July 11th, 2009
Serius kepada kau, kau dan kau yang telah melahirkan dia tidak sah taraf tetapi tidak berdosa.
Kalau kau tidak mahu anak yang kau lahirkan tanpa kehendak itu, kau beri pada aku. Jangan kau buang sesedap rasa merata-rata. Mati dia, maka bertambah lagi dosa yang kau akrabi. Sudahlah kau berdosa zina. Kemudian kau buang dia.
Nah! Kalau kau tidak mahu anak itu. Beri kepada aku. Aku pelihara sebaiknya. Hubungi aku. Aku uruskan segalanya.
July 10th, 2009

Bertemu suri tidak sampai beberapa waktu. Pagi ini kami berpisah lagi. Seperti berlari empat kali seratus meter kayaknya. Suri baton touch aku. Kemudian, aku ambil ia dan maraton lagi. Bagai berpas-pasan pula.
Jam sebelas pagi ini InsyaAllah berkelana tiga malam ke Taiping. Bertugas sambil menikmati alam. Malah ke langit tingkat jua doa dipanjatkan, agar suri dan sicilik dijaga Dia dengan sempurna. Moga-moga Tuhan permudahkan demi mencari redhaNya.
Asmaulhusna versi ESQ 165 berkumandang. Di telefon tangan. Alangkah indahnya pagi Jumaat yang hijau alam ini.
* Terima kasih Yoe, bingkisan songket dari pantai timur untuk hari lahir aku yang pasti mahal harganya!
July 9th, 2009
Dia akan pulang hari ini. Selepas empat malam bertugas luar daerah. Aku menantinya dengan rindu. Dan setiap kali mengira malam bersama sicilik yang merengek merinduinya, setiap kali itulah aku mengerti betapa sukarnya kami, bila dia tiada di sisi.
Kalau Seperti Selalu
Kalau seperti selalu kejut pagiku dengan ciuman mulus,
kalau seperti selalu seluar, kemeja kerja sudah tergantung bergosok,
kalau seperti selalu tali leherku disemat kemas di puncak leherku,
kalau seperti selalu kasut hitamku sudah berkilat di depan pintu,
kalau seperti selalu lelah dari kantor,senyum menyambutku pulang,
kalau seperti selalu makan minumku tersedia di serkup tudung saji,
kalau seperti selalu pakaianku berbasuh sidai berlipat tangannya,
kalau seperti selalu kemas rapi rumah syurgaku,
kalau seperti selalu terurus hidupku segala-gala.
Tika dia tiada
hidupku bagai mati
sunyi dan sepi.
Wahai isteri
kau kekasih sejati
temani aku di dunia
di syurga.
Rudy Bluehikari
Mingguan Wanita 14 Mac 2005