Archive for September, 2009

September 21st, 2009

CATATAN SATU SYAWAL

Posted in bebas by Rudy

1. Lebaran di Kota Bharu, sedikit berlainan jika menyambutnya di Banting Selangor. Satu syawal di Kota Bharu ialah duduk di rumah untuk melayan tetamu dan sanak saudara yang datang bertandang. Meski arwah Tok Cik telah lama meninggalkan kami, rumah agam yang dipusakai mama dan abah ini menjadi kunjungan tetap sanak saudara.

2. Ironi sekali tahun ini, tetamu kurang berkunjung ke rumah pusaka agam ini. Ada empat kemungkinan; sama ada (i) pobia H1N1 (ii) giliran sanak saudara berhari raya di rumah pasangan masing-masing, (iii) cuaca yang tidak mengizinkan. Kota Bharu dingin dengan lebat hujan atau (iv) kemelesatan ekonomi.

3. Duit raya? Tahun ini aku perasan bilangan ringgit dalam sampul yang diterima sicilik agak berkurangan. Kemungkinannya satu iaitu masalah kemelesetan ekonomi. Aku? Aku macam biasa sahaja. Meskipun tiada bonus untuk kakitangan awam tahun ini. Bersyukur dengan apa yang ada.

4. Kelengkapan raya? Pakaian untuk suri, sicilik, bonda dan adinda-adinda perempuan semuanya dilangsaikan awal tahun. Aku? Baju raya tajaan semasa mewakili Kementerian dalam pertandingan pantun inter-kementerian masih baharu lagi. Baru pakai sekali. Suri yang rajin, menata rias baju oren itu dengan batu-batu putih dan coklat menjadikan ianya seperti baharu sekali. Seluar jeans pula hadiah suri semasa hari lahir Jun lalu masih baharu lagi. T-shirt pula pemberian sahabat yang terbang ke Jakarta tempoh hari. Maka simpulnya, bukan kikir, tetapi berjimat!

5. Dua Syawal barulah dapat keluar rumah. Ke rumah sanak saudara sebelah isteri dan segala macam makanan. Seperti biasa, aku? Makan setakat perlu. Tegar tidak membelasah makanan. Beringat dengan kolestrol yang sering diperingatkan doktor peribadi yang bising tentang pemakanan kami sekeluarga.

6. Lebaran ini, lebih tertumpu menumpahkan ringgit untuk orang lain terutamanya untuk mereka yang sangat-sangat memerlukan. Moga Tuhan kurniakan aku lebih rezeki untuk menyumbang.

7. Aku ambil kesempatan ini mengucapkan salam aidil fitri kepada kalian sahabat yang sudi bersama bluehikari. Maaf atas segala khilaf. Rafaklah aku memohon ampun, terkadang isu tinta yang ada ini mengguris rasa kalian. Sama-samalah kita bermaafan. Oh ya! Sama-sama berhati-hati di jalanan.

8. Raya-raya juga solat jangan dilupa, makan-makan juga kolestrol jahat jangan dialpa. Pendek kata berpada-pada!

September 19th, 2009

10 PERKARA 29 RAMADAN DI KOTA BHARU

Posted in bebas by Rudy

1. Khamis bercuti. Segera bergegas ambil suri di tempat kerjanya sekitar jam 12.30 tengah hari, sebelum terus bertolak balik ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Jam 9 lebih malam baharu sampai. Sepanjang KL ke Kota Bharu, jalan didapati lengang dan lapang. Bagaikan kami sahaja yang pulang beraya di kampung!

2. Tips: jangan ikut Bandar Raub, tetapi keluar di Mempaga/ Kampung Cinta Manis. Ikut jalan kampung dan kawasan felda kelapa sawit dan getah. Memang lengang! Sejuk dek udara pohonan sawit dan getah.

3. Ahirnya dapat merasa nasi kerabu original air tangan mama. Serik tertipu ketika membeli nasi kerabu pasar ramadan di Kota Lumpur! Patutkah serunding kelapa sudah diperah yakni hampas dijadikan lauk nasi kerabu dan dijual kepada orang ramai sebegitu rupa. Sungguh tidak patut!

4. Pasar borong Wakaf Che Yeh penuh segala macam manusia. Maka pesta berlaga punggung dan segala macam bau terjadi tadi. Itu belum ramai sangat lagi. Kerana masih ramai anak Kelantan dalam perjalanan pulang malam ini dan esok. Aku dapat capal raya buatan tangan dari kulit asli, malah ringan pula. Harga di KL RM60, tapi kerana adinda ipar adalah kenal rapat si penjual yang merupakan kawan sekolahnya, dapat harga RM40! Sangat berbaloi! 

5. Sila lupakan baju berjenama yang kalian beli di KL ketika berada di Kota Bharu. Baju tshirt Top Man atau jeans LEVI’s original yang kalian beli di KL, bersepah-sepah dipakai di Kota Bharu. Mereka bukan tanya kalian beli di KL, silap-silap mereka tanya; Gerai mana satu beli di Pasar Malam Wakaf Che Yeh? Aku simpan baik-baik baju itu dalam beg pakaian. Tidak akan pakai langsung selama berada di Kota Bharu.

6.  Usah bermimpi nak cari tshirt berjenama Top Man, PDI, Padini dan lain-lain di sini. Di sini ialah syurga baju-baju Siam yang seakan-akan sama dengan yang original. KB Mall tidak menjual jenama ternama di KL. Mereka jual jenama yang sesuai dengan kantung ringgit rakyat Negeri Serambi Mekah. Contohnya; Forest!

7. Teringin nak makan colek Kampung Sireh, Pintu Geng, Kota Bharu. Tak dan nak pergi kerana jalan di hadapan rumah sesak teruk kerana orang berpusu-pusu ke Pasar Borong Wakaf Che Yeh. Kereta di parkir sesedap rasa. Dua lorong jadi satu lorong! Nak keluar ke Pintu Geng pun makan masa berjam-jam.

8. Malam raya takkan keluar rumah. Jalan depan rumah akan sesak padat dengan kenderaan. Dijangka kesesakan lebih teruk di Pasar Borong Wakaf Che Yeh dek berpusu-pusu jutaan manusia nak membeli belah saat akhir di situ. Malam raya ialah duduk di rumah menonton tivi. Nasiblah kampung suri berhadapan dengan pasar tersohor itu!

9. Kalau anda seorang yang suka melihat orang, sila cuci mata di malam raya di Pasar Borong Walkaf Che Yeh. Pelbagai ragam ada. Kalian pasti terhibur. Jangan lupa ambil gambar suasana itu. Akupun gila mengambil gambar sampai dijeling orang! Tapi setakat cuci mata sahajalah, nak mengurat mau kena cubit Suri yang dah bersedia bila-bila masa.

10. Entah mengapa, usai terawih malam terakhir di Masjid Padang Enggang, bergugus-gugus air mata ini tak tertahankan. Doa imam pula mendayu-dayu, memang tak tahan! Tak tahu mengapa. Sayu benar nak tinggalkan Ramadan penuh berakah ini. Moga-moga tahun hadapan sempat merasa lagi nikmatnya Ramadan ini.

September 17th, 2009

HIJAU DAN DATIN-DATIN

Posted in bebas by Rudy

Dalam satu kursus protokol, etiket sosial dan penampilan diri (grooming) kendalian aku, yang dihadiri oleh mak-mak datin (isteri-isteri YB), aku memakai baju kemeja dan tali leher warna hijau. Tiba-tiba aku dapat komen daripada salah seorang daripada mereka.

“Encik, lain kali jangan pakai warna hijau. Kami ini sangat alergik dengan semua warna hijau”, Datin Y.

“Kenapa pula?”, Aku. Sengaja bertanya. Buat-buat tak tahu.

“Kan ada satu parti rival tu guna that color!”, Datin Z menyambut.

“Jadi?”, Aku.

“Jadi tak boleh pakai Encik Rudy”, Datin A pula menyampuk.

“Siapa kata tak boleh. Kan warna hijau ini warna yang digemari Rasulullah SAW. Siapa pakai dapat pahala. Dan kalau Datin-datin semua perasan dan sedia maklum, cuba tengok gambar rasmi PM yang tergantung di dinding tu (sambil menunjuk gambar Dato’ Sri Najib berbaju Melayu), bukankah hijau yang dipakainya? Datin-datin ni, janganlah paranoid dengan warna hijau. Ia tak memudaratkanlah”, Aku. Ketawa.

Sunyi. Tiba-tiba.