October 21st, 2009

* kredit foto Iqbal
Kekuatan yang makhluk ada, ialah kekuatan yang didatangkan dari Sang Pencipta. Mendepani kesakitan ialah satu ujian. Malah ianya fitrah yang wujud bila dilahirkan sebagai makhluk Sang Maha Segala. Beberapa hari ini, agak tidak sihat sebenarnya. Entah mengapa ‘ia’ datang lagi setelah beberapa waktu yang lama.
Dan aku tahu, tiada lain yang aku pinta, selain kekuatan untuk mendepani ini semua dari Dia; Sang Maha Segala. Kaulah Sang Maha Segala, penyembuh segala derita. Kun!
October 20th, 2009

Aku terhidu wangian daunan momiji memerah dan meluruh di penghujung Aki (Musim Luruh). Kemudian datang, putih salji berjatuhan dan dinginnya itu mengingatkan aku dengan kehidupan di Fukushima yang lampau. Menjejakinya hanya pada rasa, bukan realiti keberadaan badanku tika ini di sana. Tetapi ia cukup menggamit rasa puas di dada. Kenangan berbalam-balam.
Hidup ini penuh impian. Moga impian yang satu ini tergapai.
* KPT.S.500-8/2/4 (44)
October 18th, 2009
Kota Pariaman, Padang telah musnah. Membawa sama pilu berkeping-keping tertanam di dasarnya.
Lelaki Pariaman 1
Kalau mahar kahwinnya seekor beruk, tinggilah darjat lelaki Pariaman. Beruk ialah binatang mahal di Pariaman kerana industri kelapanya menyusup seluruh wilayah Indonesia.
Lelaki Pariaman 2
Lelaki Pariaman ialah pengembara dan pembuka wilayah. Tegar membuka kampung dan tanah di perantauan. Nah! Hingga ke tanah adat Negeri Sembilan mereka berkeluarga di tanah ini.
Wahai lelaki-lelaki Pariaman, pulanglah ke Kotamu. Binalah kembali kotamu yang binasa disinggah bencana berdarah.