COLEK CHERANG RUKU

null

Aku teruja sebenarnya nak merasa penganan Colek Cherang Ruku yang dikhabarkan seantero Malaysia dalam Majalah Tiga Sabtu lalu. Jenuhlah aku selepas terawih malam 28 Ramadhan mencari tempat letaknya. Kata sahabat aku, ia di Cabang Empat, Berek 12.

Kedainya di tepi jalan. Tapi penuh dengan manusia yang lapar penganan malam. Sampai ada yang berdiri menunggu pelanggan bangun dari kerusi sebelum sesi merebut bangku terjadi.

Aku dan adik ipar berhajat untuk tapau sahaja. Bila aku tempah makanan, Mek pelayan restoran kata bungkus akan dapat lama. Mereka utamakan pelanggan yang makan di situ. Aku sudah keliru. Apa bezanya bungkus dan makan di situ. Sama sahaja. Aku agak mereka malas nak bungkus. Aku kata aku tunggu juga. Tiga puluh minit menunggu baru aku dapat. Itupun sebab ada orang tak ambil makanan yang mereka tempah dan aku belasah cakap itu aku punya.

Bila dirasa kuah yang dikatakan pengacara Majalah Tiga itu enak sekali. Aku agak terkejut. Ini kuah satay orang Jawa! Alahai, tertipu aku dibuatnya. Terus hilang rasa teruja.

* Aku lebih suka colek sebuah gerai di depan Masjid Kampung Sireh dekat dengan Wakaf Che Yeh. Sambalnya lain dari yang lain. Jauh lebih sedap hingga aku nak pergi beli lagi malam ini.

* Colek- Gorengan makanan laut, hotdog, fish cake, fish ball dan cekodok yang dimakan dengan sambal manis khas.

29 RAMADHAN

Kau tahu, Kota Bharu sangat sesak. Jangan harap untuk membeli belah saat akhir. Parkir tidak cukup menampung berjuta-juta rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini pulang menabur ringgit.

Aku lebih suka, santai melihat gelagat orang di pasar borong Wakaf Che Yeh. Berjalan kaki beberapa minit keluar dari rumah dan terus masuk ke dalam lautan manusia di pasar malam itu.

Oh ya, rumah Tok Bah sudah tidak panas lagi. Ada pendingin hawa untuk anak, menantu dan cucu pulang bercuti sakan nanti. Tapi, kalian yang bayar ongkos bil-nya ya. Usah memberati mereka dengan kepanasan kamu!