September 21st, 2007
Pasar Ramadhan di tempat aku ini memang tiada tandingan. Berpusu-pusu manusia dari jauh sanggup datang kerana ayam bakarnya. Sejak aku bujang inilah tempat aku mencari lauk pauk berbuka puasa. Tapi, percaya atau tidak, kalau aku katakan sejak 1 Ramadhan yang lalu, aku belum sekalipun menjejakkan kaki di Pasar Ramadhan itu.
Sesak. Itu gambaran yang boleh aku nyatakan. Bukan setakat mahu parkir pun susah, tetapi mahu membeli juadah pun sukar kerana lautan manusia yang ramai. Sampai kawan-kawan aku menggelarkan Pasar Ramadhan ini sebagai Pasar-Ramadhan-Gesel-Punggung. Tapi bagi aku, ia lebih dari itu. Aku istilahkan sebagai Pasar-Ramadhan-Melekat-Punggung. Dek kerana ramainya manusia. Sampai tidak boleh berjalan melalui gerai-gerai jualan. Melekatlah manusia itu antara satu sama lain.

Ironinya, ada sahabat mengakui kesukaran akses ke blog ini sejak semalam. Sama sesaknya ketika membeli lauk pauk berbuka di pasar ramadhan ini. Bila diselidik, hits ke bluehikari.com naik sekali ganda berbanding hari biasa. Rupa-rupanya tulisan aku tentang Angkasawan Malaysia pada 14 September 2007 yang lalu menjadi punca. Ia diulas oleh jurnalis/wartawan terkenal Ahirudin Atan di blognya. Terima kasih juga kepada sempai saya, Kak Nor.
September 19th, 2007
1515. Itu ruang lingkup diskusi ilmiah Faisal Tehrani. Aku duduk di barisan hadapan. Lewat sedikit hadir. Tetapi, penerimaannya baik. Usai diskusi itu, aku dijemput berkenal-bual dengannya. Turut serta Tn Haji Samsudin Osman selaku tuan empunya bilik. Panjang lebar kami berbual. Dari isu bahasa Me[a]layu[sia], kegagalan DBP dalam usaha menjadikan Malaysia tetamu utama dalam Pesta Buku Frankfurt hinggalah masa depan anak bangsa.
Pluralisme antara isu hangat kami petang itu. Sinonim sangat dengan apa yang sekarang ini cuba diracun dalam pemikiran anak-anak dalam filem, drama dan iklan di media. Tanpa sedar ia menyelinap masuk ke dalam otak anak-anak kita. Lalu, kitalah yang sedar tentang itu perlu bangkit menentang perkara sebathil ini dari terpasak dalam nubari anak-anak kita. Bahaya!
Sempat bertukar-tukar nombor telefon sebelum aku meminta diri. Rezeki ramadhan! Aku dihadiahi sebuah buku himpunan cerpennya: Kekasih Sam Po Bo. Terima Kasih daun keladi. Aku sedang leka menelaah Tuhan Manusia, karya terbarunya. Kalian dah baca 1515, 1511 dan karya-karya beliau lainnya?
September 18th, 2007
Â
* kredit foto: ryuhana.blogspot.com (arigatou ne)
Satu perkara yang aku suka tentang ramadhan di Fukushima ialah waktu berpuasa yang singkat. Selama 4 tahun berkelana ilmu di sana, 4 kali ramadhan jatuh pada musim dingin. Jam 3.30 petang waktu Malaysia (Jepun: 4.30 petang) sudah boleh iftar.
Selalu aku buat nakal. Telefon ke kampung atau kawan-kawan di Malaysia sambil mengunyah-nguyah makanan. Atau menghirup sup dengan bunyi dibuat-buat. Memang meraung adik-adik aku yang tengah berpanas lembik di rumah. Ha! Ha! Ha!