REZEKI DISEMBER

Dua ribu sembilan yang sudah di penghujungnya. Disember yang mewarnai hidup. Alangkah bersyukurnya dengan rezeki yang melimpah ruah pada penghujung dua ribu sembilan ini. Tahun yang banyak kurnia rezeki dan rahmatNya daripada Tuhan Rabbul Jalil.

Sejak di awal Disember, panggilan daripada agensi-agensi kerajaan (bukan jabatan sendiri) untuk mengandalkan kursus protokol, etiket sosial dan seni  penampilan diri tak termenangkan dek tangan. Mana yang terdahulu sahaja diambil. Mudahnya, Allah takdirkan pula cuti saban Jumaat sepanjang bulan ini. Senang untuk menjadualkan diri antara kerja hakiki dan khidmat bakti kepada agensi kerajaan lain. Sejak sepi tidak dijemput memberi ceramah di jabatan sendiri, semakin banyak pula jemputan bertandang dari agensi lain. Dalam usaha untuk memperbaiki modul, aku tambah beberapa daya penarik supaya pengisian kursus berkenaan dipenuhi dengan ilmu yang lain daripada lain. Sebagai contoh, aku datangkan pembantu khas untuk menunjuk ajar peserta tentang solekan diri, seni pemakaian tudung dan penggayaan rambut .  Terima kasih kepada sahabat networking yang sama-sama menjayakan program yang dirancangkan terutamanya kepada sahabat pramugara/pramugari, rakan jurusolek artis dan syarikat busana yang sudi mengambil bahagian sama. Alhamdulillah peserta amat teruja dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sekali.

Sejurus membuka mata pagi tadi. Ada rezeki tidak tersangka-sangka pula tiba. ‘Berdirilah dua garisan’ yang mampu memberikan harapan. Maha suci Allah, tuhan yang merancang segala  sesuatu. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.