Archive for July, 2009

July 27th, 2009

MOHON PANDANGAN

Posted in bebas by Rudy

Semalam dapat emel daripada salah seorang pembaca blog ini. Katanya;

Pertama sekali, saya ucapkan tahniah kerana saudara seorang bloger yang berpotensi untuk pergi lebih jauh (tu pun kalau kuat berusaha la…). Dalam kita menyebarkan sesuatu. Kita mesti peka. Untuk pengetahuan saudara ada beberapa kesalahan dalam blog saudara. Saya nak komen yang (satu) je. Yang lain cari sendiri untuk melatihkan kepekaan saudara. Siapa DIA tu? rasanya lebih sesuai digunakan IA kot…

Emel daripada beliau ini merujuk kepada entri aku yang ini;

HAKCIPTA TAK TERPELIHARA
 
Dahulu, kalau menulis atau menggrafik apa sahaja di sini pasti aku letak nama bluehikari sebagai yang empunya hakcipta. Kononnya tak mahu dicilok. Kita lupa agaknya, semua yang kita ada bukan hak kita. Datangnya dari DIA. DIA yang menjadikan ilham itu terzahir di otak kita. Turun ke lidah, tangan dan wujud di sini. Sejak tersedar hal ini dari pembacaan luas, aku sudah mula tidak ambil kisah tentang hak cipta penulisan/grafik yang aku ada.

Ironinya, kalau kalian mahu ambil apa sahaja yang terencana dalam blog ini silakan. Aku cuma tagih pahalanya untuk bekal di SANA kelak. Tak perlulah mempertahankan hak penulisan/grafik dari akta itu dan ini, sedangkan semuanya bukan kepunyaan kita. Ilmu itu datangnya daripada DIA, kita sebarkanlah.

Ambil yang muluk, buang yang buruk.

DIA yang aku maksudkan dalam entri tersebut dan kebanyakan entri aku di bluehikari merujuk kepada Allah, Tuhan Kaabah. Jadi aku mohon pandangan sahabat blogger yang telah mengikuti bluehikari sejak dari tahun 2000 untuk memberikan pandangan mengenai emel berkenaan. Mohon pandangan mengenai emel berkenaan dibuat dengan berhemah dan penuh dengan semangat ukhwah.

Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan”, Al-Ikhlas:3
(Tafsir Alquran Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Alquran RI)

*****

Aku mengalami kesukaran untuk akses bluehikari minggu sudah. Mungkin entri geragau menjadi puncanya. 

Hits 20 Julai 2009 – 22 504
Hits 21 Julai 2009 – 42 065
Hits 22 Julai 2009 – 34 800
Hits 23 Julai 2009 – 27 441
Hits 24 Julai 2009 - 16 752

July 24th, 2009

RAMBUT

Posted in 1Malaysia by Rudy

Rambut sicilik ini kalau panjang sedikit, membentuklah ia gulungan-gulungan kecil yang aku rasa sangat rimas. Maka dengan automatik aku hantar dia ke kedai gunting rambut. Untungnya sicilik kerana sejak kecil lagi sudah berpeluang merasa geli dengan mesin potong rambut.

Semasa aku kecil dahulu, abahlah yang gunting rambut kami empat beradik. Sebabnya, aku phobia dengan cerita kawan-kawan sekolah. Mereka momokkan keling penggunting rambut itu, akan memotong kepala kami selepas rambut dipotong. Jadi, ia menjadi suatu ketakutan kepada kami adik beradik. Berkali-kali abah dan mak pujuk. Tetap aku tidak mahu. Malah, pernah sekali abah paksa duduk di kerusi di kedai gunting rambut milik kawan abah berbangsa India, aku menggelongsor turun dan melarikan diri. Kami menganggap bangsa lain itu seperti musuh pula. Betapa jumudnya aku berfikir tatkala itu.

Hinggalah aku tingkatan 1. Bila berpeluang bergaul dengan rakan-rakan sekolah dari pelbagai bangsa. Kemudian mengaji sejarah pula. Aku mula membuka minda. Mula berani memotong rambut di kedai India di pekan Banting atau Pekan Koboi Dengkil. Malah tukang gunting kegemaran aku di Banting itu seorang abang OKU berbangsa Cina yang cacat kaki kerana kemalangan. Kalau dia tidak ada, sungguh aku akan menunggu atau kalau dia tidak ada, aku akan balik sahaja. Kalau di Pekan Dengkil pula, aku akan setia menanti seorang pakcik India. Kedua-dua mereka menjadi tukang gunting kegemaran aku. Kerana sambil mereka memotong rambut aku, mereka akan bercerita tentang pengalaman hidup mereka. Macam-macam nasihat yang aku suka dengar.

Berbalik cerita kepada sicilik ini. Aku berazam untuk mendedahkan dia dengan pergaulan dengan pelbagai bangsa sedari awal lagi. Serasa inilah peluang yang ada untuk memupuk semangat bersama tinggal di Malaysia yang pelbagai warna dan ragam bangsanya. Aku tidak akan hantar sicilik bergunting ke kedai Melayu. Klise bukan? Justeru, sicilik ini biasanya aku hantar ke kedai gunting milik seorang India di kawasan tempat aku tinggal. Sicilik sudah biasa dengan kedai itu dan kalau aku bawa ke kedai lain, takkan dia mahu. Kalaupun ada orang lain yang menggunting tetapi sicilik memilih abang yang seorang ini. Seakan-akan dia sudah biasa dengan tukang gunting itu, yang sangat suka melayannya bercerita sambil bergunting.

Usai menggunting rambut;

“Eh! adik kecil cium tangan saya”, Kata abang penggunting rambut itu seperti tidak percaya, Ketika pertama kali aku bawa sicilik ke kedai itu setahun yang lalu.

“Ya, saya biasakan dia salam sambil cium tangan sesiapa sahaja. Supaya dia tidak membezakan sesiapapun rakyat Malaysia yang dia gauli”, Balas aku.

Moga-moga didikan kecil ini impaknya besar kepada sicilik pabila menjejak usia matang nanti. 1 Malaysia!

July 23rd, 2009

ENTRI GERAGAU YANG MENGGEGARKAN

Posted in bebas by Rudy

“Entri geragau telah mula menggeragau pelusuk kantung emel di Malaysia”, Kata seorang teman dalam yai em. Aku tidak percaya mulanya. Hinggalah mendapat semula forward emel berkenaan.

Semalam seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak menghubungi aku di emel untuk mendapatkan lokasi bagi tujuan serbuan. Berita itu kemudiannya dipanjangkan ke Jabatan Agama Islam Perak. Kemudian, seorang wartawan akhbar tempatan juga meminta maklumat yang sama. Mereka akan membuat follow up mengenai pendedahan tersebut. Aku tidak kisah, biarlah ia disebarkan agar khalayak mendapat tahu dan mengambil iktibar.

Aku bukan macam dua orang wartawan akhbar tabloid terkenal yang menulis berita palsu untuk melariskan jualan akhbar petang mereka. Malah aku juga bukan seperti penulis blog ini, yang mengaku dia menulis entri dan meletakkan gambar dengan hakmiliknya di sini.

Hai, macam-macam.

* Saya sudah menerima permohonan maaf daripada penulis duniasaya.com. Justeru, saya membuang link  ke blognya. Semoga beliau berhati-hati dalam penulisannya pada masa hadapan. Adalah menjadi suatu yang bahaya bagi penulis seperti kita apabila mendapat forward emel kemudian menerbitkannya semula tanpa mengetahui sumber rasminya. Sama-sama kita mengambil berat akan hal ini.