MIGRASI

Alhamdulillah, urusan migrasi server bluehikari.com ke Cyberjaya berjalan lancar. Aku agak akan ada masalah capaian ke bluehikari selama dua atau tiga hari ini. Tetapi, semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada Saudara Gaban Paan yang bertungkus lumus menguruskan semuanya.

Bluehikari akan terus bersiaran kepada anda dari Cyberjaya pula selepas ini.

BANTING SATU NOSTALGIA 2:BAS MARA VS BAS SEPANG

Dahulu, kalau mahu menggembirakan hati kami empat beradik, mak ajak kami semua berbondong-bondong ke Pekan Banting. Tunggu bas di depan SKBC. 

Kalau ada bas MARA kami tidak akan tahan dan biarkan ia berlalu pergi. Kami jeran naik bas MARA. Bas bertingkap kedap udara seperti ada pendingin hawa, tetapi kami bagai tercungap mencari oksigen bila berada di dalamnya. Sudahlah begitu, miskin budi bahasa pemandunya yang sebangsa kami itu cukup menjengkelkan. Belumpun sempat penumpang duduk, bas sudah berjalan. Pernahlah sekali aku tertiarap mencium lantai bas. Kalau tekan loceng mahu berhenti, lajak hentiannya sesuka hati. Kalau ditegur, maka habuannya herdik dan maki. Zaman dahulu mana ada ISO. Boleh mengadu dengan mengisi borang aduan pelanggan. Tua atau muda penumpangnya, semua sama menerima satu penganiayaan. Tahun-tahun lapan puluhan hingga awal sembilan puluhan, bas dari kampung aku ke pekan syurga itu hanya sejam sekali. Kalau terlepas bas yang ini, maka menunggulah sejam lagi. Itulah satu-satunya perkhidmatan bas awam yang ada di kampung kami. 

Tapi, semenjak ada perkhidmatan Bas Sepang Omnibus dari Pekan Nilai ke Banting, ia cukup menjadi pengajaran kepada perkhidmatan Bas MARA itu. Barulah ada persaingan namanya. Bas hijau itu menjadi pilihan jiwa kami, marhaen yang tinggal di sepanjang perjalanan ke Pekan Banting itu. Bas berpendingin hawa dan kalaupun tiada, tingkapnya boleh dibuka luas-luas. Angin menderu masuk dan alangkah nyamannya tatkala ia menderu menimpa muka. Pemandu dan konduktornya yang berbangsa India cukup ramah dan empati kepada semua penumpang. Kami dilayan bagaikan raja. Justeru, kami tegar tidak menahan bas MARA, meskipun tiketnya murah sepuluh sen. Kalau kedua-dua bas berhenti di hentian kami pada masa yang sama, kami akan berebut-rebut naik bas Sepang. Kami akan gelak ketawa menyindir pemandu bas MARA yang masam mencuka kerana tidak dapat pelanggan! 

Aku masih ingat tatkala membawa pulang Nahoko ke kampung halaman untuk ‘diperkenalkan’ kepada emak pada tahun sembilan belas sembilan puluh lapan. Aku sengaja pakaikan Nahoko baju kurung merah. Sengaja juga aku bawa Nahoko berlibur menaiki bas Sepang. Di sepanjang perjalananan yang dilitupi pohonan sawit menghijau, ke Pekan Banting itu, aku buka tingkap luas-luas. Angin menderu menimpa mukanya. Kemudian, melayahkan rambut panjangnya. Nahoko terjerit gembira antara dengar dan tidak, dalam deru angin dan bising bunyi enjin bas. Aku tahu inilah pengalaman yang dia tidak akan dapat lupakan. Manisnya sepanjang hayat kenangan. Benarlah perancangan Tuhan jauh lebih hebat. Hurm…. kami tiada jodoh. Segala-galanya tinggal kenangan. 

April dua ribu sembilan ini. Genap insyaAllah, lapan tahun aku pulang ke tanah Bonda. Menurut Mak, bas MARA dan Sepang itu masih wujud berkhidmat kepada warga Banting seluruhnya. Tetapi, perkhidmatannya telah banyak dipertingkatkan. Jarang sekali ada rungutan. Abad yang penuh dengan kenderaan di jalanan, mereka terpaksa bersaing pula dengan teksi awam dan kenderaan persendirian.

BANTING: SATU NOSTALGIA 1


* kredit foto Ude.

Kedai Emas Tai Yick [BACA: TAHI]. Dalam bahasa Cina (Tai Yick) dan Jepun (Tai Eki) bererti untung yang sangat besar. Nama kedai emas ini memang unik. Kepelikan ini sudah sebati dengan jiwa kami anak jati Banting, Selangor. Seingat aku, kedai emas ini menjadi tumpuan (favorite) orang kampung aku.

Sangat meriah tatkala musim orang kahwin kerana bakal pengantin menjadikan kedai ini tempat membeli barang hantaran atau cincin perkahwinan. Begitu juga kalau orang kampung aku mahu membeli, menjual atau menggadai barang kemas. Kedai inilah yang menjadi tumpuan mereka. Asbabnya satu. Kedai ini membeli emas pada harga mahal dan menjual emas pada harga murah. Boleh tawar menawar lagi.

Kedai emas ini amat membekas di hati aku sebenarnya. Mak pernah gadai gelang-gelang tangannya di situ untuk biaya sekolah aku. Aku tahu, sampai kesudah gelang-gelang mak tidak tertebus walau satu. Tapi, aku berikan mak segulung ijazah undang-undang sebagai ganti untuk itu.

Alhamdulillah.