August 13th, 2007
Mengapa kalau kebebasan dilambangkan sebagai burung yang sedang terbang di angkasa?
Mengapa kalau hujan dikaitkan dengan sang katak ya?
Dan kamipun menang dengan johan kreatif malam itu, disamping mengekalkan naib juara keseluruhan. Tari di pentas. Benarlah ianya cerminan hidup kita di dunia untuk bekal di akhirat.
August 9th, 2007
Salam takziah buat FAIZAH NOR BT KASMURI, pelajar seliaan aku. Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada seluruh ahli keluarga; ayah, ibu dan adik-adik tercinta yang terkorban dalam kebakaran rumahnya awal pagi kelmarin.
Aku terkilan tidak dapat turut serta rombongan menziarahi jenazah keluarganya di Kluang Johor. Entah mengapa mesyuarat di Kota Lumpur pagi tadi lambat benar habisnya. Akhirnya, hanya sempat menyampaikan salam takziah melalui Ketua Jabatan yang bergegas ke rumahnya bersama rombongan jabatan tengah hari tadi.
Moga-moga Faizah dan empat beradik mereka yang lain diberi seribu ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah ini. Maha suci Allah Tuhan sekelian Alam. Daripada Dia kita datang, Kepada Dia jualah kita kembali. Benarlah, kita tidak punya apa-apa. Hanya kepada Allah kita mendambakan harapan dan kekuatan. Alfatihah.
* Rujuk Berita Harian dan Utusan Malaysia.
August 7th, 2007
Benarlah, dalam satu entri yang aku pernah tulis dalam Bluehikari pada 9 April 2003; Mendongak ke atas tidak selamanya menginsafkan kita. Baik aku menunduk ke bawah. Masih ada manusia yang jauh lebih susah daripada apa yang aku dapat sekarang.Itulah ubat keresahan”.
Ironinya, hari ini genap satu bulan hidup tanpa kenderaan. SLST telah sah menjadi milik orang. Selama satu bulan ini, aku berusaha menggunakan kudrat yang ada berjalan kaki pulang ke rumah dari pejabat. Ini antara salah satu usaha aku untuk mendidik hati dan meruntuhkan ego sendiri. Aku telan hakikat, manusia ini tidak punya apa-apa. Hanya Allahlah sebesar-besar kudrat. Jika selama ini, kita mungkin gah dengan kereta yang kita bawa. Tetapi, jika kita sudah tidak ada kereta, sanggupkah kita menjadi susah kembali dengan berjalan kaki sahaja?
Pada mulanya, aku rasa sangat kekok. Rasa ego menguasai diri. Malu dan seribu perasaan menguasai diri. Apatahlagi, sepanjang berjalan kaki pulang itu, ada mata-mata yang memandang. Seakan-akan aku ini alien pula. Pelik dengan apa yang aku lakukan. Aku balas pandangan mereka dengan senyuman.Tetapi ada juga manusia yang berhati mulia menumpangkan aku pulang hingga ke tangga rumah! Masya Allah, moga kebaikan dan rahmat Allah mengiringi hidupnya mereka. Alhamdulillah, nasihat Haji H beberapa tahun lepas mengenai usaha meruntuhkan ego diri ini aku mula nampak hasilnya.
Kata Haji H, dahulu dia mengaji pondok. Guru Sufi yang mengajarnya mencabar dia untuk menjadi pengemis selama sebulan. Kata Gurunya, ia baik untuk membersih dan mendidik hati. Haji H sahut cabaran itu. Selama sebulan itu Haji H menjadi pengemis. Pelbagai pengalaman dirasainya. Pernah dicaci maki, ludah dan ditolak orang. Pernah juga dijamu makan oleh seorang hartawan. Pengalaman itu mendewasakannya dan dia mulai faham bagaimana persepsi manusia itu boleh merubah segala-galanya.
Ya. Mengubah persepsi seseorang terhadap makhluk ciptaan Allah bukan sesuatu yang mudah. Apatahlagi untuk cuba mencermin diri sendiri. Aku harap aku berjaya mendidik diri. Kerana, aku mahu Allah. Aku mahu bertemu Allah dengan bersih zahir dan batin. Benarlah kita tidak punya apa-apa. Pangkat, harta dan kuasa hanya sementara. Itu pinjaman Allah yang lebih berkuasa. Selagi hayat dikandung badan, teruskan membina peradaban masa depan, yang mana pada masa yang sama ianya adalah kelangsungan ibadat kita hambaNya kepadaNya.
Kita hidup untuk Dia.Â
Maha Suci Allah. Tuhan sekalian Alam.
Jom jalan kaki!