PENGGUNA MERDEKA

Ironi sekali konsumer di Malaysia banyak tertipu dengan komersialisasi di media. Aku cuba perhatikan satu iklan penyembur aerosol untuk membunuh sang nyamuk. Kononnya, mereka mencipta satu teknologi baru dengan dua muncung semburan. Omongnya, lebih tepat semburan ke arah nyamuk dan kawasan liputannya jauh lebih luas.

Tetapi, terfikirkah kita, sebagai konsumer untuk melihat agenda sang pembuat ini. Hanya memikirkan untuk mengaut ringgit dari kantung konsumer. Nah! Ironi sekali. Jika diperhatikan 2 muncung semburan itu sebenarnya akan menyebabkan aerosol yang terkandung dalam tong semburan itu akan segera habis dek kerana pintu semburan yang jauh lebih banyak. Justeru, jika selama ini kita boleh bertahan satu atau dua bulan untuk satu tong semburan itu, maka untuk produk dua muncung semburan yang diwarwarkan sebagai teknologi baru itu, akan menyebabkan konsumer tertipu. Entah-entah tidak sampai sebulan sudah habis digunakan.

Betapa bijaknya tenaga fikir manusia yang hanya ingin mengaut untung ini. Jadi, saranan aku. Elakkan membeli jenama merah kuning itu. Belilah yang biasa. Satu muncung semburanpun sudah cukup untuk membunuh sang nyamuk.

Alternatif lainnya, kalau kau lebih prihatin dengan ozon yang semakin bolong diterjah pemanasan global dek pelepasan gas-gas yang tak sepatutnya, usah beli langsung penyembur-penyembur aerosol itu. Satu pepatah dari negara Zimbabwe pernah aku baca dahulu; dunia ini bukan kita warisi dari nenek moyang kita. Tetapi kita pinjam daripada anak cucu kita. Seeloknya kita kembalikan alam ini kepada mereka dengan keadaan yang hijau dan tanpa kerosakan.

Jadilah konsumer merdeka.
Salam merdeka daripada Rudy Bluehikari.

* Terkesan dengan iklan Petronas; dua kanak-kanak sekolah rendah Melayu dan Cina yang ditanya tentang kisah cinta mereka.

BAHARU

Benarlah. Bulan Ogos ini penuh dengan seribu kerja. Kemudian arahan pertukaran pula di tengah bulan. Cuti sekolah juga pada bulan Ogos. Tuntutan kerja dan keluarga begitu mendesak. Tapi, Alhamdulillah, semuanya selesai. Baharulah rasa sedikit lega. Pulang dari bercuti, setimbun kerja menanti di atas meja kantor.

Sejak berpindah jabatan, baru hari ini kelengkapan komputer diterima. Barulah boleh buat kerja. Peralihan tugas memang memenatkan. Tetapi, alah bisa tegal biasa. Sejak dilantik ke jawatan awam ini pada tahun 2002, sudah 5 kali bertukar jabatan. Sudah lali.

Alhamdulillah. Aku dipermudahkan Tuhan di jabatan baru ini. Punya bilik sendiri, parkir sendiri, kelengkapan komputer meja dan riba sendiri. InsyaAllah, ia menyuntik semangat aku untuk lebih tekun bekerja. Ya, sebagai ibadat untuk aku mengabdikan diri kepadaNYA.

* Barang-barang masih di pejabat lama. Bila ya mahu berkesempatan untuk mengangkut 20 kotak itu semua ke sini?

KELANA

“Kau ke mana? Sepi tanpa berita.”, Dia. 

Aku berkelana. Hampir dua minggu. Tinggalkan segala hiruk pikuk Kota Lumpur. Aku rasai ketenangan apatah lagi dengan limpah rezeki musim buah. Alhamdulillah, rambutan, manggis, dokong, duku, durian dan belimbing ranum di halaman rumah. Maha Suci Allah pemberi rezeki.

Kesihatan Abah tak mengizinkan. Jadi kali ini, akulah juara pemanjat pokok-pokok itu. Ya, dahulu semuanya abah yang lakukan. Aku hanya goyang kaki menikmati setiap jenis buah-buahan yang abah petik. Ya, bukan mudah memanjat pokok-pokok manggis, dokong, rambutan yang penuh cabang itu (BACA: Kali terakhir aku panjat semasa darjah enam). Ditambah pula dengan sang semut dan kerengga berumah sama mencari teduh di situ. Berbintat-bintat kulit aku digigit kedua-dua jenis makhluk itu.

Abah buat perigi baharu. Perigi lama sudah tercemar airnya. Argh! Aku rindu air perigi lama yang bertahun-tahun digunakan generasi keluarga Suri itu. Air perigi baharu terasa kemasamannya. Tiada pilihan lain, terpaksa jua mandi dengannya, apatah lagi musim kering pantai timur memungkinkan aku mandi lebih 3 kali sehari! Panas sebegini sudah tidak dapat aku tahani, bagaimana pula nasib aku di Sana kelak nanti. Nauzubillah.

Hari ini. Seawal pagi. Sudah menginjakkan kaki di Kota Lumpur. Aku seperti keberatan untuk pulang ke kota Lumpur. Sungguh! Moga-moga ada rezeki aku berumah tangga di Pantai Timur nanti. Tuhan, pertimbangkanlah.