June 22nd, 2009
Entah mengapa mata aku ini seperti lensa CCTV.
Aku ke kedai membeli ayam. Usai memilih dengan memeriksa kadar putus urat merihnya, aku serahkan kepada tauke untuk ditimbang. Kemudian aku ambil ayam yang hampir dua kilogram itu. Dan ketika ingin menyerahkannya kepada pekerja Bangla yang akan memotongnya. Aku terpempan!
Pekerja itu sedang leka mengelamun di tepi kedai. Mungkin penat seharian agaknya bekerja, hingga tidak sedar jarinya mengorek-ngorek lubang hidung. Digentel-gentelnya hasil lombongannya keenakan.
Aku cakap mahu potong ayam. Ketika dia mahu ambil ayam dari tangan aku. Aku tegur suruh dia basuh tangannya terlebih dahulu. Dia terpinga-pinga dan bertanya asbab. Aku cakap, dia baru sahaja korek hidung. Dia tidak mengaku. Dan terus rampas ayam daripada aku.
‘Cancel!‘, Aku berlari keluar ke kedai sebelah. Salahkah tindakan aku?
June 21st, 2009
Fiksyen.
Selalu cemburu melihat kawan-kawan dilimpahi kasih ayah. Tetapi tidak bagi kami sekeluarga. Deritanya Tuhan sahaja yang tahu. Takdir Tuhan itu kami telan meski pahitnya di tenggorok hidup membekas sekali.
Cendayam ayah masih seperti dahulu. Meski kasihnya ditagih kami sekeluarga. Damba itu tak terpenuh jua. Takdirlah ia. Menanti kami kasihnya di Sana hendaknya.
Walau siapapun dia. Buruk baik dirinya. Tanpa spermanya, tidak kami berempat lahir ke dunia. Selamat hari bapa. Moga Tuhan bukakan hatinya melihat kami yang miskin kasih sayang seorang bapa.
June 20th, 2009
Usai urusan dengan peguam menjelang 11 pagi. Terus aku ke Pasar Borong. Tidak. Bukan pasar borong yang itu. Tetapi, pasar raya bernama ‘Pasar Borong’. Dahulunya Pasaraya Taikali. Sudah bungkus perniagaannya, jadilah ia dimiliki peniaga lain.
Menu hari ini mahu ringkas sahaja. Suri tiada di rumah kerana berkursus. Aku capai Spagheti RM3.99 dan Sosnya RM3.50. Pulang terus sahaja merincih daging ayam dan sosej. Kemudian bawang merah dan bawang putih. Tidak lupa sebiji tomato segar. Tumis semuanya dengan olive oil. Spagheti dicelur 10 minit. Diangkat dan ditoskan.
Tidak sampai setengah jam menu sudah terhidang. Makanlah kami anak beranak dengan riang. Kenyang spageti manis di cerah mentari siang!