January 27th, 2008
Dua minggu lepas semasa aku di luar negara. Jiran di hadapan rumah berpindah. Tidak tahu ke mana.
Kemudian, tadi aku terdengar perbualan jiran di sebelah kiri dengan jiran di sebelah kanan rumah. Jiran sebelah kiri rumah akan berpindah hari ini. Katanya jauh berulang dari sini ke tempat kerjanya di Selayang. Jadi dia mahu menyewa di Selayang. Aku nak tolong angkat barang, tapi dia kata tak mengapa. Sebab dia guna agensi. Semua sudah dibayar. Aku hanya tolong melihat sahaja.
Sicilik pasti akan terasa kehilangan. Kerana jiran aku itu ada seorang puteri kecil yang hampir sebaya dengan sicilik. Setiap petang atau cuti hujung minggu, akan berlaku sesi panggil-memanggil antara satu sama lain. Kalau hari ini anak aku, esok anak jiran aku.
“Tawannnn..ooo…tawan“, Anak aku/anak jiran aku.
Maka masing-masing akan keluar rumah dengan basikal masing-masing. Berbual tot tet tot tet sambil berbasikal di dalam pagar. Mereka gelak ketawa sambil kami masing-masing terhibur melihat gelagat mereka.
Wah. Makin sunyilah tanpa jiran tetangga. Ada sesiapa mahu berpindah di sebelah dan hadapan rumah aku? Sewa lima ratus ringgit sahaja. Haha!
*tawan-kawan (pelat sicilik)Â
January 26th, 2008
Makan malam grup pentadbir di Kelab Tasik Putrajaya. Rutin jadi pengacara majlis. Aku selit pantun ini;
Dara sunti berkebaya Kedah,
Disunting teruna anak juragan,
Hidangan enak terhidang sudah,
Sila jamu janganlah segan.
“Kenapa mesti juragan? Gred juragan tak ada kat sini. Kat sini gred N, G, W, DG, S, C adalah“, Kakak comel melaser.
“Kan Restoran ni bentuk kapal. Juraganlah sesuai.”, Aku. Gelak-gelak.
Kakak comel diam. Terkulat-kulat.
* Gred N, G, W, DG, S dan C merujuk kepada gred kumpulan pentadbir awam.
January 25th, 2008
Bangunan 3 tingkat setengah itu sudah hampir siap. Kerja-kerja akhir sedang dilaksanakan sebelum pemeriksaan menyeluruh dibuat hari ini. Pemilik bangunan itu ialah jabatan aku. Aku pula mewakili Ketua Jabatan dalam hal ehwal pembangunan dan infrastruktur jabatan.
Pengalaman aku memang kosong dalam bidang senibina. Jauh sekali bidang teknikal dan kejuruteraan. Selama mengambil alih tugas ini daripada pegawai sebelum ini pada pertengahan Ogos 2007, aku banyak sekali belajar perkara baru tentang pembinaan sebuah bangunan.
Saban minggu ke tapak pembinaan. Memakai topi kuning dan kasut but getah tinggi berwarna kuning juga. Memegang selembar kertas pelan bangunan. Wajib periksa agar ia menepati spesifikasi jabatan. Tidak boleh serah bulat-bulat kepada konsultan dan kontraktor. Memang mengasyikkan. Walaupun penat sedikit. InsyaAllah Februari ini segalanya selesai. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan. Tiada lagi kelewatan.
Selesai yang ini, projek seterusnya aku sedang rancang bina sebuah lagi bangunan di tepi tasik sedia ada di jabatan. Moga-moga lagi sekali dipermudahkan. Ongkosnya? Pandai-pandailah aku nanti, korek sana sini dari wang tabung amanah. InsyaAllah demi anak bangsa yang dahagakan ilmu, kami bina sebuah lagi kota peradaban untuk perjuangan agama, bangsa dan negara. Moga-moga mereka belajar sungguh-sungguh kelak, dengan prasarana yang tersedia.
Puas! Bila bangunan tersebut siap nanti! Doakan.
* Wahai Bulan mengambang, cepatlah kau berlalu! Â