Satu kumpulan dengan kami di peringkat saringan ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Penerangan (naib johan tiga tahun berturut-turut) dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Aku suka betul dengan pantun-pantun jualan dan belian seorang pemantun Kementerian Penerangan ini. Sungguh indah dan menusuk kalbu tatkala beliau lontarkan.
Kadang-kadang terkedu untuk menjawab. Bila diselidiki rupa-rupanya pemantun ini ialah DJ Klasik FM dan suaranya gemersik di corong radio. Jawabnya, mengantuklah Suri selepas ini kalau aku tukar siaran 103.3 dan 97.6 ke Klasik FM dalam kereta nanti. Hahahahaha!
Ini antara pantun yang aku karang –
Perduan Nipah ditebang nyonya
Untuk dijual di Pekan Tuaran
Wajib nikah pada rukunnya
Mengapa mahal duit hantaran?
Melati di taman disunting inang
Taruh di dulang bersama cempaka
Kualiti jalan terbaik dicanang
Mengapa berlubang mengundang celaka?
Terbang sekawan burung serindit
Hinggap seekor di pohon berangan
Di balik saman terselit ringgit
Tauladan pemimpin apa gerangan?
Silalah jawab.