Archive for March, 2009

March 25th, 2009

MENDARATLAH WAHAI HATI

Posted in bebas by Rudy

Didatangi seorang sahabat petang semalam. Keliru katanya untuk memilih antara dua manusia yang mengusik hatinya. Aku diam seketika sebelum bertanya dia tentang sejauh mana dia mengenali dua orang manusia itu

Katanya, yang seorang ini dikenalinya baru dua bulan. Masih di peringkat perkenalan dan terlalu awal untuk menduga hatinya. Manakala yang seorang lagi telah bertahun lamanya dikenali. Hanya kerana satu insiden dia terluka. Parut luka itu membekas dan merubah sedikit persepsinya tentangnya.

Solusi aku mudah sekali. Pilihlah yang telah lama kau kenal hati budinya. Manusia bukan nabi yang maksum. Kesilapan adalah lumrah. Tetapi sejauh mana kesilapan itu diperbaiki menjadi titik tolak penentu pilihan hati. Aku percaya kebaikan akan menjuarai keburukan. Lama, biarpun ia mengambil masa. Kerana Tuhan sendiri menjanjikan yang Haq itu tetap akan timbul meskipun diselimuti debu yang Bathil.

Benar kau boleh terbang ke langit tinggi. Tinjaulah sebaiknya. Kemudian mendaratlah wahai hati dengan selamat!

* Sekadar pandangan dan tidak semestinya dipersetujui.

March 24th, 2009

TARA

Posted in bebas by Rudy

Seperti selalu. Tara tegur aku berbahasa basi dengan bahasa Inggerisnya yang sangat baik. Tara bukan calang-calang orang kerana aku tahu dia punya ijazah sarjana muda dari universiti di negaranya. Usai mengisi penuh gasolin ke dalam kereta aku berbalas bual dengan Tara. Bermula dengan bertanya khabar. Kemudian perbualan melarat dengan rungutan Tara tentang bayaran permit kerjanya yang naik seratus peratus. Katanya tinggal di Malaysia semakin sukar.

“Apa rancangan Tara?”, Aku.

“Saya mahu pulang ke negara asal”, Tara.

“Saya rasa ada baiknya Tara terus di sini sahaja. Daripada Tara pulang kemudian tiada kerja lagi parah. Kemudian, ekonomi pula tidak stabil. Lagi-lagi, politik negara Tara tidak dalam kondisi yang baik.” Lagi. Aku. 

“Atau saya ikut sepupu hijrah ke Australia”, Tara.

“Tara, kamu muslim?”, Aku.

“Ya. Muslim.”, Tara.

“Percaya kepada Allah?”, Aku.

“Mestilah.”, Tara. 

“Kalau Tara percaya kepada Allah dan tidak culas menghadirkan diri bersamaNya lima kali setiap waktu, Tara tidak akan berganjak dari dugaan hidup bukan? Lari bukan segala-galanya”, Aku.

“Ya saya percaya Tuhan. Saya selalu meminta kepada Dia. Tapi Dia tak pernah memandang saya. Tak mahu mendengar permintaan saya.”, Tara.

Aku istighfar dalam hati. Berkali-kali.

“Tara, selama di Malaysia cukup makan?”, Aku.

“Cukup. Alhamdulillah”. Tara.

“Tara dapat kirim duit kepada keluarga di kampung?”

“Dapat. Satu bulan boleh kirim satu ratus”.

“Nah Tara, itu mesej saya. Sudah faham?”

Lama Tara diam. Kemudian dia bersuara.

“Ya, saya tahu. Saya ada baca surat khabar. Kalau bandingkan dengan kawan-kawan saya datang sini tak ada kerja. Kena tipu agen. Duduk himpit-himpit dalam bilik kecil. Duduk bawah jambatan. Makan tak cukup. Mandi air kotor. Kedutaan saya pun buat tidak tahu. Maka saya wajib bersyukur. Alhamdulillah”, Riak senyumnya mula kelihatan.

“Alhamdulillah. Tara kerja kuat. Jangan lupa Tuhan. Usaha dan doa. Jangan putus-asa dengan hidup. Tak mahu rungut-rungut. Jangan bandingkan saya dengan Tara. Kita ada hidup masing-masing. Tara kena pandang orang yang jauh lebih susah daripada Tara. Saya doa Tara berjaya.”

Maha Suci Sang Segala. Yang memberikan aku pelajaran pada hari ini. Terima Kasih atas semua limpah dan kurniaMu selama ini. Hamdallah!

March 23rd, 2009

SENYUM PAGI

Posted in bebas by Rudy

Pagi yang indah. Isnin yang tenang. Semua orang senyum-senyum kepada aku. Entah mengapa kuntuman senyum mereka jauh lebih berseri daripada hari-hari sebelumnya. Aku sapa ramah seperti biasa. Mengapa ya? Aku diam sahaja. Menapak masuk ke dalam lif untuk naik ke tingkat paling atas sekali di mana kantor aku terletak.

Sampai di kantor, staf aku menegur sambil tersenyum yang terlebih lain macam. Aku takut juga kalau-kalau zip seluar tidak dikancing sempurna. Cuba periksa diri semula dari atas sampai ke bawah. Tidak ada yang tidak sempurna. Semuanya macam sempurna. kemeja stripe slim fit warna hitam berbelang putih. Dipadankan dengan tali leher warna perak tanpa corak. Seluar slack nicole warna hitam tanpa flip di depan. Rambut sudah tersisir rapi. Sudah aku rapikan dengan gel selepas mandi pagi tadi. Bulu-bulu halus di wajah pun rasanya sudah aku buang. Nak kata bau busuk dari badan, telah aku sembur Armani Balck Code di badan sebelum berpakaian tadi.

Apa ya? Rasa tidak puas hati. Kemudian, aku masuk ke bilik kerja dan berdiri di depan cermin. Terus tepuk dahi. Patutlah! Aku silap pakai nametag suri rupanya! Aduh, malu seh!

* Maka, angguklah aku, mengaku diri makhluk ini tidak sempurna seperti DIA; tuhan pencipta.