Archive for September, 2007

September 25th, 2007

TAHUKAH

Posted in bebas by Rudy

Tahukah. Betapa perit dan ngilunya dada. Tatkala debuan kaca, miang buluh atau rerambut halus dipuja untuk menyebabkan kesakitan. Kepada Tuhan. Kepada Tuhan kita memohon keampunan dan kesembuhan.

September 24th, 2007

SPAGHETTI GORENG IKAN BILIS KOTA BELUD

Posted in bebas by Rudy

Dua tiga hari lepas, aku masak spaghetti goreng ikan bilis Kota Belud. Aku mencari kelibat ikan bilis di kantung simpanan. Teraba-raba dan akhirnya aku jumpa. Tinggal dua atau tiga genggam sahaja simpanan ikan bilis kami. Hampir setahun juga aku tidak beli ikan bilis di pasar. Ikan bilis ini amat istimewa. Istimewa kerana ianya datang segar dari Kota Belud, Sabah. 

Ikan bilis itu pemberian istimewa daripada seorang sahabat yang berasal dari daerah itu. Pada mulanya aku minta bantuan untuk membelikan aku sekilo ikan bilis sahaja. Tetapi entah mengapa tiga kilogram pula dia beli dan bawa menaiki kapal terbang ke Semenanjung. Bila aku mahu membayar, sesen pun wang aku dia tidak mahu. Tanda persahabatan katanya dengan senyuman. Dia beritahu aku, ayahnya telah bantu menawarkan harga ikan bilis tersebut dari penjual. Dapatlah harga murah dengan gred A yang sememangnya mahal.

Aku amat hargai pemberiannya. Malah setiap kali ikan bilis ini menjadi bahan masakan kami sekeluarga, aku tidak akan lupa untuk menyebut namanya. Aku junjung kebaikannya. Hanya Allah yang boleh membalas kebaikan dirinya. 

Ironinya, persahabatan kami pada masa ini, mungkin boleh disama ertikan dengan habisnya ikan bilis itu dari kantung simpanan aku. Ya, kami tidak seperti dahulu lagi. Insiden demi insiden yang berlaku dalam persahabatan kami, menoktahkan perkataan ‘sahabat’ itu sendiri. Kadangkala insiden itu amat kecil, tetapi melarat menjadi satu pergaduhan yang besar. Sukar sebenarnya. Tetapi aku selalu menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. 

 

Begitulah selalunya aku menjadi kalah dengan kebaikannya. Justeru, akulah yang seringkali mengalah untuk menjernihkan hubungan. Hinggalah insiden yang terakhir itu, salam perdamaian aku tidak bersambut. Maka akhirnya, aku kunyah lumat-lumat Spaghetti Goreng Ikan Bilis Kota Belud itu. Biar lemak manisnya melalui tenggorokku dengan perlahan. Supaya tidak hilang rasanya seperti mana aku kehilangan sahabat seperti dirinya.

September 24th, 2007

BELASUNGKAWA NURIN

Posted in bebas by Rudy

Moga rohmu Nurin, aman setelah lama kelibatmu dicari ramai sang prihatin. Tenanglah Nurin dalam rahmat Rabb. Percayalah tragedi ini memberi seribu hikmah kepada kami yang tinggal. Keadilan pasti ada. Tidak di sini mungkin di sana. Akurlah aku itu takdir Tuhan. Redha dan bersangka baik kepada Dia. Dialah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Tanpa sekelumit pun tersembunyi.

Alfatihah.