Archive for October, 2008

October 21st, 2008

ZAKAT OH ZAKAT

Posted in bebas by Rudy

Aku pembayar zakat tegar. Saban bulan gaji aku dipotong secara automatik untuk tujuan itu. Aku tidak faham ada wakil rakyat kerajaan Selangor yang muslim tetapi sosialis mencadangkan zakat itu diberi kepada orang miskin bukan Islam. Apa dia tidak mengajikah?

Nasib baik MB Selangor bukan bodoh. Kalau dia ikut cadangan itu, maka akulah orang pertama yang akan memberhentikan serta merta potongan gaji aku itu. Aku rela bayar zakat di negeri lain.

October 21st, 2008

SERBU

Posted in bebas by Rudy

“Kami cari Encik Rudy semata-mata mahu ucap terima kasih menjaga kami selama ini”, Salah seorang daripada mereka. Di pejabat. Aku diserbu. Tiba-tiba.

Mereka tidak tahu aku sudah pindah dari rumah penyelia itu sejak setahun yang lalu. Pintu diketuk, orang lain pula yang keluar dari rumah itu. Kemudian, mereka ke pejabat lama. Pun tidak ketemu kelibat aku. Hinggalah dikhabarkan aku di jabatan ini. Bergegas-gegas mereka segerombolan ke sini. Aku mahu ketawa pun ada apabila mendengar cerita mereka.

Masing-masing sudah berkerjaya. Kalau dahulu comot-comot belaka tanpa bedak gincu di muka. Tetapi, tidak kali ini. Wangi dengan seri pelbagai rupa! Datang mereka hari ini kerana istiadat meraikan kejayaan mereka dalam pengajian. Terima skrol daripada Tuanku Sultan!

Bagai artis pula. Mereka berebut mengambil gambar dengan aku yang tiada apa-apa ini. Jadi kenangan terindah kata mereka. Padahal watak aku hanyalah debu yang tersirna dari padangan mata.

* Terima kasih anak-anak yang masih mengingati diri ini. Terharu, sampai ke jabatan ini mereka cari. Akhirnya kalian jadi manusia juga! Nah, berbaloi bukan bebelan aku tempoh hari? Selamat bergraduasi.

October 20th, 2008

PANTUN DENGAN LEY

Posted in bebas by Rudy

Ley; 

Limau purut lebat di pangkal,
Batang selasih condong uratnya,
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati kasih apa ubatnya.

Aku;

Tanam selasih di rumah nyonya,
tepi pedati subur sekali,
hati kasih ada ubatnya,
cinta sejati tali temali.

Ley;

Hujung kota tegak kepayang,
tepian kali rendang pohonnya,
utuhkah cinta berpadu sayang,
andai tali jauh simpulnya.

Aku;

Paut bahu dengan eratnya,
mulus sentuh cinta terbayang,
kalau tahu cara simpulnya,
cinta utuh dekatlah sayang.

* Ley, pemantun hebat dan pelajar didikan aku dalam Kelab Pantun kami.