BELASUNGKAWA: SN S. OTHMAN KELANTAN


* foto kredit Ibnu Ariff

Kali terakhir bertemu beliau di pementasan teater pelajar. Beliau berseloroh dengan aku, tatkala aku menolak meminum air teh tarik yang sememangnya sudah hampir 3 tahun aku tidak mencicipnya. Sejurus itu, beliau mencicip teh itu. Terus katanya, manis! Amat manis! Memang baik sungguh kamu tidak minum. Kami tertawa dan kata aku lagi; untuk kesihatan lebih baik kita jangan minum sama-sama. Lalu beliau meletakkan cangkir teh tarik itu ke meja dan aku sua air mineral dan disedutnya. Ini yang terbaik, katanya.

Itulah kali terakhir. sebelum aku dikhabarkan sahabat; yang beliau telah kembali kerahmatullah di Hospital Serdang malam tadi. Negara kehilangan seorang sasterawan negara yang banyak menyumbang fikiran melalui ketajaman tintanya.

Rakaman ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Prof. SN S.Othman Kelantan yang kembali kerahmatullah malam tadi di Hospital Serdang. Jenazah akan disempurnakan hari ini. Setakat jam 7.50 pagi ini, aku dimaklumkan jenazah akan dibawa ke surau Bangi Perdana untuk dimandikan dan dikafankan.

Alfatihah! Moga rohnya dirahmati Allah SWT.

PARKIR

Hello, saya nak komplenlah Encik Rudy”, Dia.

“Assalamualaikum?”, Aku.

“Hah! (jawab salam acuh tak acuh)”, Dia.

“Boleh saya bantu Prof.?”, Aku.

“Nilah, pasal parkir ni! Saya geram! Tak boleh sabarlah! Bila kau orang nak pasang balik palang parkir tu? Susahlah saya nak parkir kereta. Parkir semua students dah kebas. Kereta saya dahlah mahal, parkir jauh-jauh di luar kang kena curi ke apa. Kau orang ni buat kerja ke tak?!”, Dia.

“Macam nilah Prof., sebenarnya urusan palang parkir itu sudah selesai. PO pun sudah keluar. Cuma sedikit kesabaran diperlukan sahaja. Syarikat yang membekal sedang uruskan. Kita ini kerja kerajaan. Mahu beli sesuatu barang mahu tidak mahu kena ikut peraturan. Lainlah kalau kita pakai duit sendiri. Bila mahu sahaja boleh terus keluar duit dan dapat barang”, Aku. Lembut.

“‘Banyaklah alasan kau orang ini!”, Dia.

“Insyaallah Prof., saya uruskan. Erm…by the way, jam berapa Prof datang kerja pagi tadi sampai tak cukup parkir ini? Saya datang jam 7.45 pagi tadi masih banyak yang kosong”, Aku.

“Jam 9.00 pagilah!”, Dia.

…….

Alahai, jam 9 pagikah. Aku. Dalam hati sahaja. Senyum sahajalah.

BERTUKANG

 

Lama. Ya sudah lama tidak bertukang. Sabtu lepas dari jam 11 pagi hingga 6 petang, dengan 10 sahabat seyayasan bergotong-royong. Membina teduhan satu projek khas. pasaknya simen, tiangnya kayu dan atapnya zink.

Buat lubang, melecet tangan. Paku disua tukul besi, bergegar satu badan. Gergaji kayu, menggigil tangan. Sua zink pada kawan di atas, mendongaklah aku berkali-kali. Panjat memanjat. Turun naik tangga. Akibatnya, Ahad yang permai semalam, aku bangun dengan satu badan rasa sakit dan sengal.

Sah! Badan sudah terlalu lama dimanja-manjakan! Rasakan.