April 23rd, 2008
“Kau tahu tak? Kau dah berdosa. Kau guna waktu kerja untuk buat blog!”, Dia.
Aku senyum sahaja.
“Setiap detik masa di pejabat itu untuk kau cari rezeki yang halal. Nak bagi makan anak bini. Kau sanggup ke nak suap nasi haram ke dalam perut anak bini?”, Tazkirahnya lagi. panjang.
“Sudah?”, Aku. Tanya pendek.
“OK, puas hati aku dapat luah perasaan kat kau hari ini.”, Dia. Jawab. Nadanya puas.
“Sekarang waktu kau es-em-es aku ini waktu kerja bukan? Tak ada kena mengena dengan rezeki engkau kan? Kau sudah berdosa jugalah kan?”, Aku.
“Alamakkkkkkk….”, Dia.
* Lain kali tanya dulu. Waktu aku menulis blog biasanya sebelah malam di rumah [Terima Kasih perkhidmatan Maxis Broadband]. Ketika suasana begitu hening. Ketika cengkerik dan katak bersahut-sahutan [Perumahan aku hampir dengan kawasan belukar]. Ketika Suri dan Sicilik sudah lena diulit mimpi. Kemudian, entri aku itu aku save di server blog. Blog ini akan generate entri tersebut secara automatik untuk paparan pada keesokan harinya. Selalunya jam 12 tengah malam atau 8 pagi keesokan harinya, sudah ada paparan baru. Begitulah teknologi!
Titik.
*Tips: Mahu ada blog sendiri? Percuma sahaja. Sila ke http://leoxa.com. Ia menggunakan enjin wordpress yang sangat mudah untuk dikendalikan. Â
April 23rd, 2008
Filem dengan tajuk Jangan Pandang Belakang sudah ada. Kemudian, ada pula selepas itu Jangan Tegur. Tapi percayalah, selepas ini tajuk Jangan Main Belakang akan ada juga! Macam-macam cara nak tarik perhatian penonton! Alahai.
* Apalagi ya tajuk filem/drama menggunakan perkataan “JANGAN”?
April 22nd, 2008
Melayu kalau lebih sedikit dari sesama bangsanya, boleh bikin jadi sakit hati. Kemudian dendam berkati-kati. Pantang lebih sedikit, dengkinya berjela-jela. Perkara baik dijuihkan mulut. Kaya sedikit katanya bisnes dadah. Takpun bela polong, hantu raya atau penanggal. Sifat inilah yang menjadi barah dalam kalangan umat Melayu. Islam pula itu!
Aku kalau ada Melayu Islam sebangsa dengan aku lebih berjaya daripada aku, aku akan lebih gembira. Bersyukur kerana ada bangsa aku yang berjaya. Setidak-tidaknya ia memberikan aku lebih motivasi untuk lebih berjaya. Bukan pergi jumpa bomoh dan sihirkan dia supaya jadi bodoh. Atau bisnesnya dilingkupkan dengan pelbagai cara. Kalau dia naik pangkat aku tumpang gembira. Bukan berusaha untuk mencantasnya dengan segala permainan politik yang kotor.
Ironinya, ketika menelaah Berita Minggu kelmarin, ramai nama blogger dicatatkan walaupun URL mereka tidak disertakan sepenuhnya [termasuk URL aku! Ha! Ha! Ha!]. Wartawan temuramah dua tiga blogger. Tetapi nama-nama blogger tersohor yang lainnya, satu-satu dipaculkan dari mulut supaya mereka juga mendapat kebaikan sama. Alhamdulillah, kegembiraan dua tiga blogger yang ditemuramah dikongsi sama rata oleh semua. Berbeza dengan sesetengahnya yang hanya mahu mereka sahaja menjadi bahan berita!
“Terima Kasih sebut nama aku dalam BM”, Es-em-es dia. Sultanmuzaffar.
“Orang berbudi kita berbahasa. Hari tu, kau sebut nama aku dalam akhbar juga.”, Aku. Berbahasa basi.