September 24th, 2007

SPAGHETTI GORENG IKAN BILIS KOTA BELUD

Posted in bebas by Rudy

Dua tiga hari lepas, aku masak spaghetti goreng ikan bilis Kota Belud. Aku mencari kelibat ikan bilis di kantung simpanan. Teraba-raba dan akhirnya aku jumpa. Tinggal dua atau tiga genggam sahaja simpanan ikan bilis kami. Hampir setahun juga aku tidak beli ikan bilis di pasar. Ikan bilis ini amat istimewa. Istimewa kerana ianya datang segar dari Kota Belud, Sabah. 

Ikan bilis itu pemberian istimewa daripada seorang sahabat yang berasal dari daerah itu. Pada mulanya aku minta bantuan untuk membelikan aku sekilo ikan bilis sahaja. Tetapi entah mengapa tiga kilogram pula dia beli dan bawa menaiki kapal terbang ke Semenanjung. Bila aku mahu membayar, sesen pun wang aku dia tidak mahu. Tanda persahabatan katanya dengan senyuman. Dia beritahu aku, ayahnya telah bantu menawarkan harga ikan bilis tersebut dari penjual. Dapatlah harga murah dengan gred A yang sememangnya mahal.

Aku amat hargai pemberiannya. Malah setiap kali ikan bilis ini menjadi bahan masakan kami sekeluarga, aku tidak akan lupa untuk menyebut namanya. Aku junjung kebaikannya. Hanya Allah yang boleh membalas kebaikan dirinya. 

Ironinya, persahabatan kami pada masa ini, mungkin boleh disama ertikan dengan habisnya ikan bilis itu dari kantung simpanan aku. Ya, kami tidak seperti dahulu lagi. Insiden demi insiden yang berlaku dalam persahabatan kami, menoktahkan perkataan ‘sahabat’ itu sendiri. Kadangkala insiden itu amat kecil, tetapi melarat menjadi satu pergaduhan yang besar. Sukar sebenarnya. Tetapi aku selalu menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. 

 

Begitulah selalunya aku menjadi kalah dengan kebaikannya. Justeru, akulah yang seringkali mengalah untuk menjernihkan hubungan. Hinggalah insiden yang terakhir itu, salam perdamaian aku tidak bersambut. Maka akhirnya, aku kunyah lumat-lumat Spaghetti Goreng Ikan Bilis Kota Belud itu. Biar lemak manisnya melalui tenggorokku dengan perlahan. Supaya tidak hilang rasanya seperti mana aku kehilangan sahabat seperti dirinya.

Both comments and pings are currently closed. RSS 2.0

One comment

  1. fajar says:

    sabarlah rudy. suatu hari nanti, rasa marah itu akan menjadi rindu yang cukup menggamit rasa. Insya Allah, detiknya akan tiba salam persahabatan itu bertaut semula.

    September 26th, 2007 at 5:42 pm