Archive for November, 2007

November 30th, 2007

CEMPAKA ANUM

Posted in bebas by Rudy

Suri sibuk menyiapkan tempahan hantaran kahwin. Bersepah rumah dengan barang-barang hantaran yang sedang didekorasi, renda-renda, kertas-kertas, bakul-bakul, manik-manik dan bunga-bunga. Serba biru. Sicilik tekun “membantu” suri. Ada sahaja mulutnya komen itu ini. Pot pet pot pet tidak mahu diam.

“Mama, buat apa?”, Sicilik.
“Mama buat hantaran kahwin Acik S”, Suri.
“Mama I*** pun nak tawinlah”, Sicilik.
“Hah? Dengan sapa?”, Suri.
“Dengan Cempaka Anum!”, Sicilik. Tiba-tiba.
“Ekkk. Eh, tapi kenapa nak kahwin dengan dia?”, Suri.
“Ala, mama ni. Tanya-tanya pulak”, Sicilik tarik muka.

Sudahnya Suri gelak sampai sakit perut. Pulang dari kantor petang itu, Suri buka cerita. Amboi, Kecil-kecil cili padi. Sunatpun belum ada hati nak kahwin.

* Cempaka Anum ialah bayi baru yang dijaga oleh pengasuh sicilik. Entah mengapa teruja betul dia dengan bayi bernama Cempaka Anum ini. Nantilah, kalau ada kesempatan aku nak berkenalan dengan ”bakal menantu” aku ini. Ha! Ha! Ha!

November 30th, 2007

TOL

Posted in bebas by Rudy

Harga tol tidak naik bagi 4 lebuh raya utama. Itu kata Tok Menteri berkaitan. Semua Senyum lagi. Senyum sebab ini strategi pilihanraya. Ya, pilihanraya sudah hampir. Kalau naik sekarang, mahu ramai yang akan beralih arah. Ada jaminan tiada kenaikan pada 2009?

November 29th, 2007

SATU RINGGIT SEMBILAN PULUH DUA SEN

Posted in bebas by Rudy

Tahun depan syiling satu sen akan lenyap dari pasaran. Harga barang akan dibundarkan kepada perpuluhan yang terhampir. RM8.62 menjadi RM8.60 sahaja. Tetapi kalau RM9.67 akan menjadi RM9.70. Aku tidak kisah tentang itu.

Aku kisah harga petrol. RM1.92 sen seliter akan menjadi RM1.90 sen sahaja seliter. Semua sudah senyum. Ironinya, senyum itu akan bertukar menjadi kelat sekelip mata selepas itu. Kerana, ura-ura harga petrol akan naik lagi pada tahun hadapan. Maka lenyapnya RM.0.02 sen itu akan digantikan dengan nilai harga yang lebih tinggi selepas itu.

Senyumlah. Senyum dengan kelat.