September 19th, 2009

10 PERKARA 29 RAMADAN DI KOTA BHARU

Posted in bebas by Rudy

1. Khamis bercuti. Segera bergegas ambil suri di tempat kerjanya sekitar jam 12.30 tengah hari, sebelum terus bertolak balik ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Jam 9 lebih malam baharu sampai. Sepanjang KL ke Kota Bharu, jalan didapati lengang dan lapang. Bagaikan kami sahaja yang pulang beraya di kampung!

2. Tips: jangan ikut Bandar Raub, tetapi keluar di Mempaga/ Kampung Cinta Manis. Ikut jalan kampung dan kawasan felda kelapa sawit dan getah. Memang lengang! Sejuk dek udara pohonan sawit dan getah.

3. Ahirnya dapat merasa nasi kerabu original air tangan mama. Serik tertipu ketika membeli nasi kerabu pasar ramadan di Kota Lumpur! Patutkah serunding kelapa sudah diperah yakni hampas dijadikan lauk nasi kerabu dan dijual kepada orang ramai sebegitu rupa. Sungguh tidak patut!

4. Pasar borong Wakaf Che Yeh penuh segala macam manusia. Maka pesta berlaga punggung dan segala macam bau terjadi tadi. Itu belum ramai sangat lagi. Kerana masih ramai anak Kelantan dalam perjalanan pulang malam ini dan esok. Aku dapat capal raya buatan tangan dari kulit asli, malah ringan pula. Harga di KL RM60, tapi kerana adinda ipar adalah kenal rapat si penjual yang merupakan kawan sekolahnya, dapat harga RM40! Sangat berbaloi! 

5. Sila lupakan baju berjenama yang kalian beli di KL ketika berada di Kota Bharu. Baju tshirt Top Man atau jeans LEVI’s original yang kalian beli di KL, bersepah-sepah dipakai di Kota Bharu. Mereka bukan tanya kalian beli di KL, silap-silap mereka tanya; Gerai mana satu beli di Pasar Malam Wakaf Che Yeh? Aku simpan baik-baik baju itu dalam beg pakaian. Tidak akan pakai langsung selama berada di Kota Bharu.

6.  Usah bermimpi nak cari tshirt berjenama Top Man, PDI, Padini dan lain-lain di sini. Di sini ialah syurga baju-baju Siam yang seakan-akan sama dengan yang original. KB Mall tidak menjual jenama ternama di KL. Mereka jual jenama yang sesuai dengan kantung ringgit rakyat Negeri Serambi Mekah. Contohnya; Forest!

7. Teringin nak makan colek Kampung Sireh, Pintu Geng, Kota Bharu. Tak dan nak pergi kerana jalan di hadapan rumah sesak teruk kerana orang berpusu-pusu ke Pasar Borong Wakaf Che Yeh. Kereta di parkir sesedap rasa. Dua lorong jadi satu lorong! Nak keluar ke Pintu Geng pun makan masa berjam-jam.

8. Malam raya takkan keluar rumah. Jalan depan rumah akan sesak padat dengan kenderaan. Dijangka kesesakan lebih teruk di Pasar Borong Wakaf Che Yeh dek berpusu-pusu jutaan manusia nak membeli belah saat akhir di situ. Malam raya ialah duduk di rumah menonton tivi. Nasiblah kampung suri berhadapan dengan pasar tersohor itu!

9. Kalau anda seorang yang suka melihat orang, sila cuci mata di malam raya di Pasar Borong Walkaf Che Yeh. Pelbagai ragam ada. Kalian pasti terhibur. Jangan lupa ambil gambar suasana itu. Akupun gila mengambil gambar sampai dijeling orang! Tapi setakat cuci mata sahajalah, nak mengurat mau kena cubit Suri yang dah bersedia bila-bila masa.

10. Entah mengapa, usai terawih malam terakhir di Masjid Padang Enggang, bergugus-gugus air mata ini tak tertahankan. Doa imam pula mendayu-dayu, memang tak tahan! Tak tahu mengapa. Sayu benar nak tinggalkan Ramadan penuh berakah ini. Moga-moga tahun hadapan sempat merasa lagi nikmatnya Ramadan ini.

Both comments and pings are currently closed. RSS 2.0

3 comments

  1. ltmazizi says:

    Selamat menyambut Hari Raya Fitrah dari aku utk Rudy sekeluarga. Mohon maaf zahir dan batin sepanjang perkenalan kita. Mudah-mudahan persahabatan kita akan terus kukuh sampai bila-bila. Doa agar segala ibadah kita sepanjang Ramadhan akan diterima Allah SWT.

    September 19th, 2009 at 6:31 am

  2. En Kid says:

    Salam..

    Seronoknya di Kelantan..rindu senario2 itu..
    (pernah berada di sana ketika matrik)

    Insya Allah..sama2 kita bedoa agar dipertemukan Allah dengan Ramadhan akan datang..sungguh sekejap dia bertandang..bimbang kalau-kalau kesannya hanya sementara..

    September 19th, 2009 at 9:22 am

  3. cintahati says:

    salam..saye jge….trase bgitu cdih skali wak2 terawikh smlm…lg2 imamnye ayah saye sndri….smpi bwk ke rmh tangisan 2….
    mge bertemu lg ramadhan akn dtg

    September 19th, 2009 at 9:24 am