KETUPAT CINTA

Ketupat Cinta manis tanaknya terasa. Apatah lagi bau daun bersemi dianyam, diganding dengan beras baharu. Bermain siasah dalam istana begitulah. Jadi iktibar sekalian hamba Paduka Sang Maha Segala.

Ya, sejujurnya aku masih belum kenyang mengunyah Ketupat Cinta.

MOGA TUHAN MENDENGAR

Seorang kakak kaunselor profesional, bertanya khabar aku. Seperti selalu. Dia begitu prihatin dengan apa yang aku alami sejak tahun 2001 itu.

Sakit bagai tiada penghujungnya. Tetapi begitulah aku, Jawapan aku biasanya akan mengusulkan diri agar terus bertenang. Aku hanya katakan kepadanya, aku nikmati perit kesakitan itu dengan tawa. Enjoy the pain! Segera dia berubah muka.

Ironi sangatkan jawapan aku. Hingga membuatkan dia teruja. Kakak, sakit itu perit. Kerut dahi tidak akan memaknakan apa-apa. Justeru, nikmati saja kesakitan itu dengan hati berbunga. Pasti, akan Tuhan balasi ia dengan pahala.

Bayu pertengahan tahun dua kosong kosong sembilan, sejak akhir-akhir ini begitu berat untuk ditempuh. Ironi sekali, aku sedang menikmati kesakitan yang datang seperti selalu. Selalu. Ya, tanpa jemu. Dengan manis muka.

Moga Tuhan mendengar. Bisik kalbuku naik ke langit tingkat. Amin.

JIRAN LAGI

Aku pulang dari kerja Jumaat lepas, jalan di hadapan sudah separuh ditutup. Ada tiga khemah putih dengan kain renda warna merah sudah berdiri megah. Aku agak jiran India itu akan mengadakan majlis besar. Jadi, aku tidak ambil kisah. Kerana sudah lali dengan perkara-perkara di luar dugaan ciptaan mereka seperti sebelum ini.

Aku ingat majlis akan berlangsung sehingga keesokan harinya sahaja. Tetapi sangkaan aku meleset. Ahad malam Isnin. Ketika jam merangkak ke angka sepuluh, dan ketika ramai penghuni jalan satu palang dua belas sudah mahu beransur ke ranjang istirahat, kedengaran lagu-lagu rancak mula kuat kedengaran.  Lebih dua jam, para penghuni perumahan di jalan tersebut terpaksa mendengar lagu rancak yang sengaja dikuatkan sehingga satu taman boleh rasa gegaran dari woofer speaker. Ia diselang-selikan dengan tawa sorak mereka. Aku intai dari balik langsir, mereka sedang menari sambil minum dari botol-botol berwarna hijau. Aduhai.

Ironi sekali, seperti berjanji, jiran tetangga yang turut terganggu mula mengintai-intai dari balik langsir! Aku ketawa geli hati dalam diam.

Kadang-kadang aku pelik dengan sikap tetangga yang sebegini. Perasaan hormat seperti sudah hilang. Kesudahannya, kesabaran aku memuncak apabila jarum jam menunjukkan angka dua belas. Mereka seperti masih tidak mahu berhenti. Esok, semua orang mahu bekerja. Tiba-tiba aku teringat satu insiden di Jepun dahulu. Ketika cuti universiti musim sejuk, masing-masing pakat ke rumah sahabat di Tokyo. Jadi, apabila lama tidak bertemu, maka mulalah masing-masing berbual hingga larut malam. Sesekali pecah ketawa tanpa sedar. Kemudian, terdengar ketukan pintu. Apabila dibuka ada tiga orang pegawai Polis Jepun datang, Mereka mendapat laporan yang kami membuat bising di tengah malam hingga menggangu jiran tetangga. Serik juga, kerana kami semua hampir kena heret ke Balai Polis pada malam itu. Sejak itu kami berhati-hati.

Berbalik kepada kisah jiran aku tadi. Mula-mula aku mahu terus jumpa dengan jiran tersebut dan mohon supaya mereka merendahkan bunyi speaker. Tapi risau pula. Tak pasal-pasal jadi kes gaduh pula. Lagi-lagi mereka telah dipengaruhi oleh alkohol. Justeru, aku nekad telefon Polis. Selepas lima belas minit, sebuah kereta peronda datang. Bagaikan magis, taman perumahan menjadi sunyi. Sepi sekali. Alhamdulillah!