah aku seorang cukup dengan rezeki yang kau beri. Jadikanlah aku seorang yang tahu bersyukur, banyak memberi dan sedikit menerima”
Kepada sahabat yang dianugerahi rezeki. Apa sahaja. Ringgit, harta, pangkat waima cahayamata, tahniah juga!
Januari datang. Mentari riang. Raikan.
December 6th, 2009
Fiksyen.
Jus mangga itu diteguk berkali-kali. Segelas besar itu habis seiring dengan ngobrol setia pada cinta.
Kemudian, dia pesan sekali lagi segelas jus mangga. Dan aku memerhatikan bibirnya yang cantik bagai mendamba cinta!
Silu. Dalam silu kita tertawa.
+++
Dalam tren cinta di Kota Taipei nan dingin. Berpas-pasan surat-pendek-elektronik rindu di bawa bayu musim fuyu ke tanah hangat Kota Lumpur.
Dan aku terus menggagahi baki jus mangga dalam rindu yang bertempur.
musim fuyu – musim sejuk