Archive for October, 2007

October 23rd, 2007

KUZI OH! KUZI

Posted in resipi by Rudy

 
(foto: dari web Perbadanan Perpustakaan Kelantan)

Mak Saudara Suri bawa kuzi daging ayam dan roti pada hari raya pertama. Memanglah aku tak pernah merasa makanan ini sebelum ini. Bila mencecah sahaja lidah, aku sudah tahu ia memang serasi dengan citarasa aku. Maka, jadilah aku manusia yang lupa seketika dunia. Makan makan dan makan.

Cerita ini tidak tamat di sini. Jam 1 pagi 2 Syawal 1428 Hijrah itu, tiba-tiba aku rasa perut memulas-mulas. Pedih dan perit bersilih ganti. Maka, tahulah aku susu masam yang menjadi salah satu bahan dalam resipi kuzi ini telah meracuni perut aku. Almaklum, perut yang sedia tidak kebal ini memang alah dengan makanan yang terlalu masam atau pedas.

2 Syawal ini jadilah aku penunggu setia kamar kecil itu. Setiap kali berziarah ke rumah saudara mara sepanjang hari itu, aku pasti meninggalkan ‘tanda’ di rumah mereka! Nasib baik, ada satu kedai runcit berdekatan rumah Suri menjalankan perniagaan pada raya kedua itu. Dapatlah aku memborong sedozen pil chi kit teck aun. Fuh! Taubat aku tak sentuh kuzi lagi. Tapi, kata staf aku yang juga berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu, keluarganya tidak pernah menggunakan susu masam dalam resipi kuzinya. Dia menggunakan susu cair. Wah! Mata aku tiba-tiba jadi bersinar-sinar. Ada peluang untuk aku makan kuzi lagi. Yay!

Ini resipi Kuzi Daging Ayam yang staf aku beri. Ada sesiapa boleh masakkan untuk aku?

Bahan-bahannya;

5 Sudu besar minyak masak
600 gram daging ayam
125 ml susu cair
125 ml sos tomato
Sedikit garam dan gula pasir

Bahan-bahan untuk dikisar halus;

1 sudu teh jintan putih
1 susu teh jintan manis
4 cm halia
15 biji lada hitam
4-5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 biji buah pelaga
Sedikit kulit kayu manis
Sedikit lengkuas

Cara memasaknya;

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan dikisar halus hingga terbit minyak. Masukkan daging ayam bersama susu cair, sos tomato, garam dan gula. Masak hingga ayam empuk, dan kuah pekat sambil dikacau sekali sekala. Angkat.

* Kalau kalian suka pedas, letaklah cili banyak-banyak ya~ 

October 22nd, 2007

KEK LAPIS SARAWAK

Posted in bebas by Rudy

Sehari sebelum raya, adik aku telefon dari Banting. Ada bungkusan pos ekspress dari Bintulu Sarawak. Aku suruh buka kerana pastinya aku tidak akan berhari raya di kampung mak tahun ini. Takkan mahu buka lepas raya. Sedangkan di bungkusan tersebut tertulis perlu disejuk bekukan. Alhamdulillah, rezeki ramadhan. Aku dapat kiriman kek lapis Sarawak daripada bekas pelajar aku yang sudah bergaji besar sekarang ini. Ingatan itu mengingatkan aku tentang ukhwah yang selama ini terjalin. Sekian lama dan ia bertambah subur dengan ingatan seperti itu.

Terima Kasih kepada AA atas kiriman kek lapis Sarawak yang aku tahu harganya mencecah 3 angka. Moga dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Aku panjangkan kek lapis itu kepada adik-adik aku. Semoga pahalanya bertambah dan menjadi saham akhirat untuk AA. Jazakallah.

* Terima Kasih juga kiriman kuih pusuk (kuih raya Bintulu yang diperbuat dari adunan cili kering, ikan bilis dan tepung yang baru saja sampai sebentar dari via poslaju) 

October 20th, 2007

CUTI LAGI

Posted in bebas by Rudy

Menanti seseorang sehingga dia sampai sesuatu yang memenatkan atau sesuatu yang menyeronokkan?

Bagaimana sambutan eid? Aku masih bercuti. Bercuti panjang kerana baki cuti yang mencecah 30 hari. Ada seorang kawan aku cukup cemburu dengan keadaan cuti aku yang berbaki. Sedangkan dia tinggal negatif 1.4 hari. Ha! Ha! Ha!

:p