CERTOT PERPADUAN
Aku ada certot. Kalau kalian ada pandangan, silakan. Mohon berhemah tika kalian memberi pandangan. Insiden demi insiden sejak kebelakangan ini membuat nafas tidak terhela lepas.
l Azmir (bukan nama sebenar)
Aku tinggal berjiran dengan sebuah keluarga India. Setiap kali waktu senja, ada bunyi loceng dan bau kemenyan dan setanggi dibakar. Baunya amat mencucuk hidung dan seringkali dibawa bayu masuk ke rumah. Pernah terjadi, anak aku menangis tak henti-henti pada satu rembang senja. Meronta-ronta bagai histeria. Makin dipujuk tangis makin menjadi-jadi. Malah matanya terbeliak-beliak seperti melihat sesuatu. Aku bawa ke Darusshifa, ustaz yang membantu anak aku menyatakan bahawa anak aku kerasukan makhluk yang sengaja dipanggil datang ke rumah. Sejak itu, aku pindah rumah.
ll Chong (bukan nama sebenar)
Rumah aku lot tepi bertanah. Masa mula-mula beli aku diberitahu pemaju kawasan lapang di hadapan rumah aku akan dijadikan taman permainan. Selang dua tahun, terbina surau di hadapan rumah. Setiap hari lima kali sehari azan akan berkumandang. Bahkan, setiap pagi, 30 minit sebelum waktu Subuh, ada suara seperti meratib dalam bahasa Arab dari corong siar raya yang kuat hingga menyebabkan anak kecilku terjaga menangis. Tidur kami tidak tenteram. Sejak itu aku pindah rumah dan sehingga sekarang rumah itu tiada berpenghuni. Mahu dijual tiada siapa yang mahu kerana lot tepi bertanah harganya memang mahal.
lll
Melalui semua itu memang memeritkan. Berbeza bagi mereka yang tidak pernah melalui semua itu, hanya boleh berkata-kata sesedap rasa. Sampai boleh berkata; Apa masalahnya berjiran dengan ‘kandang lembu’? Ada statistik lembu-lembu itu pernah memurtadkan ‘anak bangsa’?
lV
Mengarak kepala lembu dengan darah yang masih menitik dan dipijak-pijak dengan kaki bukan dari budaya Melayu. Jauh sekalilah dari apa yang Nabi SAW ajarkan kepada umatnya. Kalau iya protes sekalipun, biarlah waras. Sekali kita menghina ugama orang, kejahilan orang k eatas agama kita akan tentu tidak tertahan untuk kita menanganinya nantinya. Bagai disahkan Jebatsari, di ketika itu nanti, usah dicari syahid yang bukan-bukan kerana kita yang memulakannya. Pada saya, gelagat 50 demonstran semalam sudah melintasi segala garis dan batas kewarasan. Hasutan;itulah perkataan yang sehabis minimum dan sehabis toleran yang mungkin wajar saya kalungkan ke leher mereka. Ingatlah bahawa penghormatan adalah perkara resiprokal. Ia bersalingan. Kata toleransi berugama? Mana? Tidakkah rumah ibadat adalah keperluan pelbagai penganut? Selagi ia memenuhi piawai Jabatan Perancang Bandar dan Desa,maka apa masalahnya? Jika orang bertanya, tidakkah ini selaras dgn One Malaysia, apa yang kita boleh kata? Saya mengulas dengan melempar emosi sejauhnya kerana sedar bahawa tidak banyak faedah yang boleh ditangguk dari suara yang tinggi melainkan kedangkalan;itu yang akan terserlah dari retorik yang tidak menghadam isu yang sebenarnya. Cuba ikuti respon pelbagai pihak dalam Malaysiakini terkini. Ia terlalu jauh dari muntahan emosi yang didukung oleh puisi ini yang pada saya sebuah kelongsong kosong.Jika ada isinya sekalipun,ia tidak lebih dari gema gema kosong yang dilaung ke udara.Bagai dikatakan Shakespeare,”it may sound great and fury but signifying nothing”. Ah, demokrasilah jua yang memberikan hak dan ruang untuk saya juga, turut berkata-kata.
V
Habis yang kau meroyan demonstrasi hingga mengganggu hujung minggu rakyat mengapa? Sampai peniaga kehilangan punca pendapatan. Kalau iya mahu memprotes gunakan saluran yang betul. Tidak perlu berarak-arak sampai menyusahkan orang lain. Bodoh!
* Cerot l-V di atas berdasarkan padangan beberapa cerita orang perseorangan. Kalian bagaimana?


waris pengiran says:
itulah tindakan daripada manusia yang tidak faham erti sebenar hidup bermasyarakat. mereka bertindak membuta tuli dan buta hati kerana mereka tiada isi hati dan fikiran untuk memahami dan mengerti perasaan orang lain…
August 31st, 2009 at 12:38 am
SHIMI says:
Salam Kemerdekaan Ke 52. Salam Ramadhan juga pada kamu. Moga kita sentiasa saling faham dan memahami antara satu sama lain. Hayati maksud kemerdekaan itu kerana kita pasti akan merinduinya apabila kita kembali terjajah
August 31st, 2009 at 7:48 am
Abang Long says:
Salam Ramadan.
Bila syariat ditendang ke tepi, inilah hasilnya.
August 31st, 2009 at 11:45 am
tED| says:
salam merdeka!
August 31st, 2009 at 12:52 pm
k.a says:
mereka marahkan pembinaan kuil atau marahkan agama hindu? memang memalukan. kesian lembu tu.huhu.
August 31st, 2009 at 4:07 pm
he says:
salam kemerdekaan dan salam perpaduan untuk encik rudy.
berharap sangat agar kita kembali menghormati hak diri sendiri dan hak orang lain dan rasional dalam tindakan.
September 1st, 2009 at 9:21 am
Tabib Haji Norjae Hadi says:
Salam persaudaraan. Singgah sebentar. Apakhabar Tuan rumah ?
September 1st, 2009 at 4:41 pm
sil.entnur says:
biasanye ‘empty vessel makes more noise’..org kampung sy kata la..huhuu
September 1st, 2009 at 5:01 pm