GERAI PAU NOMBOR LAPAN

Kalau kau singgah di Hentian Rehat dan Rawat Simpang Pulai Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, jangan lupa makan pau di gerai nombor lapan milik M***n A****d (Satu-satunya gedai jual pau). Bukan apa, sebelum kau makan paunya kau sudah kenyang dengan makian dan jelingan tajam salah seorang pekerjanya. Seram!

“Boleh lalu tak!!!!”, jerit seorang perempuan muda gempal dengan nada suara keras berpakaian uniform putih-hijau menandakan dia pekedai di situ. Aku dan kawan aku terkujat ketika sedang meninjau pau-pau dalam tray.

“Tak boleh gitu dik. Kami customer, kena cakap baik-baik. Customerkan raja.”, Aku cakap baik-baik.

[Dia jeling aku dan kawan aku dengan mata yang tajam]

“Dahlah Dy, tak kebulur kita tak makan kuih pau dia”, Kawan aku. Sudah naik angin.

Aku gelak-gelak. Terus pergi ke gerai sebelah menjual roti. Disambut ramah pekedai yang sentiasa mengukir senyum. Aku pilih roti ada inti sosej dan serunding ayam di bahagian tepi kedai. Cashier di hadapan kedai ramai pelanggan yang menunggu layanan.

“Tak pe, abang bayar kat saya pun boleh. Kat depan tu ramai sangat orang”, Kata pekedai muda itu.

Enam ringgit bertukar tangan.

Tak rugi kalau kita berbudi bahasa. Tiba-tiba teringat lagu di trek ke 16 CD Imran Ajmain versi Singapura. “Mari bangsaku mari saudara, kita gunakan bahasa kita……”, antara liriknya. Mungkin lagu ini tiada dalam cd yang akan dijual di Malaysia kelak. 🙂

 

JIRAN 2

Hujan lebat dan angin kencang Isnin lalu mematahkan salah satu dahan pokok yang telah dibunuh, dibakar dan dibiarkan menjulang ke langit oleh jiran aku yang bertuah ini. Nasib baik ia tidak menimpa mana-mana rumah kami. Encik A datang rumah aku petang Selasa. Dia ajak aku dan seorang lagi jiran untuk sama-sama menumbangkan pokok itu. Rumah kami bertiga berisiko menerima akibat jika pokok itu tumbang ke arah deretan rumah kami. Tinggi pokok yang sudah mereput itu melebihi bumbung rumah dua tingkat kami.

Encik A baling tali ke dahan paling atas pokok dan menjerutnya. Kemudian kami sama-sama menggunakan kudrat yang ada menarik pokok itu sekuat tenaga. Alhamdulillah, akhirnya pada tarikan yang ketiga pokok itu tumbang menyembah bumi. Paling seronok, pokok itu tumbang ke arah kawasan lapang belakang rumah jiran bertuah ini. Kami senyum gembira tanda syukur kepada Tuhan. Kemudian, sama-sama yam seng minum sarbat merah air tangan isteri Encik A di wakaf yang dibina di belakang rumahnya.