July 24th, 2008

Alhamdulillah genap setahun tinggal di rumah ini. Inilah musibahnya kalau jadikan bilik sebagai stor tetapi langsung tidak dilihat selama hampir setahun. Habis bilik bawah itu dihurung semut-semut putih.

Maka menangislah aku dan suri melihat buku-buku lebih 8 kotak menjadi mangsa semut-semut putih. Apatah lagi buku-buku itu aku bawa pulang susah-susah dari Jepun. Kemudian, buku-buku grafik suri juga menjadi mangsa. Itu belum masuk lagi barang-barang hiasan dan hadiah-hadiah kahwin yang diratah begitu sahaja oleh semut-semut putih ini.

Paling tragis album-album gambar aku dan suri semasa zaman universiti dan juga barang perhiasan yang aku bawa balik dari Jepun. Apa yang pelik, buku-buku agama pula ,sedikit pun tidak disentuh semut-semut putih ini. Sungguh hairan dan ajaib. Pandai sungguh semut putih membaca dan memilih buku mana yang tidak harus dimamah. tetapi, itulah keajaiban Tuhan.

Disebabkan aku dan suri bekerja, maka kami tiada masa untuk mengemas sisa-sisa mamahan semut-semut putih itu. Jadi, kami bergotong-royong sedikit demi sedikit. Kasi mati dahulu semua semut putih dengan aerosol. Kemudian, panggil pest control. Hampir sebulan kami bertungkus lumus hingga bersih bilik itu kami mop. Kemudian, kami bertiga main cat bersama-sama di suatu petang ahad. Maka akhirnya bilik bawah itu sudah cantik semula! Bilik ini menjadi bilik kerja Suri dan bilik permainan sicilik. Yay!
July 23rd, 2008
Alif. Dalam isu ini yang paling terpukul ialah pembuat kenderaan negara. Belanja penyelenggaraan kereta buatan negara itu didakwa terlalu tinggi. Harga mahal tetapi tidak setimpal dengan penggunaannya. Berkualitikah kereta buatan negara? Tetapi dakwaan tersebut ada benarnya. Ironi sekali, aku pernah ditugaskan menjaga 4 buah kenderaan jabatan yang menjadi kenderaan rasmi ahli pengurusan jabatan. Memang belanja penyelenggaraannya amat mahal bagi jenis kereta yang sama dipakai oleh satu kerajaan itu. Sampai aku terpaksa turun padang meneliti harga peralatan ganti dan upah pasang di bengkel dilantik untuk memastikan aku tidak tersilap membaca angka-angka ringgit yang memang gila itu!
Ba. Maka, sebagai menyelamatkan wang rakyat dari dibazirkan untuk menyelenggara kereta rasmi kerajaan satu kerajaan, tindakan membeli kereta buatan luar negara dibuat. Tetapi persoalannya, mengapakah kereta yang mewah itu pula yang mahu dibeli? Tidak bolehkah sekadar yang berharga sama dengan kereta rasmi yang didakwa mahal penyelenggaraannya? Malukah kalau seorang exco kerajaan yang diamanahkan Allah untuk menjadi khalifah memakai kenderaan rasmi sekadar Toyota Vios atau Altis/ Honda Civic atau Accord sahaja? Harga berpatutan dan berkualiti pula.
Ta. Bising lagi pembayar cukai yang satu ini. Mana tak bising. Rakyat diminta berjimat tetapi tidak tercermin langsung kepada yang menyuruh.
Tha. Sesungguhnya tugas pemimpin itu sangat berat. Amanah itu terpikul sampai ke neraca akhirat.
July 22nd, 2008

* siri lukisan hidup – bluehikari
Isnin semalam. Hari lahir kakak. Tetapi, ucap selamat yang aku sepatutnya hantar tidak terhantar. Kerna terlebih dahulu dari itu, aku menerima es-em-es pilunya. Â
“Innalillahi Wainna ilaihi rojiun. The cancer spread to 4 areas. The rib, liver, left collarbone nodes and the nodes at the right jaw“, Kakak.
Larilah aku ke tandas. Bungkam dan diam. Lama. Sebelum wudhuk aku bercampur air mata. Maha suci Tuhan yang mentakdirkan segala-galanya. Dalam sujud Duha itu, aku doa untuk kakak. Moga dia tabah setabah-tabahnya.
Kantung es-em-es aku kemudiannya ditebak lagi. Nun dari seberang laut, bingkisan dari sahabat aku terima. Penuh harap. Adakah hari ini adalah hari untuk aku bersedih sahajakah? Â
“Hadirlah keajaiban, terangilah kehidupan“, Fajr.
Ya, inilah es-em-es inspirasi. Buat peneguh semangat diri-diri yang hampir hilang. Segera es-em-es yang datang Scotland ini, aku bingkiskan ke Banting dan Putrajaya. Selain aku telan sendiri supaya menjadi pasak diri.
Ya Rabb,
Berikanlah kami kesabaran dan ketabahan dalam payah ini.
* Apa khabar Chill dan Shifa? Ingatan aku sangat kuat kepada kalian berdua. Sihatkah? Duga hidup kalian sama dengan kakak. Aku bimbang. Amat.