PASTI TINGGAL TULANG

Alhamdulillah. Tuhan izinkan lagi jalan-jalan cari makan. Kali ini di Restoran Ikan Bakar Malim, Melaka Bandaraya Bersejarah. Hajat dihati mahu ke Umbai Melaka. Tetapi sudah terlalu klise rasanya. Niat belanja anak saudara; Dania terlaksana jua. Restoran ini agak terkenal juga. Restoran utama di Cheng. Tetapi kami ke cawangannya berhampiran dengan UTEM dan MITC.

Ketika sampai sekitar jam 8 malam, restoran agak lengang. Mungkin penangan semua orang berkurung di rumah untuk menonton Konsert Akademi Fantasia. Jadi, pesanan yang dibuat begitu cepat. Aku tempah siakap tiga rasa, sup ayam dan kailan tumis sotong disamping nasi goreng ala Thai dan Cina. Kami makan berlima dan aku teruja kerana sup ayam dan sayur untuk seorang makan boleh dimakan untuk empat orang! Tiba-tiba teringat kembali ketika makan di Tari Cafe Pulau Pinang tempoh hari.  

Kalau ikut nafsu memang mahu makan pelbagai jenis ikan yang tersedia dibakar. Tetapi disebabkan aku sudah kekenyangan, maka hajat itu aku hentikan. Nasi setengah pinggan pun sudah langsai. Aku banyak meratah sayur dan ikan. InsyaAllah lain kali boleh makan ikan bakar dengan nasi lemak pula.

Kalau ke Melaka jangan lupa singgah di restoran ini. Kalau ke umbai bukan sahaja ikan bakarnya agak mahal tetapi jauh dan petrol melayang. Cuba singgah di sini. Kalian akan teruja dengan harga makanan yang ditawarkan!

Suasana di dalam restoran pula amat kondusif. Selesa dan interior yang tidak terlalu padat. Layar besar tv pula tersedia. Sebelah malam juga ada terjual pelbagai jenis tebaran roti termasuk roti canai dan murtabak. Terdapat juga hidangan makan malam buffet seperti makan tengahari. Selain ala carte seperti kebiasannya.

Habis ikan kena ratah! Menepati tagline yang terdapat di papan tanda restoran ini; PASTI TINGGAL TULANG!

Teliti baik-baik harga makanan dan minuman yang aku bayar untuk lima orang. Hanya RM49.20! Terkejut bukan? Di kota Lumpur jangan haraplah dapat harga sebegini.

Restoran Ikan Bakar Malim
No 2 & 4, Jalan TU 40
Taman Tasek Utama
75460 Ayer Keroh, Melaka.
Tel: 06-2324234

* Rugi siapa yang tidak makan ikan dan sewaktu dengannya! :p
* Fajar, ya ampunnnn! :p

TAKDIR DAN HIKMAH

Benarlah. Walau nampak kekhilafan itu ada kepada hakim yang berat sebelah timbangan pengadilannya, tetapi akurlah kepada sebaik-baiknya perancang yang Ada di atas Sana. Apabila kun kata Allah, maka jadilah ia. Kekalahan kita ada hikmahnya. Mana tahu apabila kita jadi juara kita akan mendabik dada. Mana tahu sebelum bertanding niat kita hanya untuk membalas dendam kerana badi kekalahan sudah dua kali meriba kita kepada orang yang sama. Maka jadilah ia dosa-dosa yang tak terampun. Menang untuk kemegahan dan canangan sahaja.

Adinda-adinda sekaliannya, peristiwa Musa Alaihissalam ketika bersama Khidir Alahissalam jadikanlah pedoman. Ya, akui setiap yang direncanakan Tuhan itu ada sebab musababnya. Sama seperti apa yang dilakukan oleh Khidir Alaihissalam dalam peristiwa itu hingga Musa Alaihissalam mengakui kekhilafan dirinya akibat menegur perbuatan Khidir Alaihissalam yang baginda tidak tahu sebab musababnya. Allahlah sebaik-baik perancang. Terimalah takdir ini dengan berlapang dada. Luas dan renung jauh untuk mencermin diri kita.

* Baru pulang dari Melaka; Pertandingan Pantun Piala Canselor Universiti Multimedia.

LEKOR 008

  

Kalau bertandang ke negeri yang terakhir mendapat menteri besar, jangan lupa singgah di Pantai Kelulut kerana di situ terdapat kedai menjual keropok lekor yang sedap. Kalau tidak silap Kedai nombor 008. Ini antara kedai menjual keropok lekor segar yang sedap di negeri Penyu ini. Letaknya di Pantai Kelulut jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Dahulu kedai ini hanyalah bersifat gerai papan dan kecil sahaja. Sekarang ia telah bertukar menjadi bangunan batu dua tingkat! MasyaAllah! Murah rezeki pengusaha ini. Mudah sahaja untuk mengenal kedai ini kerana ia terletak berhadapan dengan kawasan restoran dan rehat di pantai kelulut.

 

Aku suka keropok lekor yang direbus dan dimakan begitu sahaja. Sementara adik aku suka yang goreng. Jadi kami beli dua-dua jenis. makan pula dengan dicicah dengan sambal manisnya. Sungguh enak! Aku beli bungkus sahaja kemudian ke salah satu restoran di Pantai Kelulut. Makan keropok lekor dengan air kelapa segar sambil dihembus angin pantai! Memang asyik dan hilang segala kekusutan hidup di Kota Lumpur!

 

Jom singgah!

* Lepas ini ke mana pula? Redang! Redang! Redang!