NASI LEMAK GULAI IKAN KEMBUNG KUALA GULA

Kami bertolak seawal pagi. Menongkah pekat subuh dan sarapan pun belum tersedia oleh pihak hotel. Perut yang biasanya sudah terisi saban pagi seperti tidak enak kerana terbiar kosong. Kami tidak berhasrat berhanti di Bandar Taiping sementalah menelah kemungkinan ada gerai makanan di sekitar jeti Kuala Gula.

Sangkaan kami meleset. Kami lihat perkampungan nelayan di sekitar Kuala Gula majoritinya penduduk berbangsa Cina. Gerai makanan Cina bersepah-sepah! Sukarnya mencari gerai Melayu. Hinggalah kami terjumpa sebuah gerai yang agak terpencil. Inilah satu-satunya gerai makanan Melayu yang kami jumpa setelah berpusing-pusing beberapa kali di kawasan tersebut.

Aku berbahasa basi dengan tuan empunya pemilik gerai. Katanya, hanya gerai beliau satu-satunya gerai Melayu di situ. Aku angguk sahaja dan malas bercerita panjang dek perut yang sudah berkeroncong sejak awal pagi minta diisi.

Menunya nasi lemak. Dengan gulai ikan kembung. Rasanya yang tiada tara! Segar dari perkampungan nelayan.

Harganya? Sangat-sangat tidak masuk akal. Sangat murah! Mana boleh dapat nasi lemak dengan harga lapan kupang di Kota Lumpur! Atau harga milo ais hanya ar em seringgit di Lembah Klang? Kalian lihatlah papan tanda harga yang aku tampalkan.

Jom singgah!

BUDI

Kadang-kadang dek terlalu tamak dengan helaian ringgit buat diri jadi buta. Buta dengan kebajikan yang dituntut. Tenaga diperah saban hari tanpa lelah. Demi ringgit masuk ke kantung hingga kelalen (jw:lupa) ada peratus dapatan ar em itu adalah hak milik orang lain.

Ironi sekali, menggembirakan hati dua sahabat dengan mengeyangkan temolok mereka, menjadi suatu kegembiraan buat aku tengah hari Isnin yang redup itu. Seorang dari bumi penyu Terengganu datang atas urusan kerja. Manakala yang seorang sahabat sepegawai dari Kota London yang sedang bercuti rehat di Malaysia. Nah, nasi beriani gam dengan kuzi kambing dan ayam masak merah itu kulihat licin sekelip mata!

“Ini untuk kamu!”, tiba-tiba mereka, Hampir serentak pula.

Seplastik keropok lekor mentah yang menjadi kegemaran. Dan kemudian sesampul putih tertera aksara “Tie-Rack & London” bertukar tangan segera. Terhilang bilah-bilah kata seketika.

Pantas sekali aku teringat kata-kata sahabat aku Irfan Jani; Berbuat baik bukan untuk meminta-minta balasan. Tetapi berbuatlah baik kemudian lupakan.

Melihat senyum puas di bibir mereka, buat aku bahagia. Ya, gembira kerana dapat membahagiakan mereka. Meski hanya membahagiakan perut mereka sahaja! 🙂

NATSU DI FUKUSHIMA

Awal pagi natsu yang hangat.

Dia kejutkan aku, Subuh segera katanya. Jam di dinding masih terlalu awal. Aku tersenyum membuka mata.

Di tepi kasur beradu ada bungkusan. Aku belek dan bertanya. Untuk siapa. Dia tersenyum tanpa bicara. Untuk kamu!

Kemudian dia lari ke pintu dan pulang ke apatonya selang sepintu meninggalkan aku terpisat-pisat sendiri.

Sehelai kemeja musim panas UNIQLO idaman! Terima kasih dalam diam. Segera kusarung  mengadap Tuhan. Subuh hening 2.30 pagi di natsu Fukushima.

Belasungkawa
dia kini tiada
hujan di mata.

ヤスミンさん、さようなら!

*natsu – musim panas
*apato – apartment