Aku ke Hospital Serdang atas sedikit urusan semalam. Kalut agaknya kerana seharian itu aku terlalu sibuk dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan. Hinggalah aku terperasan yang N95 aku sudah tiada dalam genggaman tangan.
Tangan menjadi sejuk. Serasa ais sudah membekukan diri. Kalau hilang habislah. Bukan kerana N95 itu, tetapi kerana nombor-nombor penting dan maklumat yang tersimpan di dalamnya adalah berkaitan dengan kerja. Aku cuba dial nombor aku. Panggilan pertama tidak berjawab. Alamak hati sudah tidak keruan. Kemudian, dengan bismillah aku dial kali kedua. Kedengaran suara wanita di hujung talian. Alhamdulillah! Besarnya kalimah Allah, sehingga aku lupa dek panik berterusan.
Segera aku ke kaunter jabatannya. Dia kata ada pesakit terjumpa telefon itu di kaunter di hadapannya. Lalu menyerahkan kepadanya. Syukur kepada Tuhan. Aku ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pesakit yang aku sendiri tidak tahu siapa dia dan kepada Cik Sharifah Noor Faslina, Jabatan Farmasi Hospital Serdang, atas kejujuran yang ditunjukkan. Kalaulah semua manusia sebaik mereka, alangkah aman dan indahnya bumi Tuhan ini. Hanya Allah yang dapat membalas segala budi baik mereka.
* Tulis surat penghargaan kepada Pengarah Hospital Serdang dan salinan kepada YB Menteri Kesihatan.