Archive for August, 2009

August 18th, 2009

PADA ISNIN YANG KUCARI SEMANGATNYA

Posted in bebas by Rudy

Aku toleh jam tangan yang menginjak tujuh pagi. Aku menapak kejap di aspal Jalan Raja Laut yang masih belum macet. Restoran mamak di Jalan Sri Amar aku tuju dengan tenang. Segelas suam barli dan sekeping capati. Menjadi alas perut ini.

Leka aku mengulit Lasykar Pelangi. Dari satu bab ke satu bab aku habisi. Menikmati novel antara deru mobil pagi. Sesekali mata meliar ke sekumpulan merpati berebut roti campakan pemurah seorang lelaki, di kaki lima. Beberapa kali juga terganggu dengan mundar mandir berulang kali dan lenggok sang pelacur lelaki persis wanita. Beberapa waktu bersenggama matanya dengan lelaki-lelaki di dalam restoran mencari mangsa.

Akukah itu sang pemuja TuhanNYA. Menanti waktu tugas bermula. Pada Isnin yang kucari semangatnya.

August 14th, 2009

JUMAAT LAGI

Posted in bebas by Rudy

Macet. Enggak macet di jalananan. Tetapi macet di jalanan hidup. Penuh sekali aktiviti demi aktiviti minggu ini. Makanya blog ini kehilangan kata-kata.

Jumaat lagi. Ini sisipan yang baik untuk kalian telusuri. Jumaat yang barakah dengan dapatan ilmu. Rentetan dari ini kepada yang ini. Bersilalah.

Bismillah.

+++++

Aku berkira-kira. Sudah lama. Sejak Cik Olimpes sakit. Bukan tidak berduit untuk mengobatnya. Tetapi aku masih berkira-kira. Pun tidak terlalu berkira-kira. Kata tuan doktornya, sakitnya itu dengan nilai obat sembuh ar em tiga ratus sahaja.

Kemudian aku berkira-kira. Ini sakit kali kedua. Kalau ditambah dengan biaya obat yang terdahulu, makanya, aku sudah merabak kantung poketku sebanyak ar em enam ratus. Itu sudah boleh membeli Cik Kanon yang baharu. Malah, ada satu tahun insuran kesihatan lagi. Maka, kalau ia sakit aku tidak perlu mengeluarkan biaya setahun lamanya. Diotakku kira-kira menjadi-jadi.

Disebalik itu, Suri berkira-kira juga. Katanya, adalah lebih baik lupakan obat Cik Olimpes. Biarkan ia mati dan dikuburkan dalam kotak simpanan mainan sicilik. Jadikan ia mainan sicilik yang juga obses dengan kamera. Malah, Suri menyarankan agar aku segera mendapatkan Encik Di-es-el-ar. Aku cuma diam. Memang teringin. Bahkan mahu mendakapnya. Tetapi, adalah lebih baik Encik Di-es-el-ar itu dibeli dengan kantung poket Suri. Kerna Suri juga sifu fotografi. Biarlah ia tenggelam dalam kenikmatan bersama Encik Di-es-el-ar nya kelak. Aku rela itu.

“Dude, aku rindu sentuhan gambar petikan engkau!”, Naga.

Malah apabila merenung kembali kata-kata Sinaganaga dalam perbualan di yai em tempohari, aku bagai tersedar dari lena yang panjang. Bagai sudah hilang segala kemahiran. Ini semua kerana masa berkira-kira yang terlalu panjang. Patutlah aku tidak dapat A untuk kertas matematik tambahan semasa SPM.

Ya, aku kira masa berkira-kira aku akan tamat dalam dua tiga hari ini. Di dalam kepala, Cik Kanon seperti melambai-lambai dari balik cermin pameran. Bersedia segera ar em lima ratus untuk itu.

Kompak pun kompaklah. Janji, aku mudah mengeleknya ke mana-mana.

August 11th, 2009

SUF

Posted in bebas by Rudy

Semalam harinya. Hari besar dan bersejarah.

“Mak nak jumpa abang”, Es-em-esnya.

“Untuk apa ya?”, Balas aku berbasa basi.

“Alah, marilah ke dewan”, Es-em-esnya kembali.

Hujan lebat di luar. Maha lebat. Bukan semilir deru anginnya. Tetapi hampir ribut dan menerbangkan khemah-khemah teduhan. Rahmatkah? Atau bala? Redah sahaja ribut kecil ini. Basah tidak mengapa. Mahu berjumpa ibu yang mendambakan pertemuan dengan aku sejak diperkenalkan Suf hanya melalui gambarnya.

“Mak, inilah abang yang banyak tolong saya sepanjang kuliah kat sini macam yang adik cerita dulu”, Katanya memulakan perkenalan.

Aku sambut salam dan mencium tangan ibunya.

“Terima kasih nak, blu bla bla ble… tolong jaga dia… bagi dia duit makan bla blu ble…. “, Ibunya.

Aku senyum sahaja. Aku segera ubah topik ke cerita lain. Tak mahulah semua kebaikan itu diungkit semula. Bikin hati rawan pula nanti.

Lama juga bersama mereka. Sempat bergambar dan kemudiannya aku minta diri kerana perlu pulang awal bersedia untuk majlis rasmi berikutnya.

“Nanti datang Tawau, singgah rumah.” Ibunya menutup perbualan.

“InsyaAllah ibu. Saya datang nak rasa kepak ayam air tangan ibu.” Sambil aku cium tangannya dan amplang (sejenis keropok ikan Sabah) bertukar tangan sebagai hadiah ke tangan aku.

Alhamdulillah. Akhirnya. Anak yang ditinggalkan bapa sejak kecil ini menjuarai ijazah jua. Aku bangga kerana meskipun dia terpaksa mengikat perut dan bekerja sambilan sepanjang empat tahun kuliah di sini, dia tabah dan kuat semangat. Hasil jualan kepak ayam bakar ibunya dan pendapatan dari kerja sambilannya itulah yang memungkin dia meneruskan pengajian hingga berjaya.

“Tahniah Suf. Akhirnya! Masih ingat hujan mata Suf di hadapan abang dan kaunselor? Hari ini hujan mata itu dibayar dengan skrol ijazah yang melayakkan Suf menjadi seorang jurutera. Pesan abang, ingat ibu. Berbakti kepada ibu selagi hayatnya. Meski telah Suf berumah tangga, ibu itu wajib Suf lindungi selama-lama. Hari ini, abang lega. Tanggungjawab abang sudah usai jua. Abang doakan kebahagiaan Suf alam nan dua. Akhirat dan dunia. Maaf segala marah dan cela. Semuanya untuk Suf jadi manusia. Abang halalkan semua.”, Es-em-es aku sejurus tiba di kantor. Entah mengapa, sukar sekali untuk berkata-kata seperti di es-em-es itu di hadapannya. Kerana, aku tahu, Suf itu halus jiwanya. Aku tidak mahu hari nan bahagia ini disusuli dengan air mata pula.

Terima kasih Sang Maha Segala, atas segala rahmatMu.