ANTARA SIPUTIH-PUTIH DENGAN DIA

Aku menitipkan air mata bila benda kesayangan itu terhentak kuat ketika berurusan pindah rumah sehari sebelum Aidil Adha. Sudah herot teruk muka Viao putih itu. Balik dari Sabah nanti, perlu aku hantar ia ke ‘hospital’ untuk diubati dengan segera. Mahu marah orang yang buat ia jadi macam itu, tak sampai hati. Kerana dia itu orang yang aku jauh lebih sayang daripada Viao putih itu. Maka, beralahlah aku. mengomel sedikit dalam diri. Sifat aku ialah cermat. Tetapi dah jadi kehendak Allah. Maka terima sahaja dengan sabar. Memang bukan rezeki aku. Akan terbanglah lagi ringgit-ringgit kelak.

Dua kali pengalaman Myvi putih hari itu berulang kembali. Biarlah benda-benda itu pecah dan herot. Biarlah ringgit terbang untuk meladeni sompek dan rosaknya. Asalkan sipelakunya itu aku tidak marah lagi. Kerana aku cinta dia segenap hati.

KENDURI KAHWIN

kenduri_kahwin

Ahad lepas aku menghadiri jemputan perkahwinan sahabat sepejabat Suri. Majlis di rumahnya di tengah Kota Lumpur. Aku lihat pelbagai ragam tetamu.

Ketika sibuk menyuap juadah ke mulut. Datang dua orang tetamu wanita ke meja kami yang masih kosong. Seorang pertengahan umur dan seorang lagi awal dua puluhan. Aku ikuti perbualan wanita pertengahan umur ini dengan peramu saji.

“Makan, bukan u ambilkan ke?”, Wanita pertengahan umur.

(Alamak! Drama dah bermula. Aku mula bersenggol-senggolan dengan Suri).

“Puan, jamuan secara buffet. Silalah ke meja hidangan di hadapan sana.”, Peramu saji wanita sambil menunjuk ibu jari kanan ke arah makanan yang dihidangkan berdekatan laluan masuk ke khemah.

“Oh! I ingat ala-carte dan u send to us“, Wanita itu lagi.

Wanita berumur dua puluhan itu memandang tajam ke arah wanita pertengahan umur itu. Kemudian, matanya bertembung dengan mata aku. Aku senyum sumbing sahaja.

Beberapa minit kemudian, wanita itu datang menatang nasi kosong. Kemudian diletakkannya di atas meja. Kemudian dia menghilang semula. Datang kembali dengan membawa dua pinggan lauk setompok. Oh! Mungkin dia tidak biasa makan nasi campur. Aku berteka-teki. Harapnya habislah makanan setompok yang dia ambil itu.

Kepala aku sudah merencana penghabisan makanan setompok itu. Gambar menceritakan segala-galanya. Aduhai orang Malaysia. Taboonya di mana-mana.

MASALAH

Akhir tahun mungkin detik-detik ujian yang Tuhan datangkan. Ujian dalam rumah tangga. Dugaan bah musim tengkujuh. Dan segala macam lagi masalah. Kalau ia melibatkan sesama manusia, beralahlah. Runtuhkan ego yang mendindingi ukhwah dan perhubungan. Usah ikutkan hati. Nanti mati.

Walau apapun yang mendatang, tabah dan sabar sebaik Bilal bin Rabah. Jangan sekali-kali putus-asa mendepani masalah.