August 26th, 2009
Lima Ramadhan.
Menerima pemberian menjadi kesukaan ramai orang. Siapa tidak gembira menerima itu dan ini. Lagi-lagi hadiah. Tanpa sedar sebenarnya, sang pemberilah yang selayaknya lebih diangkat kegembiraannya. Bagi manusia pengamal ‘bakhil’, memberi bermaksud rugi. Tetapi, jika mengenal sifat Sang Maha Pemurah yang memberi kepada makhluknya, kita sebenarnya sudah lupa asal tujuan sifat makhluk yang dianugerahi Dia. Dalam hidup ini, aku percaya satu. Rugi yang kau katakan tika memberi, akan Sang Maha Segala balasi dengan lipatan ganda rezeki. Tidak di sini, ganjaran di Sana kelak yang aku dambai. Nah! Mudah bukan, sifir keadilan yang Dia ladeni?
Seperti kata Irfan (BACA: entah berapa kali aku ulangi kata-kata guruku ini), berilah sebanyak-banyaknya. Kemudian lupakan segalanya.
Tahniah kepada ibu Rina. Setelah menunggu bertahun-tahun. Sabarnya itu berbaloi dengan penerimaan jawatan tetap semalam. Siapa dan bagaimana sang pemberi itu biarlah ia dalam pengetahuan Tuhan sahaja. Senyum meleret Ibu Rina sepanjang semalam, benar-benar buat diri ini bahagia. Alhamdulillah.
Berbahagialah kalian, wahai sang pemberi! Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan penuh barakah ini.
August 21st, 2009
R.a.m.a.d.h.a.n. k.a.r.e.em
Enggak pernah aku lupa. Tatkala diusir dari kediaman dengan dua hari notis, seminggu sebelum ramadhan menjelma tiga musim ramadhan yang lalu. Tidak. Tidak sesekali aku lupa tentang hal itu.
Dan sesekali tidak juga aku lupa kepada taulan yang mengambil berat. Menguruskan perpindahan yang maha drastik itu. Bantuan kalian tika itu amat-amat aku hargai.
Fitnah. Bila melanda, buruk sekali akibatnya.
August 20th, 2009
Augustus kata Orang Indonesia, adalah bulan Ogos dalam Bahasa Melayu. Bulan ini adalah bulan kelaparan buku bagi homosapien seorang aku.
Ratusan muka surat bermula dengan Ketika Cinta Bertasbih siri 1 dan 2, aku ladeni. Kemudian, aku lumati pula Lasykar Pelangi. Habis kantung gajiku untuk 3 buah novel dan majalah-majalah ilmu lain yang tak terkira banyaknya. Masih berbaki di tangan ialah Badrul Bambi dan Lentera Mustika. Dua buah buku ini tidak aku keluarkan sesenpun uang untuknya.
Harus aku berterima kasih kepada dua orang penulisnya Raihani Mohd. Saaid dan Nisah Haron atas titipan ingatan, menghadiahi dua buah tangan terbaru mereka kepadaku via posto yang lajunya amat! Badrul Bambi baru aku uliti dua cerpen awal muka dan lewat akhir cerpen di muka surat belakangnya. Manakala Lentera Mustika masih berbaki setengah untuk kucari sisa semangat menghabiskannya.
Pun begitu, sudah tersedia Tunggu Teduh Dahulu karya akhi Feisal Tehrani tersusun kemas di khutub khanah mini di tingkat atas rumahku. Malah di kepala ini sudah terbayang Sang Pemimpi dan Mimpi-mimpi Lintang: Maryamah Karpov sudah aku kira-kira mendapatkannya hujung bulan ini. Kegilaan yang mencabar fungsi dua deria lihatku yang masing-masing udah mencecah -5.75 dan -5.50.