July 21st, 2009

Sejurus selepas tamat melakukan ekpedisi penyelidikan di Daerah Larut-Matang, Perak 2 minggu lalu. Kami dijemput ke kampung salah seorang staf di Serdang Kedah. Dari Jeti Kuala Gula, Kerian Perak, kami menuju ke Kampung Leret A, B dan C, Serdang Kedah. Utara Malaysia pada ketika ini sedang galak musim buah-buahan. Jadi, jemputan ke rumah staf ini memang tidak dapat kami lepaskan.

Kami disambut dengan buah Ster. Buah seakan-akan honey dew ini rasanya manis di dalam dan agak masam di luar. Bagi aku yang tidak pernah melihat buah ini, memang agak pelik jugalah.

Isi buah ster seakan-akan honey dew tetapi lebih lembut.

Kami juga dihidangkan dengan rambai penuh sebakul.

Juga sebakul penuh buah manggis yang comel-comel. Manisnya terasa dan aku berpeluang memetik sendiri beberapa biji buah manggis ini yang terletak di sekeliling rumah yang penuh dengan buah-buahan tempatan.

Lihatlah isinya yang putih! Boleh menyebabkan kalian menelan air liur. Ia segar kerana baru sahaja dipetik. Berbanding jika kita beli di pasar malam yang sudah lama dalam stor simpanan.

Selain itu kami juga dihidangkan dengan buah rambutan. Inilah buah yang menjadi kegemaran aku sejak dahulu. Isi yang manis malah mudah lekang dari bijinya menyebabkan aku leka mengulitnya.

Pelbagai jenis durian juga ada. Orang lain berlumba-lumba makan pelbagai jenis durian ini. Tetapi tidak bagi aku. Aku lebih rela duduk jauh-jauh dan memerhatikan mereka makan daripada merasanya. Nasiblah orang yang tak makan durian seperti aku!

Disebabkan jadual agak padat di hari terakhir penyelidikan yang merangkumi kawasan Sanctuary Burung di Kuala Gula dan kawasan arkeologi di Pulau Kalumpang, Kerian Perak, kami tidak sempat makan tengah hari. Kami hanya dibekalkan dengan roti dan air mineral sahaja.

Justeru, sesampai sahaja di Kampung Leret dan melihat timbunan makanan, kami seperti semut mendapat gula. Ada yang mengerumum buah-buahan dahulu. Ada pula yang segera menyenduk nasi. Apatah lagi lauk yang disediakan emangnya enak-enak dan original datang dari kampung tersebut. Antaranya gulai nangka dan sambal sotong!

Ini antara kegemaran aku. Kerabu kerang dengan tauge berkerisik. Memang menjilat jari!

Ada juga kerabu bacang! Yang ini manis-manis pedas dengan baunya yang menyengat perasaan.

Dan yang paling tidak boleh aku lupakan ialah gulai lemak ikan air tawar tempoyak! MasyaAllah! Inilah yang menyebabkan ramai dalam kalangan kami menambah nasi hingga dua kali! Walaupun perjalanan dari Kuala Gula ke Serdang Kedah agak mengambil masa 1 jam lebih, tetapi ia sangat-sangat berbaloi. Bagi pihak rombongan, suka saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga Cik Zaina yang sudi menjamu kami dengan makanan dan buah-buahan yang enak sekali. Terima Kasih daun keladi, lain kali jemputlah lagi!
Cuba teka di bawah ini adalah buah apa?


July 20th, 2009

Kalau ke Kuala Sepetang, jangan lupa singgah makan Mee Udang. Mee Udang Kuala Sepetang menjadi sangat masyhur dek penangan pilihanraya kecil Bukit Gantang baru-baru ini. Lebih-lebih lagi TV3 turut mempromosikan makanan tersebut. Banyak jenama Mee Udang terdapat di sini. TV3 umpamanya mempromosikan Mee Udang Mak Teh.
Walau bagaimanapun, menurut seorang tempatan yang aku tanya ketika bertandang ke sana baru-baru ini, Mee Udang Mak Teh tidaklah tersohor sangat di daerah itu. Mungkin dek penangan promosi tivi, maka ia menjadi sangat terkenal dan orang luar akan singgah ke gerai Mak Teh ini yang terletak di tepi jalan menghala Pekan Kuala Sepetang.

Menurut perantara aku ini, Mee Udang yang paling sedap ialah Mee Udang Pak Salleh yang terletak di Pekan Kuala Sepetang. Tanya sahaja kepada sesiapa di Pekan itu, pasti akan kenal siapa Pak Salleh, tauke Mee Udang. Kuahnya jauh lebih pekat dengan sari perisa udang segar yang enak. Harga mee udang bergantung kepada jenis dan banyaknya udang. Bagi harga udang sangkar ianya boleh berharga semurah RM6. Manakala bagi udang liar harga boleh mencecah RM14 sepinggan. Banyak atau sedikit udang boleh diminta kepada penjual dengan bebas mengikut kehendak kalian.

Apa yang pasti Mee Udang di Kuala Sepetang menggunakan sumber udang yang banyak hidup kawasan mangrove (bakau). Udang-udang ini sangat segar dan manis rasanya. Jika kalian berkunjung ke Kuala Sepetang, jangan lupa singgah makan mee udang. Banyak gerai terdapat di sepanjang jalan menuju Kuala Sepetang. Atau terus sahaja cari Mee Udang Pak Salleh atau Mee Udang Mak Teh.
Oh ya, jika kalian mahu merasa Mee Udang di sekitar Bangi. Sila berkunjung ke gerai Mee Udang yang terletak bersebelahan dengan Stesen Petronas di Persiaran Jaya, Bangi (berhadapan dengan Taman Industri Selaman, Bangi). Kalau kalian dari PLUS hala ke selatan, sila keluar di tol Bangi. Kemudian seelpas tol sila teruskan perjalanan sehingga bertemu dengan fly over dengan simpang 4 berlampu isyarat. Teruskan perjalanan (jam 12) dan sehingga kalian nampak di sebelah kiri stesen minyak Shell dan kemudian Petronas. Gerai Mee Udang tersebut terletak bersebelahan dengan Stesen Petronas tersebut.
* Aku ada bertanya dengan seorang penjual Mee Udang tentang pendapatannya sehari. Katanya biasanya pendapatan beliau pada hari hari biasa boleh mencecah RM4K – RM6K. Pada pilihanraya kecil tersebut dia boleh dapat RM12K sehari sepanjang tempoh berkempen tersebut. Fuh! Pakcik Kayo!
July 13th, 2009
Selama 3 hari bermula 10-12 Julai 2009, aku berkesempatan mengiringi Ketua Jabatan ke lawatan penyelidikan ke Daerah Larut Matang dan Kerian, Perak. InsyaAllah bermula dengan entri pada hari ini, aku akan menyelitkan apa yang menarik di daerah tersebut. Mana yang baik ambillah ia dijadikan contoh. Manakala yang tidak dijadikan ingatan sepanjang hidup.

Aku pasti, bila ditanya tentang udang geragau. Pasti kalian rasa teruja dengan rasanya. Udang geragau ini apabila dimasak dengan nasi goreng memang menyelerakan. Itu belum lagi di tambah dalam masakan-masakan lain dan ada sesetengah mereka menjadikannya bahan utama utama untuk resipi sambal dan kuah bagi mee.

Aku terjumpa secara tidak sengaja industri ini ketika hari terakhir selepas tiba di jeti Kuala Gula, Kerian semalam. Aku lihat masyarakat Cina di sini yang merupakan nelayan kebanyakannya, menjadikan udang geragau sebagai hasil pendapatan mereka. Aku agak terkejut dengan penemuan ini. Lihat sajalah udang yang dijemur itu hanya diletakkan di atas kanvas di atas tanah. Selalunya bagi mereka yang arif, penjemuran seperti ini dibuat di atas pangkin khas.

Udang geragau yang basah dijemur. Kemudian pekerja Indonesia membalik-balikkan udang itu supaya ia cepat kering. Apa yang tidak sepatutnya berlaku ialah, pakaian pekerja berkenaan.

Lihatlah mereka hanya berpakaian seluar pendek sahaja. Rambut dan peluh bila-bila masa sahaja boleh tercampur sekali dengan geragau tersebut.

Lihat juga kasut yang mereka pakai. Kasut itulah juga digunakan untuk memijak tanah di luar kanvas. Sedap bukan udang geragau yang kita makan?

Ini pula penemuan yang lebih mengejutkan! Tiba-tiba aku ternampak dua ekor anjing berkeliaran di kawasan jemuran tersebut.

Anjing-anjing tersebut dengan selamba melalui kawasan kanvas jemuran. Manakala pekerja industri itu hanya membiarkan anjing-anjing itu tanpa dihalau.

Lihatlah betapa enaknya geragau yang bakal tiba di rumah kita dikongsi bersama dengan anjing-anjing ini. Malah dapat dilihat anjing-anjing berkenaan memijak geragau yang sedang dijemur tersebut.

Aku semakin teruja melihat gelagat anjing-anjing tersebut dan terus menghalakan D60 untuk meneruskan kerja-kerja mengambil gambar. Dan…..

Gambar di atas menjadi finale kepada industri geragau yang aku lihat! Lihatlah kelibat sang anjing di kiri gambar yang sengaja kencing hanya beberapa sentimeter sahaja dari kanvas jemuran! Astagfirullah! Jadi kalian, masih mahu makan udang geragau lagi? Entah mengapa aku geleng kepala. Dalam keadaan kita gegak gempita dengan isu makanan halal di Malaysia, kita masih terlupa melihat perkara syubhah seperti ini. Aduhai!